Kafe Siber Pemangkin Budaya Celik Komputer
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Sejarah
Menurut Persatuan Kafe Siber Antarabangsa, kafe siber yang pertama dibuka pada tahun 1984. Enam tahun kemudian, ada lebih kurang 100 buah kafe siber dan jumlahnya kini meningkat kepada jutaan buah berikutan kemajuan yang pesat dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Di Malaysia, pertumbuhan kafe siber yang luar biasa boleh dilihat selepas negara menerokai bidang ICT menerusi Koridor Raya Multimedia (MSC) secara bersungguh-sungguh.
[Sunting] Takrifan
Sehingga ke hari ini, masih belum ada satu takrifan yang khusus untuk kafe siber. Tetapi umum menganggap kafe siber sebagai restoran yang turut menyediakan pelbagai kemudahan komputer kepada para pengunjungnya. Selain perkataan kafe siber, premis seumpama itu turut dikenali sebagai kafe elektronik atau kafe internet.
[Sunting] Penerimaan Masyarakat
Tidak dapat disangkalkan lagi betapa premis kafe siber sudah menjadi lumrah di kalangan generasi muda kita. Sesetengahnya menjadikan kafe siber sebagai tempat pertemuan sesama mereka, melayari internet, atau sekadar berbual-bual. Ada juga yang melepak dan melakukan perkara-perkara picisan. Apa yang lebih merungsingkan ialah tersebarnya unsur-unsur pornografi yang cukup keji di samping fitnah dan libel yang berbau hasutan untuk mengadu-dombakan sesama kita menerusi internet. Banyak pihak percaya bahawa kewujudan kafe siber membantu menjana budaya celik komputer, namun, sudah menjadi satu keperluan yang mendesak agar belia dan beliawanis kita mengetahui dan menghayati konsep kafe siber selaku pemangkin budaya celik komputer di negara kita.
Dunia hari ini semakin mengecil kerana kemunculan internet dan keanggihan dalam arena ICT. Setiap maklumat atau perkara-perkara baru perlu segera diperoleh atau dilaksanakan melainkan kita memilih untuk berada di bahagian paling belakang dalam barisan orde baru dunia. Kafe siber dilihat telah menyediakan kemudahan pengkomputeran yang sempurna sama ada dari aspek perisian dan peranti yang dibekalkan, serta pencetak dan pengimbas sebagai aksesori. Maka, kafe siber mampu bertindak selaku pusat celik komputer kerana menyediakan aplikasi ICT yang sempurna. Golongan muda kita tentu akan lebih memahami dan mengetahui tentang komputer, internet, dan ICT agar hasrat kerajaan supaya bakal tonggak negara pada masa akan datang celik komputer dan ICT.
[Sunting] Bagaimana Kafe Siber Membantu Merapatkan Jurang Digital
Internet sebagai lebuh raya maklumat wajar sekali diambil peduli oleh golongan muda negara kita untuk menambahkan ilmu dan pengetahuan mereka. Berdasarkan satu kajian rambang oleh Majlis Belia Malaysia (MBM), lebih banyak golongan muda yang mengakses internet dari kafe siber berbanding di rumah sendiri. Hal ini ada legitimasinya kerana majoroti golongan muda ialah pelajar sekolah atau institusi pengajian tinggi yang memerlukan internet untuk menambakan informasi dalam kerja-kerja khusus atau kertas-kertas kerja di universiti. Dalam situasi seperti ini, kafe siber telah membantu banyak belia yang tidak mempunyai komputer apatah lagi capaian internet di rumah, untuk menyelesaikan tugasan-tugasan pembelajaran. Sesungguhnya, kemudahan internet dan ICT yang disediakan di kafe-kafe siber cukup besar faedahnya sebagai sumber maklumat yang murah, pantas, mesra pengguna, dan menyeluruh. Isu pornografi dan penyebaran berita palsu dalam internet seyogia tidak berlaku sekiranya konsep kafe siber dan internet ditelusuri secara mendalam. Tidak akad gunanya jika kita hanya celik komputer, tetapi buta maklumat, iaitu faedah dan maklumat yang mampu diperoleh jika kafe siber dan internet dipergunakan secara bijak.
Di luar negara, kafe siber telah dijadikan tempat ahli perniagaan teknologi bertemu dan menjuan produk mereka, yang lazimnya melibatkan perisian atau peranti komputer yang baru. Budaya ini, sejak akhir-akhir ini, telah menular ke Malaysia, dan telah sedikit demi sedikit memberikan nafas baru kepada kafe-kafe siber yang beroperasi. Baru-baru ini, pihak pembekal perkhidmatan internet terkemuka negara, TMnet, telah melancarkan skim terbaru perkhidmatan internet jalur lebar tanpa wayar di sebuah kafe siber di Kuala Lumpur. Dalam majlis pelancaran berkenaan, para pengguna kafe siber tersebut berpeluang menggunakan aplikasi yang serba baru itu, di samping berbincang dan memberikan reaksi tentang aplikasi tersebut. Oleh yang demikian, para pengguna khususnya generasi muda akan lebih peka terhadap teknologi-teknologi baru dalam dunia ICT, mencubanya sendiri, malaham membelinya, kesannya, mereka akan lebih prihatin tentang komputer, internet, dan dunia ICT amnya, serta akan terdidik menggunakannya secara yang lebih berhemah.
Dewasa ini, kafe siber sudah menjadi satu industri yang berdaya saing dan menguntungkan. Kafe siber kini boleh ditemui di mana-mana sahaja, atas usaha kerajaan mewujudkan Pusat Internet Desa di lebih daripada 100 buah tempat di seluruh Malaysia. Kafe siber sebenarnya cukup luas liputannya dan pengaruhnya pada masa ini. Maka kafe siber mampu berfungsi secara sempurna untuk menggiatkan penyuburan budaya celik komputer di kalangan generasi muda pada hari ini. Harga berpatutan yang ditawarkan oleh pengusaha kafe-kafe siber turut memastikan agar setiap lapisan masyarakat berkemampuan untuk terlibat dalam arus perdana dunia moden ini. Yang pasti, inisiatif kerajaan dalam usaha menggalakkan budaya ICT melalui pengwujudan kafe-kafe siber harus dihargai dengan memanfaatkannya sebaik mungkin.
[Sunting] Kesimpulan
Dalam usaha kita terus memajukan dan menggiatkan lagi sektor ICT negara, kita tidak seharusnya alpa tentang kesannya kepada masyarakat seluruhnya, apatah lagi apabila kemudahan itu disalahgunakan. Semua pihak, sama ada kerajaan atau swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta orang awam harus mengamalkan pendekatan tertentu yang konkrit agar kafe siber dan segala pengisiannya dapat digunakan secara rasional. Pokoknya, “tepuk dada, tanya minda”