CH-54 Tarhe
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Helikopter Sikorsky CH-54A dan CH-54B Tarhe adalah helikopter yang asalnya diberikan penamaan Model 64 oleh Sikorsky. Helikopter ini dikenali sebagai Skycrane kerana melakukan kerja-kerja berat mengangkut keperluan berat di medan perang.
Helikopter ini mempunyai 3 orang anak kapal, iaitu juru terbang, pembantu juru terbang dan seorang ketua awak-awak yang mengendalikan jentera pengangkat (hoist). Helikopter ini berupaya mengangkat muatan yang berat dan besar (bulky) menggunakan kabel pengangkat. Penggunaan kabel ini membolehkan helikopter ini mengangkat muatan tanpa perlu mendarat terlebih dahulu.
Helikopter ini juga boleh mengangkat kotak kontena yang digunakan untuk pelbagai kegunaan, termasuk penggunaan sebagai sebuah surgeri MASH, lengkap dengan mesin X-Ray, bank darah dan peralatan makmal. Kotak ini dilengkapkan dengan pendingin hawa membolehkan pembedahan dilakukan di mana sahaja. Kotak yang lain membolehkan helikopter ini mengangkat 45 orang anggota tentera serba lengkap.
Helikopter ini berkhidmat dengan 1 Divisyen Kavalri di Vietnam. Helikopter ini juga digunakan dalam operasi mendapatkan semula pesawat udara terhempas yang terlalu berat untuk diangkat oleh helikopter CH-47 Chinook. Helikopter ini unik kerana boleh menggugurkan Sebutir bom 10,000lb dikenali sebagai ‘daisy-cutter’ untuk memugar kawasan hutan untuk mewujudkan dengan serta merta kawasan pendaratan helikopter.
Helikopter CH-54 Tarhe mempunyai rotor enam bilah, rotor ekor 4 bilah dan dikuasai oleh dua buah enjin turbin Pratt & Whitney T73 -P-1 yang mengeluarkan kuasa 4500 shp, dan boleh mencapai kelajuan penerbangan 128 bsj (111 knots). Helikopter CH-54B menggantikan enjin dengan 2 buah Pratt & Whitney T73-P-700 yang mengeluarkan kuasa 4800 shp.