Lembah Klang
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Lembah Klang bermaksud kawasan yang diliputi oleh Sungai Kelang dan ranting-ranting sungainya. Ia merupakan lembah sungai utama di Malaysia bersama-sama dengan Lembah Kinta.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Sejarah dan penubuhan
Lembah Kelang telah diwujudkan pada tahun 1800-an apabila Kuala Lumpur telah dibuka oleh Raja Abdullah kerana banyak bijih timah telah ditemuinya di situ. Seterusnya Port Swettenham (kini Pelabuhan Klang) telah dibuka pada pertengahan tahun 1800-an. Perkembangan pesat Lembah Klang berubah lagi apabila landasan kereta api dibina pada tahun 1892 yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Port Swettenham. Tujuannya ialah untuk mengangkut bijih timah dari lombong ke pelabuhan tersebut.
Sejarah mula berubah telah menyaksikan Petaling Jaya telah dibuka pada tahun 1952 oleh Sir Gerald Templer. Pembukaan tersebut bertujuan untuk memindahkan penduduk ke kawasan baru kerana darurat pada tahun 1948 hingga 1960.
Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Petaling Jaya telah menjadi bandar satelit kepada Kuala Lumpur apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai bandar raya pada 1 Februari 1972. Shah Alam yang dahulunya ladang Sungai Renggam dan Batu Tiga telah menjadi ibu negeri Selangor yang baru sejak tahun 1974 apabila Kuala Lumpur telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Pada ketika itu Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Shah Alam kemudian menjadi bandar raya pada 10 Februari 2000 dan kemudian tercatat sejarah baru bagi Malaysia dan negeri Selangor apabila Petaling Jaya akan menjadi bandar raya satelit dan bandar raya kedua Selangor pada awal 2006.
[Sunting] Lokasi
Lembah Klang terletak di tengah-tengah negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Air Sungai Kelang mengalir ke Selat Melaka di sebelah barat.
Lembah Klang mempunyai lebih dari 3 juta orang penduduk, dan merupakan pusat industri dan perdagangan di Malaysia.
Antara bandar yang terdapat di sini ialah Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Puchong, Klang, Pelabuhan Klang, Subang, Ampang, Gombak, Selayang, Cheras dan lain-lain.
[Sunting] Perubahan sempadan Lembah Klang
Lembah Klang pada awalnya adalah bandar di sepanjang Sungai Klang kini berubah apabila:
Daerah Hulu Langat dan Kajang telah menjadi sebahagian dalam Lembah Klang pada tahun 1980-an
Putrajaya, Cyberjaya, Sepang, dan KLIA kini termasuk dalam Lembah Klang di antara tahun 1990-an dan 2000-an kerana ia adalah kawasan Koridor Raya Multimedia.
[Sunting] Infrastruktur
Lembah Klang mempunyai rangkaian jalan raya dan lebuhraya yang tercanggih di Asia Tenggara. Selain itu kemudahan keretapi dan transit aliran ringan juga disediakan bagi membantu penduduk Lembah Klang berulang-alik dari bandar ke bandar.