Pengguna:Mag
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
Saya masih baru dalam dunia ensiklopedia maya ini, dan rasa tertarik benar untuk sama-sama mengembangkannya, setelah pelbagai artikel atau bahan yang saya perlukan dalam beberapa urusan harian saya, saya temui dalam rangkaian Wikipedia.
Tentu sekali ini juga merupakan usaha kecil saya untuk meningkatkan kedudukan bahasa Melayu, bukan sahaja di alam maya ini, malahan lebih jauh lagi: di tanah airnya sendiri. Walaupun ramai orang mengatakan bahasa Melayu tidak terjejas fungsi dan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan (memanglah! cuma sembilan orang raja yang semuanya Melayu berhak mengubahnya), tetapi di depan kaca mata saya sendiri (tapi sekarang saya mula pakai kanta lekap!), kewibawaan bahasa Melayu (malahan juga bangsa Melayu) memang semakin merosot dan malap, dalam lapangan yang seharusnya bahasa Melayu menjadi tonggak, selepas hampir separuh abad kita merdeka.
Dan ada juga orang Melayu yang menjadi dalang semua ini.
Inilah usaha saya. Sokongan dan bantuan anda semua amat saya alu-alukan.
Saya daripada Johor Bahru, berusia 19 tahun dalam tahun 2005. Akhir tahun ini saya akan menduduki peperiksaan STPM (saya aliran sains). Doakanlah kejayaan saya.
Saya menjadi wartawan majalah sekolah saya, Sri Budiman (Maktab Sultan Abu Bakar/English College) pada tahun 2003, tetapi sudah mula berkecimpung dalam dunia penerbitan seawal tahun 2000. Saya menjadi "pemangku" ketua pengarang pada tahun 2003 dan seterusnya menjadi ketua pengarang penuh pada tahun 2004. Tahun ini saya menjadi penasihat. Sepanjang penglibatan saya, majalah Sri Budiman telah berjaya memenangi beberapa kali anugerah majalah terbaik, penerbitan majalah terbaik, tempat kedua kategori bahasa, di samping hadiah-hadiah dalam kategori karya, yang antaranya saya bertugas menapis, memilih, dan menyuntingnya; dalam pertandingan majalah sekolah anjuran Dewan bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
Dua buah karya saya berbentuk puisidra (puisi + drama) yang saya sendiri menjadi pengarah, telah dipertandingkan dan salah satunya berjaya mendapat tempat keempat peringkat negeri. Dua buah esei saya juga memenangi pertandingan peringkat kebangsaan dalam tahun 2004 dan 2005.
Itulah cerita saya. Saya berharap penglibatan saya ini diberkati, dan pada masa yang sama dapatlah saya membaiki bahasa Melayu, bahasa Inggeris, dan pemahaman bahasa Indonesia saya. Saya cenderung mengadaptasi bahasa Indonesia kepada bahasa Melayu (Malaysia) selain menterjemah karya-karya bahasa Inggeris.