Meritokrasi
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Meritokrasi adalah suatu sistem kerajaan yang berdasarkan pemerintahan berdasarkan kebolehan serta merit seseorang itu dan bukannya kekayaan atau status sosialnya. Frasa ini berasal dari buku tulisan Michael Young 1958 bertajuk Rise of the Meritocracy atau "Bangkitnya Meritokrasi", suatu kisah futuristik dimana status seseorang dimasyarakat ditentukan oleh IQ serta usahanya. Dalam buku ini, kerajaan meritokratik yang tidak berperasaan ini akhirnya digulingkan oleh rakyat jelata.
Walaupun buku tersebut memberi imej yang negatif terhadap meritokrasi, masih ramai yang percaya dengan kebaikan sistem ini didalam masyarakat. Menurut penyokong meritokrasi, sistem ini adalah lebih adil dan produktif, berbanding sistem kerajaan yang lain yang berdasarkan status sosial atau ras. Antara kerajaan yang menyokong sistem ini termasuklah kerajaan Singapura.
Kebanyakan sistem kerajaan mengandungi beberapa unsur meritokrasi. Misalnya dalam demokrasi perwakilan, parti-parti politik dan para pengundinya menggunakan prestasi calon masing-masing untuk berkempen dalam pilihan raya. Namun demikian, meritokrasi yang tulen tidak wujud di zaman ini.