Bakteria
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Bakteria ialah satu kumpulan utama organisma hidup. Istilah "bakteria" telah digunakan dengan berbagai-bagai maksud untuk semua prokariot serta untuk sekumpulan utamanya yang digelarkan eubakteria, tergantung kepada gagasan-gagasan mengenai hubungan antaranya. Bakteria digunakan dalam rencana ini khusus untuk merujuk kepada eubakteria. Lagi satu kumpulan bakteria (digunakan secara umum dari segi bukan taksonomi) ialah Arkea. Kajian bakteria digelarkan bakteriologi, satu subbidang mikrobiologi.
Bakteria adalah organisma yang paling banyak terdapat di dunia, dan sentiasa boleh didapati di dalam tanah serta di dalam air, dan sebagai simbion bagi organisma yang lain. Banyak patogen adalah bakteria. Kebanyakannya amat kecil, biasanya hanya 0.5-5.0 μm pada ukuran yang paling panjang, walaupun bakteria gergasi seperti Thiomargarita namibiensis dan Epulopiscium fishelsoni boleh bertumbuh melebihi saiz 0.5 milimeter. Secara amnya, bakteria mempunyai dinding sel yang serupa dengan sel tumbuhan dan kulat, tetap dinding sel bakteria biasanya diperbuat daripada peptidoglikan dan bukannya daripada selulosa (seperti untuk tumbuhan) atau kitin (seperti untuk kulat), dan tidak berhomolog dengan dinding sel eukariot. Banyak bakteria bergerak dengan menggunakan flagelum yang mempunyai struktur yang berbeza dengan flagelum kumpulan lain.
[Sunting] Sejarah
Bakteria pertama dicerapkan oleh Anton van Leeuwenhoek pada tahun 1674 melalui penggunaan mikroskop kanta tunggal yang direka bentuk sendiri. Nama bakteria diperkenalkan lebih lewat oleh Ehrenberg pada tahun 1828 daripada perkataan Greek βακτηριον yang bermaksud "kayu kecil". Disebabkan kesusahan untuk memerihalkan bakteria secara berasingan, serta kepentingan penemuan bakteria untuk bidang-bidang seperti perubatan, biokimia, dan geokimia, sejarah bakteria telah diperihalkan secara amnya sebagai sejarah mikrobiologi.
[Sunting] Struktur sel
- Rencana utama: Struktur sel bakteria
Sebagai prokariot, semua bakteria mempunyai struktur sel yang agak sederhana, dan yang tidak mempunyai nukleus sel atau organel seperti mitokondrion dan kloroplas. Kebanyakan bakteria adalah agak kecil dan mempunyai morfologi (bentuk) sel dan koloni tersendiri seperti yang diperihalkan di bawah. Ciri struktur bakteria yang terpenting ialah dinding sel. Bakteria boleh dibahagikan kepada dua kumpulan (positif Gram dan negatif Gram) berdasarkan perbezaan antara struktur dinding selnya sebagaimana yang didedahkan oleh pewarna Gram. Bakteria yang positif Gram mempunyai dinding sel yang terdiri daripada lapisan peptidoglikan yang tebal (digelarkan "Murein" dalam sumber yang lebih lama) serta asid teikoik, sedangkan bakteria negatif Gram mempunyai selaput luar yang mengandungi lipopolisakarida serta selapis peptidoglikan yang nipis yang terletak di dalam periplasma (kawasan antara selaput luar dan selaput sitoplasma).
Banyak bakteria mengandungi struktur luar sel seperti flagelum dan fimbria yang digunakan masing-masing untuk pergerakan, pelekatan, dan pengkonjugatan. Sesetengah bakteria juga mengandungi kapsul atau lapisan lendir yang memudahkan pembentukan biofilem dan pelekatan bakteria kepada permukaan. Bakteria mengandungi agak sedikit struktur intrasel berbanding eukariot, tetapi mengandungi kromosom yang digelungkan dengan ketat, ribosom, dan banyak struktur yang khusus pada spesies seperti selaput intrasel, struktur storan nutrien, vesikel gas, dan magnetosom.
Sesetengah bakteria berupaya untuk membentukkan endospora yang membenarkan bakteria untuk hidup dalam tekanan persekitaran dan kimia yang keterlaluan. Bagaimanapun, sifat ini hanya dihadkan kepada organisma positif Gram seperti Basilus dan Klostridium.
[Sunting] Pautan luar
- Tatanama bakteria yang terkini daripada DSMZ
- Pertumbuhan dan Dinding Sel Bakteria (bahasa Jerman)
- Laman web Microminds
- Bakteria terbesar
- Pohon Salasilah
- Video bakteria berenang dan berguling, penggunaan penyepit optik dan video halus lain.
- Planet Bakteria oleh Stephen Jay Gould
- Kumpulan utama Prokariot
- Penentangan Pahit oleh Bruce Sterling