Komputer: Hitam atau Putih
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Komputer : Hitam atau Putih?
Tentu ramai yang tidak percaya bahawa jumlah komputer di seluruh dunia kini adalah lebih separuh daripada populasi penduduk dunia. Namun begitu, taburannya lebih padat di negara-negara maju dan negara-negara membangun. Komputer di Amerika Syarikat amat mudah ditemui semudah menemui rumput di tanah. Di Bangladesh pula, kos membeli komputer menyamai kos telefon selama 8 tahun!
Jauh sekali di fikiran kita, mesin pengiraan kompleks ciptaan Charles Barbage telah menjadi induk kepada revolusi komputer dan siber saat ini. Daripada saiz awalnya yang menempati sebuah bilik kepada kecil di tapak tangan, satu demi satu perspektif kehidupan kita berubah. Tidak keterlaluan jika ditanggapi bahawa komputer ialah keperluan manusia yang keempat. Tetapi kadang kala, kita patut sekali berfikir, adakah komputer yang berada di depan mata kita langsung tidak menconteng arang kepada penggunanya.
Tidak dapat dinafikan bahawa kewujudan komputer telah memudahkan perjalanan sistem pendidikan dan pentadbiran. Komputer telah membantu malahan juga para pelajar untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang pengajaran dalam kelas atau menangani kerja-kerja tertentu. Banyak juga usahawan dotcom membuka laman web berkonsepkan pendidikan dalam talian seperti perkhidmatan tuisyen elektronik. Kewujudan Portal Pendidikan Utusan merupakan antara bukti vital berkenaan isu ini. Banyak ahli atau tokoh psikologi dan pendidikan mengesyorkan pendidikan berlandaskan komputer atas dasar kekuatan daya penariknya kerana dimuati pelbagai grafik dan persembahan yang menarik. Komitmen kerajaan tentang pendidikan berkonsepkan teknologi moden telah dizahirkan dengan terlancarnya Sekolah Bestari. Kelicinan pentadbiran sektor awam dan swasta pula kian berganda apabila komputer digunakan secara meluas. Pihak kerajaan telah memperkenalkan MyCard sebagai satu langkah ke arah “mengkomputerkan” Malaysia. MyCard memuatkan pelbagai maklumat peribadi dan lesen-lesen serta pasport tertentu. Kerja-kerja rumit yang mungkin memakan masa sehingga sebulan dapat disiapkan hanya dalam masa 2 atau 3 hari. Urusan-urusan pendaftaran, pembaharuan lesen, dan pembayaran cukai umpamanya, dan lain-lain akan lebih tuntas dan mampu pula dibereskan di rumah dengan hanya beberapa klik pada tetikus. Sesungguhnya, urusan harian akan menjadi lebih mudah malah juga menyeronokkan dengan lahirnya komputer.
Saat ini, komputer digunakan secara meluas dalam sektor perindustrian. Melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri yang mengaplikasikan komputer secara total ternyata telah membuahkan hasil yang membanggakan. Kereta Proton yang meluncur maju di jalan raya di seluruh dunia, enjin berkuasa tinggi telah wujud, dan peralatan elektrik dan elektronik berprestasi tinggi; semuanya telah wujud hasil keberadaan komputer. Selanjutnya, akan lebih banyak produk baru lahir di pasaran yang akan terus sahaja memperkembangkan keproduktifan ekonomi Malaysia. Siapnya Hospital Selayang sebagai hosital tanpa kertas yang pertama di dunia menampakkan lagi sumbangan komputer dalam arena kesihatan dan perubatan. Pembedahan menggunakan teknologi komputer akan menjimatkan masa, mengurangkan kesakitan, peratus kesegeraan untuk pulih akan menokok, dan menjimatkan kos juga.
Teleperubatan pula telah muncul; membolehkan prosedur kesihatan dijalankan dari jarak yang jauh iaitu antara pesakit dengan doktor atau antara sesama doktor. Ubat-ubatan yang terjamin mutunya dan keabsahan kesannya akan lebih diyakini dengan bantuan komputer. Tahap kesihatan akan meningkat dan manusia dapat hidup lebih lama.
Di sebalik kejayaan manusia daripada penciptaan benda-benda revolusioner ini, terdiri dengan megah sebuah komputer, dan tidak dapat disangkal juga, komputer itulah juga yang telah membejatkan manusia dari pelbagai segi, yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh leluhur kita sebelum ini. Komputer telah berjaya menyusutkan hubungan kekeluargaan atau kemasyarakatan lalu membentuk insan yang individualistik. Jika dahulu, kanak-kanak pasti akan bermain bersama-sama jiran mereka permainan tradisi seperti guli, galah panjang, congkak, atau juga bola sepak.
Tetapi sekarang semuanya tangkas menekan punat-punat pada papan kekunci dan kayu ria demi memenangi sesuatu permainan komputer. Apabila sedikit demi sedikit manusia bergantung harap kepada komputer, manusia akan meluangkan majoriti masa di depan skrin komputer mencari maklumat, membuat kerja, atau sekadar bermain permainan komputer. Oleh itu, bagaimana dengan nasib semangat kejiranan yang diterapkan oleh kerajaan? Masih wujudkan realiti “ jiran sepakat membawa berkat” jika setiap komunikasi dilakukan melalui komputer sahaja? Bagaimana pula dengan penyerapan nilai-nilai murni oleh keluarga dan masyarakat yang jelas sekali tidak terkandung di dalam komputer? Manusia akan semakin mandul akan norma-norma masyarakat.
Banyak pihak mengakui bahawa penggunaan komputer telah menumpulkan intelektual manusia. Pendapat ini ada wajaran yang kukuh dan relevan. Keberhasilan kreativiti dan inovatif akal manusia akan menurun kerana manusia akan bergantung selengkapnya kepada komputer tanpa mempertimbangkan alternatif lain yang dapat diperlakukan dalam menjalankan sesuatu tugasan. Walaupun nampaknya komputer turut mempergunakan konsep kreativiti manusia tetapi sebenarnya secara halus, gagal menghasilkan sesuatu yang nyata kepada potensi minda individu itu. Perkara ini jika dipandang sebelah mata pasti akan membentuk manusia yang lempam dan semakain malas. Apatah lagi dengan berleluasanya unsur pornografi yang meloyakan yang terpampang bangga di skrin komputer khususnya yang mempunyai capaian internet.
Bagaimanapun, komputer juga mencipta mereka yang semakin kreatif membina teknologi baru untuk digunakan oleh manusia. Pelbagai perisian yang canggih ditulis bagi pelbagai tujuan, dalam bidang Kecerdasan Buatan, bagi meramalkan gempa bumi, sehinggalah cubaan bagi meramalkan kelakuan individu dalam sesuatu kecermasan seperti kebakaran. Komputer sebagai satu alat, sama seperti pisau, boleh digunakan bagi tujuan baik atau pun buruk, bergantung kepada sifat pengguna itu sendiri.
Komputer yang sudah wujud sejak sekian lama, sebenarnya telah menyumbangkan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan manusia moden, iaitu kemajuan. Walau apa pun keburukan daripada penggunaan komputer, akar umbinya ialah manusia, iaitu manusia yang tidak bersyukur dengan kemudahan yang ada dan tidak menggunakannya secara yang tidak bijaksana. Yang pasti, jika mahu melihat keturunan kita hidup selesa, sihat, dan maju, pergunakanlah komputer sebagai wahana ilmu dan kemajuan dalam era globalisasi ini.