Zainuddin Maidin
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Datuk Zainuddin Maidin (lahir 29 Jun 1939), merupakan Menteri Penerangan Malaysia dan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Kehidupan awal
Beliau dilahirkan di Kota Kuala Muda, Kedah. Zainuddin mendapat pendidikan awal di Maktab Mahmud, Alor Star. Beliau memperoleh diploma dalam kewartawanan dari Institut Kewartawanan Berlin pada 1969. Pada 1981, beliau dianugerahi Fellowship Kewartawanan Profesional dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat.
Beliau merupakan ayah kepada dua anak perempuan, hasil perkongsian hidup dengan Datin Zaiton Zainor Abidin.
[Sunting] Kerjaya sebagai wartawan
Beliau memulakan kerjaya sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu Alor Star pada 1951 sebelum dilantik sebagai Pemberita Tetap 10 tahun kemudian.
Zainuddin pernah bertugas sebagai Wakil Utusan Melayu di London dan menjawat Ketua Pengarang Utusan Melayu pada 1982.
Mulai 1992, beliau memegang pelbagai jawatan bukan editorial seperti Penasihat Jabatan Pengarang Utusan Melayu (1992) dan Pengerusi Eksekutif Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) (1994).
Seterusnya beliau menjadi ahli pengarah Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd. dan pada 1998 menjadi timbalan pengerusi eksekutif kumpulan itu.
[Sunting] Politik
Zainuddin dilantik Ahli Dewan Negara pada 1998, sebelum dinamakan Setiausaha Parlimen, Kementerian Penerangan pada 17 Januari 2001.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua pada Februari 2001 dan dilantik Timbalan Menteri Penerangan pada 21 November 2002.
Kemudian, dalam pilihan raya umum 2004, beliau memenangi kerusi Merbok apabila menewaskan calon Keadilan dengan majoriti 15,162 undi.
Pada rombakan kabinet yang diumumkan pada 14 Februari 2006, beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Menteri Penerangan menggantikan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
[Sunting] Penulisan
Beliau menghasilkan beberapa buku dan antara karya terkenalnya ialah Yang Pertama dan Terakhir, Malaysia-British Relations in London, Mahathir Di Sebalik Tabir, dan Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot.