Jins Shamsuddin
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Jins Shamsuddin (lahir 5 November 1935) merupakan seorang pelakon, penggiat seni, pengarah filem serta senator Malaysia. Atas bimbingan Tan Sri P. Ramlee, beliau telah berjaya menjadi seorang pelakon yang terkenal pada tahun '60-an dan '70-an.
Dilahirkan sebagai Mohamed Zain Shamsuddin di Taiping, Perak, nama Senator Datuk Jins Shamsuddin kini terpahat sebagai legenda yang masih gigih menyumbangkan usaha dan tenaganya dalam pembangunan industri filem Melayu sehingga hari ini.
Shamsuddin melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di London Film School dari 1970 hingga 1972 dan dianugerahkan Diploma dalam Teknologi Filem (Motion Picture Technology) dengan Kepujian Kelas Pertama.
Sejak 1956, Jins mula melibatkan diri dalam 40 filem :
- mendukung watak utama dalam pementasan drama "Mencari Kedamaian";
- menjadi watak utama filem arahan P. Ramlee, "Pancha Delima" (1957);
- memegang watak utama sebagai ejen perisik Jefri Zain dalam siri filem Hong Kong ala James Bond.
Pembabitan beliau dalam bidang seni bermula apabila menjalani uji bakat yang diadakan oleh P. Ramlee, di mana beliau diterima sebagai pelakon tambahan. Dari pelakon tambahan, beliau sedikit demi sedikit menimba pengetahuan dari P. Ramlee . P.Ramlee amat sukar untuk menerima tawaran belakon daripada pengarah-pengarah yang lain. Tetapi penghormatan ini telah diberikan kepada Jins Shamsuddin untuk berlakon di dalam filem 'Bukan Salah Ibu Mengandung.'
Shamsuddin berkahwin dengan Datin Halijah Abdullah dan dikurniakan dua orang anak lelaki, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.
[Sunting] Filem arahannya
Pada 1969, filem pertama arahannya "Bukan Salah Ibu Mengandong" telah menjulang namanya sebagai penulis lakonlayar, pelakon dan pengarah, malah telah mengangkat kewibawaan Studio Merdeka.
Melangkah ke akhir '70-an hingga awal '80-an
- 1977: "Menanti Hari Esok"
- 1979: "Esok Masih Ada"
- 1980: "Tiada Esok Bagimu"
- 1982: "Esok Untuk Siapa"
Siri filem "Esok" ini mendapat sambutan hebat di pawagam.
[Sunting] Anugerah dan pencapaian
- Anugerah Seniman Veteran bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi ke-18 pada tahun 2004 di Arena of Stars, Genting Highlands
- Pesta Filem Asia ke-26 di Bali, Indonesia (1980): filem "Esok Masih Ada" lakonan dan arahannya telah memenangi Anugerah Mitra bagi Tema Terbaik yang menganjurkan perpaduan kaum.
- Tujuh anugerah dalam Pesta Filem Malaysia Ketiga untuk filem peperangan, "Bukit Kepong" (1981), sebuah filem tulisan, lakonan dan arahannya;
- "Silver Crane Award" dalam Pesta Filem Asia Pasifik (1987);
- Jemaah juri sebanyak lima kali bagi siri "Pesta Filem Asia Pasifik";
- Penghormatan dan kepercayaan untuk mengarah teater bernilai RM2 juta untuk filem yang berjudul "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" di Istana Budaya, bersempena sambutan kemerdekaan 2002. Pementasan teater tersebut berlangsung selama lima jam selama lebih dari dua minggu;
- Pingat Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran 'Datuk' oleh Paduka Seri Sultan Perak (1990);
- Kesatria Mangku Negara (KMN) daripada Yang di-Pertuan Agong (1990);
- Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia (1999).