Kereta Kerbau
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Selain dari kereta lembu yang digunakan di Melaka pada zaman Abdullah dan sebelumnya itu terdapat juga keterangan mengenai kereta kerbau atau pedati kerbau. Pada kebiasaannya pedati ini digunakan di kawasan bandar dan persekitarannya sahaja bagi tujuan menarik barang-barang. Abdullah ada menggambarkan pedati kerbau yang digunakan di zamannya itu dengan menceritakan bahawa:
"Maka dengan seketika itu juga diberinya perintah menyuruh bawa mayat itu, lalu dimasukkannya ke dalam pedati kerbau, maka disuruhnya canangkan berkeliling negeri..."
Kereta kerbau ini didapati masih digunakan sehingga ke pertengahan abad ke-20. Ia dimonopoli oleh orang Cina yang tinggal di Bandar Melaka, bagi tujuan menarik barang-barang seperti papan, beras, batubata dan sebagainya di dalam lingkungan perbandaran sahaja. Di kawasan kampung-kampung di kalangan petani Melayu kereta ini tidak digunakan.
Pada asalnya sebelum wujudnya kereta-kereta yang beroda di kalangan masyarakat petani di kampung-kampung, mereka telah tahu menggunakan sejenis sistem pengangkutan yang dipanggil "bentang". Kereta bentang ini tiada beroda dan ditarik oleh binatang seperti kerbau dan lembu. Penggunaan sistem pengangkutan ini bertujuan untuk faedah diri sendiri seperti menarik padi, kayu api dan barang lain yang berat-berat. Kenderaan ini biasanya dapat dilihat di sawah padi dan dusun terutama dalam tahun-tahun 1880an. Sekarang ini kereta kerbau atau pedati kerbau tidak lagi digunakan.
Kerbau merupakan haiwan yang lebih liar, tidak seperti lembu yang lebih mudah dikawal. Kerbau yang mengamuk amat berbahaya dan mampu membunuh. Sehingga 2006, masih terdapat kes penternak kerbau mati ditanduk, oleh itu penggunaan kerbau sebagai penarik penumpang kurang digemari kerana mengundang risiko kerbau naik minyak.