Paskau
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Pasukan Khas Udara (PASKAU) ditubuhkan dalam tahun 1970-an selepas satu serangan oleh anasir pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya ke atas pangkalan TUDM Kuala Lumpur menyebabkan kemusnahan sebuah pesawat DHC-4 Caribou. Serangan itu dilakukan oleh ejen-ejen komunis dengan menggunakan sepucuk mortar yang dipasangkan di atas sebuah lori kecil.
Pasukan yang ditubuhkan dikenali dengan nama asalnya HANDAU dan ditugaskan menjaga keselamatan pangkalan-pangkalan TUDM. Dalam tahun 1996, pasukan ini disusun semula dan diberikan nama baru, iaitu Pasukan Khas Udara. Pasukan ini berlainan dengan pasukan khas tentera darat dari Gerup Gerak Khas ataupun dengan pasukan PASKAL, khususnya dari segi peranan utama pasukan-pasukan tersebut berbeza-beza.
Pasukan Khas Udara (PASKAU) terdiri daripada anggota-anggota rejimen TUDM yang dipilih mengikuti kursus peperangan khas untuk membolehkan mereka menjalankan peranan seperti mencari dan menyelamat tempur CSAR serta penandaan sasaran menggunakan peralatan penanda (designator) menggunakan infra red ataupun laser (TLID). PASKAU boleh menggunakan teknik-teknik dan taktik khusus dalam operasi mencari dan menyelamat tempur (CSAR) menggunakan pasukan-pasukan khusus dipanggil (Combat Air Rescue Team).