Polis Diraja Malaysia
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah sebuah pertubuhan polis Malaysia yang terdiri daripada 89,197 orang pegawai dan anggota, dan beribupejabat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Pertubuhan ini adalah unik disebabkan berbanding dengan negara lain, pertubuhan ini adalah terpusat, iaitu segala bentuk kepolisan dari polis trafik ke perisikan adalah di bawah bidang kuasanya. Kini Ketua Polis Negara (jawatan tertinggi di PDRM) disandang oleh Tan Sri Musa Hassan.
Dalam menjaga keamanan awam, PDRM dibantu oleh kumpulan sokongan yang terdiri dari Polis Tambahan, Sukarelawan Polis, Polis Bantuan, Kadet Polis dan kakitangan awam. Antara persatuan bekas polis dan tentera yang ada ialah Persatuan Bekas Polis dan Tentera Malaysia.
Rakan Cops merupakan program komuniti polis yang telah dilancarkan pada 2006.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Sejarah Polis di Malaysia
Peranan polis telah wujud sejak adanya undang-undang di zaman kesultanan Melaka. Undang-undang kanun Melaka merupakan antara undang-undang terawal di Malaysia dan ia dikuatkuasakan oleh institusi Temenggong dan para Hulubalang Sultan.
Organisasi polis di Malaysia bermula pada 1807 hasil termaktubnya Piagam Keadilan di Pulau Pinang. Kebanyakan pegawai polis ketika itu adalah berbangsa British. Selepas itu organisasi ini berkembang kepada Negara-Negara Selat dan negara-negara lain di Tanah Melayu. Pada ketika itu, organisasi polis adalah terhad kepada negeri masing-masing. Hanya selepas Perang Dunia II, satu organisasi polis tunggal dengan pentadbiran pusat yang pertama telah ditubuhkan dan dikenali sebagai "Civil Affair Police Force" (CAPF). Organisasi ini telah dibentuk di Tanah Melayu bagi menjalankan tugas-tugas kepolisan dengan diketuai H.B. Longworthy. Penjajah British terpaksa memantapkan organisasi polis selepas negara melalui anarki semasa zaman pemerintahan Jepun. Antara masalah yang berleluasa ketika itu ialah pemberontakan pihak komunis.
Hampir setahun selepas Hari Kemerdekaan, iaitu pada 24 Julai 1958, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Abd Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhamad telah berkenan mengurniakan gelaran `Diraja' kepada Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu. Mulai dari saat itu pasukan polis dikenali dengan nama "Polis Diraja Persekutuan" atau "The Royal Federation of Malayan Police" dan pada 1963 ditukar kepada Polis Diraja Malaysia.
[Sunting] Organisasi PDRM
Selain 2 jabatan yang terlibat dalam pentadbiran iaitu Jabatan Pengurusan dan Jabatan Logistik, PDRM mempunyai 5 jabatan yang terlibat dalam pencegahan jenayah iaitu Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil. Jabatan-Jabatan ini diketuai oleh pengarah-pengarah yang berpangkat Komisioner Polis (Jeneral Tiga Bintang)
[Sunting] Jabatan Siasatan Jenayah
Jabatan ini terlibat dengan dengan penyiasatan, penangkapan dan pendakwaan bagi jenayah-jenayah yang keganasan terhadap manusia (seperti pembunuhan, samun dengan senjata api, rogol dan kecederaan) dan jenayah harta benda (seperti kecurian dan pecah rumah). Selain itu jabatan ini menguatkuasakan Undang-Undang berhubung perjudian, maksiat dan kongsi gelap di Malaysia.
Jabatan Siasatan Jenayah diketuai oleh Komisioner Polis (CP)
[Sunting] Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik
Jabatan ini berfungsi memerangi dadah berbahaya sebagai musuh utama negara dengan menguatkuasakan undang-undang untuk menyekat dan mengurangkan permintaan dan bekalan dadah berbahaya.
[Sunting] Fungsi
- Menguatkuasakan undang-undang penyalahgunaan dan pengedaran dadah
- Mengumpul, mengkaji, menaksir dan menyebar maklumat berkaitan dadah
- Menyiasat kegiatan pengedar-pengedar dan sindiket-sindiket pengedaran dadah
- Membanteras penyeludupan dadah termasuk bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah
- Melaksanakan program pencegahan berkaitan penyalahgunaan dadah
- Bertukar maklumat dengan agensi penguatkuasa dadah luar dan dalam negeri
- Menyimpan rekod dan statistik berkaitan dengan pengedaran dan perkara yang berkaitan dengan dadah
- Mengawasi kegiatan mereka yang pernah ditangkap kerana terlibat dengan kesalahan dan kegiatan sindiket pengedaran dadah
- Menyediakan latihan kepada pegawai/anggota Jabatan Narkotik samada di dalam dan luar negeri
- Menghadiri mesyuarat, seminar berkaitan dengan dadah samada di dalam dan di luar negeri
[Sunting] Cawangan-cawangan di bawah jabatan
-
- Bahagian Siasatan Khas
- Bahagian Penyelaras/Perhubungan Antarabangsa
- Bahagian Pentadbiran
- Bahagian Tahanan
- Perlucutan Harta
- Soalsiasat
- Pakar/Bantuan Teknik
- Rekod/Perangkaan
- Pendaftaran
- Bahagian Logistik
- Petugas Lapangan Terbang
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik diketuai oleh Komisioner Polis (CP).
[Sunting] Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam
Secara amnya, jabatan (KDN/KA) ini berperanan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam adalah terpelihara. Jabatan ini merangkumi sebahagain besar dari operasi PDRM dari pengawalan trafik ke operasi mencari dan menyelamat.
Jabatan ini juga bekerjasama dengan pelbagai agensi lain. Misalnya dengan Angkatan Tentera Malaysia serta Angkatan Tentera/Laut dalam rondaan maritim bersama untuk mencegah jenyah lanun dan pencerobohan sempadan negara. Selain itu, mereka juga membantu Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perusahaan Awam dalam penguatkuasaan Akta Lalulintas.
Antara cawangan-cawangan utama di bawah jabatan ini ialah;
- Pasukan Gerakan Am
- Unit Implimentasi C4I
- Pasukan Simpanan Persekutuan
- Unit Berkuda
- Pasukan Gerakan Khas
- Cawangan Trafik
- Cawangan Marin
- Pusat Kawalan Malaysia.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDN/KA) diketuai oleh Komisioner Polis (CP).
[Sunting] Cawangan Khas
Jabatan ini adalah sayap inteligen yang bertanggungjawab untuk mengumpul risikan bagi keselamatan negara. Antara lain peranannya ialah mengumpul risikan keselamatan berkaitan dengan ancaman dari dalam dan luar negara, sebarang aktiviti subversif dan sabotaj oleh kumpulan pelampau atau individu yang boleh mengancam kestabilan negara. Seterusnya dengan memperolehi, mengolah, menilai dan mengedar maklumat serta memberi nasihat kepada jabatan-jabatan di dalam dan luar pasukan, serta pertubuhan-pertubuhan yang berkenaan. Jabatan ini terbahagi kepada beberapa cawangan seperti:- Inteligen Teknikal, Inteligen Sosial, Inteligen Luar, Inteligen Politik, Inteligen Ekonomi dan Inteligen Keselamatan.
Cawangan Khas diketuai oleh Komisioner Polis (CP).
[Sunting] Jabatan Siasatan Jenayah Komersil
Fungsi utama JSJK adalah menjalankan penyiasatan, menangkap, dan mendakwa penjenayah kolar putih yang melakukan kesalahan penipuan, pecah amanah jenayah, pemalsuan jenayah siber dan lain-lain lagi samada kegiatan tersebut dilakukan olehorang perseorangan mahupun secara bersindiket.
Visi jabatan ini ialah menjadi sebuah unit penyiasatan JSJK yang efisyen, berdaya saing dan proaktif dari aspek membendung penularan semua bentuk jenayah komersil di negara ini.
Antara objektif JSJK yang telah digariskan oleh pucuk pimpinan adalah:
- Menangani semua bentuk jenayah komersil dan peka terhadap perubahan persekitaran yang boleh mewujudkan bentuk jenayah komersil yang baru.
- Mempercepatkan siasatan dan menghasilkan kualiti siasatan yang bermutu bagi bertujuan mendakwa pesalah di mahkamah dan juga dikenakan tindakan di bawah undang-undang pencegaha.
- Mengumpul seberapa banyak data mengenai kesalahan jenayah komersil masa kini. Data dikaji dengan teliti dari segi trend, modus operandi dan bentuk (syndicate or non-syndicate) bagi kesalahan yang berkaitan setelah data diproses, ianya di bentuk menjadi satu maklumat yang boleh membantu dalam penyempurnaan siasatan.
- Menjamin ketelusan penyiasatan di samping menggunakan semua kepakaran sumber manusia yang khusus secara optimum
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil diketuai oleh Komisioner Polis (CP).
[Sunting] Lihat juga
- Senarai Ketua Polis Negara