Margrethe II dari Denmark
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Ratu Margrethe II (Margrethe Alexandrine Þórhildur Ingrid) (lahir 16 April 1940) adalah ratu memerintah dan ketua negara Denmark.
[Sunting] Kehidupan awal
Puteri Margrethe (disebut Margrete) dilahirkan di Istana Amalienborg, Copenhagen, kepada Putera Mahkota Frederik dan Puteri Mahkota Ingrid. Beliau dibaptiskan pada 14 Mei 1940 di Gereja Naval. Disebabkan Raja Denmark pada masa itu juga adalah Raja Iceland, puteri ini juga telah diberi nama dalam bahasa Iceland, iaitu, Þórhildur (Þ adalah huruf khas Iceland dan disebut 'th').
Ibu bapa angkatnya adalah Raja Christian X dari Denmark, Putera Knud dari Denmark, Putera Axel dari Denmark, Raja Gustaf V dari Sweden, Raja Gustaf VI Adolf dari Sweden, Putera Gustaf Adolf dari Sweden, Duke Connaught, Ratu Alexandrine dari Denmark, Puteri Thyra dari Denmark, Ratu Louise dari Sweden, Puteri Helena Viktoria dari Denmark, Puan Patricia Ramsay, Puteri Mahkota Cecile dari Prussia, dan Puteri Margrethe dari Bourbon-Parma.
Cogan kata rasmi Ratu Margrethe II adalah: Guds hjælp, Folkets kærlighed, Danmarks styrke, "Pertolongan Tuhan, kasih sayang dari rakyat, kekuatan Denmark".
[Sunting] Biografi
Margrethe tidak dilahirkan untuk menggantikan ayahnya sebagai raja, walaupun beliau adalah anak sulung kepadanya kerana hanya anak lelaki sahaja yang layak menaiki takhta. Perkara ini berlaku disebabkan perubahan kepada akta pewarisan pada tahun 1850an apabila cabang keluarga Glücksburg dipilih untuk mewarisi takhta Denmark. Ramai yang menyangka bahawa pakcik Margrethe, Arveprins Knud, akan menggantikan bapanya sebagai raja.
Proses untuk mengubah perlembagaan negara bermula pada 1947 apabila menjadi jelas bahawa Ratu Ingrid tidak akan lagi mempunyai anak. Pada masa ini, pakcik Margrethe, Putera Knud adalah Pewaris Andaian kepada takhta Denmark. Namun, Raja Frederik dan anak-anak perempuannya lebih disukai rakyat dan perkara ini menjadi salah satu sebab mengapa perlembagaan Denmark diubahsuai untuk membolehkan Margrethe mengganti bapanya kelak. Cadangan ini hanya akan menjadi rasmi jikalau ia dapat diterima oleh dua parlimen negara tersebut beturut-turut dan dengan mengadakan sebuah rujuksuara, yang telah berlangsung pada 27 Mac 1953. Akta Pewarisan yang baru ini mengizinkan anak perempuan untuk menjadi ratu yang memerintah di Denamrk. Ia berlandaskan prinsip primogeniture di mana anak pertama yang akan mewarisi takhta tidak mengira jantina, sama seperti apa yang sedang berlaku di United Kingdom. Margrethe kemudiannya menjadi Pewaris Andaian kepada takhta Denmark dan mengambil gelaran tambahan, Tronfølgeren atau Pengikut Takhta.
Margrethe diakui pada 1 April 1955 di Istana Fredensborg. Pada hari lahirnya yang ke-18, beliau diberi kerusi di Dewan Negara, dan bertanggungjawab mempengerusikan segala mesyuarat yang tidak dihadiri oleh bapanya.
Dalam bidang pelajaran pula, Margrethe telah menuntut di beberapa universiti di Eropah. Beliau mempelajari subjek arkeologi pra-sejarah di Universiti Cambridge dari 1960 ke 1961, sains politik di Universiti Aarhus di antara 1961-1962, di Sorbonne pada 1963, dan London School of Economics pada 1965.
Pada 10 Jun 1967 Margrethe mengahwini seorang diplomat Perancis, Henri de Laborde de Monpezat di Gereja Naval. Laborde de Monpezat menerima gelaran "Yang Teramat Mulia Putera Henrik dari Denmark" disebabkan kedudukan barunya sebagai suami kepada seorang yang akan mewarisi takhta Denmark. Mereka melahirkan dua orang anak: Frederik André Henrik Christian, Putera Mahkota Denmark yang lahir pada 26 Mei, 1968; dan Joachim Holger Waldemar Christian, Putera Denmark, yang lahir pada 7 Jun, 1969. Ratu Margrethe dan suaminya, Putera Henrik mempunyai tiga orang cucu: YTM Putera Christian; YM Putera Nikolai; dan YM Putera Felix.
Raja Frederik IX meninggal dunia pada 1972 dan Margrethe ditabalkan sebagai ratu pada 14 Januari 1972, menjadi ratu pertama Denmark yang menaiki takhta di bawah Akta Pewarisan yang baru.