Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Sejarah Ringkas
Di zaman pemerintahan kolonial Inggeris, sekolah berdinding tepas dan beratapkan rembia telah dibina secara bergotong-royong dalam tahun 1890. Sekolah yang berbentuk bangsal dan bernama Sekolah Melayu Lubok Merbau ini sudah cukup melambangkan dahaganya anak-anak sekitar kampung ini terhadap pelajaran. Sejumlah 30 orang murid belajar dengan Guru Besar yang pertama iaitu Allahyarham Megat Abu Samah bin Megat Muhammad.
Guru Besar silih berganti sehinggalah Allahyarham Encik Aminuddin mengambil alih jawatan Guru Besar. Pada waktu ini, kerajaan Inggeris menggantikan bangsal dengan sebuah bangunan papan yang agak kukuh dan dapat memuatkan 90 orang murid. Apabila penduduk Lubok Merbau bertambah ramai, maka bilangan murid juga bertambah, sekolah tidak dapat lagi menampung murid yang berlebihan itu. Maka, dalam tahun 1935, sewaktu Allahyarham Encik Abdul Rahman menjadi Guru Besar, sebuah lagi bangunan didirikan sebesar 60 x 24 kaki.
Sudah nasib negara ini terus-menerus dijajah, tidak ketinggalan juga pemerintahan Jepun. Namun pendidikan tetap juga diteruskan cuma bahasa pengantarnya yang berlainan. Bahasa Jepun menjadi bahasa wajib dipelajari dan dituturkan.
Mujurlah pemerintahan Jepun cepat berlalu. Selepas Jepun meninggalkan negara ini dalam tahun 1945, sekolah juga mengalami perubahan. Bangunan sekolah dibahagi dua. Bangunan lama dijadikan Sekolah Perempuan Lubok Merbau dengan Guru Besar pertamanya iaitu Puan Hajjah Saerah binti Alang Redan. Manakala bangunan yang agak baru mula dijadikan Sekolah Laki-Laki Lubok Merbau dengan Guru Besarnya Encik Harun bin Anjang Taksin.
Murid bertambah ramai, perjalanan ke sekolah pula bukanlah seperti yang dinikmati pada hari ini. Ramai murid menghadapi masalah hadir ke sekolah. Akhirnya sekolah ini membuka cawangannya di Kampung Tanah Merah khas bagi murid Darjah 1 hingga Darjah 3. Tahun 1950, Sekolah Melayu Tanah Merah mengasingkan diri dengan tadbirannya sendiri.
Lepas dari belenggu penjajahan – pentadbiran negara bertukar tangan. Sekolah ini juga tidak ketinggalan. Tahun 1957, sekolah ini telah ditukarkan nama menjadi Sekolah Umum Laki-Laki Lubok Merbau dan Sekolah Umum Perempuan Lubok Merbau. Apabila bidang pendidikan semakin bertambah maju, sekolah sekali lagi menukar namanya kepada Sekolah Kebangsaan Laki-Laki Lubok Merbau dan Sekolah Kebangsaan Perempuan Lubok Merbau.
Perpisahan semenjak tahun 1942 rupanya adalah perpisahan sementara. Pada 12hb Januari 1962 setelah 20 tahun berpisah ianya bercantum kembali. Kali ini bernama Sekolah Kebangsaan Lubok Merbau.
Negara semakin maju, penduduk bertambah ramai, maka dalam tahun 1969 dengan ihsan kerajaan, bangunan batu telah dibina. Ia terdiri dari bilik-bilik darjah, pejabat dan sebuah kantin. Guru Besarnya, Tuan Haji Mior Lub Ahmad bin Mior Mohd. Amin begitu berbangga sekali hingga beliau bersara dalam tahun 1973.
Tuan Haji Mahmud bin Haji Mohd. Din pula mengambil alih jawatan Guru Besar hingga tahun 1977. Kemudian, Guru Besar baru pula didatangkan bagi menyumbang tenaga demi kepentingan pelajaran anak-anak Lubok Merbau. Beliau ialah Tuan Haji Mior Aris bin Mior Abu Bakar. Rupanya khidmat beliau bukan sahaja diperlukan oleh anak-anak, bahkan penduduk di Lubok Merbau juga ingin di bawah pimpinan beliau. Untuk menyambut hasrat itu, beliau meletakkan jawatan Guru Besar dalam tahun 1978 dan berjaya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Lubok Merbau dan dilantik sebagai EXCO Negeri Perak.
Guru Penolong Kanan, Puan Hajjah Abidah binti Haji Nordin telah menjalankan tugas-tugas Guru Besar sehingga 14hb November 1978. Kemudian Tuan Haji Zubir bin Ariffin menjadi Guru Besar sekolah ini. Pada awal bulan Januari 1979, padang bola baru dapat digunakan oleh murid-murid.
Pada 1hb Januari 1980, Tuan Haji Ahmad bin Said telah bertukar ke sekolah ini sebagai Guru Besar. Beliau begitu bernasib baik kerana pada zaman beliau, kerajaan telah menunaikan hajat penduduk Lubok Merbau yang telah diperjuangkan selama beberapa tahun yang lalu. Bangunan batu dua tingkat tersergam indah diapit oleh sebuah kantin berlantaikan mozek. Luasnya ialah 135 x 35 kaki. Wang yang dibelanjakan berjumlah RM 196,000. Ia mula digunakan pada 21hb Mei 1982 dan dirasmikan pada 6hb April 1983 oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Ramli bin Ngah Talib, PSM, SPCM, AMN, JP, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan ketika itu.
Pada 16hb Mei 1989, Encik Abu Hassan bin Haji Ngah Habsah pula menjadi Guru Besar di sini. Sebuah bangunan tambahan hasi projek gotong-royong telah didirikan pada 3hb September 1989 dengan keluasan 120 x 30 kaki bernilai RM 50,000. Daftar murid berjumlah 325 orang dengan 21 orang guru, seorang Pegawai Kerani, seorang Pembantu Am Rendah, 2 orang Pekerja Am dan seorang Jaga. Pada 1hb September 1990, sekolah ini telah dinaikkan ke ‘Gred B’.
Sebagaimana sekolah lain, Sekolah Kebangsaan Lubok Merbau juga tidak kurang melahirkan cendekiawan. Mereka berada di seluruh pelusuk tanah air. Antaranya ialah Almarhum Tuan Syeikh Idris al-Marbawi bin Haji Abdul Rauf, pengarang Kamus al-Marbawi yang ulung di seluruh Nusantara. Beliau juga merupakan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan yang pertama. Dato’ Kamaruddin bin Mohd. Arif, Duta Malaysia ke negara Jerman. Kolonel (B) Ahmad Shaharbi bin Shaari, KMN, AMN, AMP, Pengarah Pendidikan Perkhidmatan Sosial dan Masyarakat, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. Allahyarham Dr. Syed Hussain Wafa, bekas Perancang Ekonomi Negeri Sabah.
Pada 26hb November 1991, pihak sekolah telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Perak berkenaan pertukaran nama sekolah kepada Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi, iaitu sempena nama Tokoh Maal Hijrah pertama yang juga bekas murid sekolah ini dan nama ini kekal sehingga ke hari ini.
Pada 18hb Oktober 1993, Encik Abu Hassan bin Haji Ngah Habsah telah bersara daripada jawatannya dan telah diganti oleh Encik Abdullah bin Hassan, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Cheh, Kati, pada 1hb November 1993.
[Sunting] Senarai Guru-Guru Besar
1 Encik Megat Abu Samah bin Megat Muhamad 1890-1895 2 Encik Mohd. Saleh 1895-1897 3 Encik Aminuddin 1897-1899 4 Encik Megat Hasan 1899-1900 5 Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Abu Bakar 1900-1901 1903-1910 6 Encik Alang Mohd. Arof bin Bilal Bakar 1901-1903 1910-1925 7 Encik Kulub Ibrahim bin Abdul Rashid 1925-1928 8 Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Zainuddin 1928-1932 9 Encik Ayub bin Mohd. Sham 1932-1935 10 Encik Abdul Rahman bin Alang Isa 1935-1939 11 Encik Mohd. Wazid bin Haji Idris 1939-1942 12 Encik Harun bin Anjang Taksin 1942-1945 13 Encik Kulub Wahab bin Kulub Mohd. Sharif 1945-1946 14 Tuan Haji Mohd. Bakir bin Ahmad 1946-1953 1957-1967 15 Encik Muhammad bin Haji Jaafar 1954-1957 16 Tuan Haji Lub Ahmad bin Meor Mohd. Amin 1967-1973 17 Tuan Haji Mahmud bin Haji Mohd. Din 1974-1977 18 Tuan Haji Mior Aris bin Mior Abu Bakar 1977-1978 19 Tuan Haji Zubir bin Ariffin 1978-1979 20 Tuan Haji Ahmad bin Said 1980-1989 21 Encik Abu Hassan bin Haji Ngah Habsah 1989-1993 22 Encik Abdullah bin Hassan 1993-1998 23 Encik Jamalul Karib bin Anuar 1998-1999 24 Encik Mokthar bin Hussin 2000-2003 25 Puan Yuwangasihe binti Ngathimin 2004-
[Sunting] Guru Besar Sekolah Perempuan Lubok Merbau
1 Puan Hajjah Saerah binti Alang Redan 1942-1951 2 Puan Hajjah Salmah binti Ibrahim 1951-1954 3 Puan Hajjah Ramlah binti Mohd. Sharif 1954-1962
[Sunting] Alamat Sekolah
Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi,
Lubok Merbau, 33010 Kuala Kangsar,
Perak Darul Ridzuan.
No. Telefon: 05-7767199