Syed Ahmad Idid
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Datuk Syed Ahmad bin Idid Syed Abdullah (lahir 12 Jun 1938), ialah bekas hakim Mahkamah Tinggi Malaysia yang dipaksa meletakkan jawatannya pada 1 Julai 1996 ketika mencuba mendedahkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam badan kehakiman Malaysia. Dimungkinkan oleh pertukaran pimpinan negara pada akhir tahun 2003, beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) pada tahun 2004.
|
[Sunting] Biografi ringkas
Dilahirkan di Alor Setar, Kedah, kerjaya beliau bermula sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat pada tahun 1957. Kemudian pada tahun 1960, beliau dilantik sebagai Penolong Pengarah Kastam di Jabatan Kastam Dan Eksais Diraja Malaysia. Selepas menuntut kursus undang-undang di Inns of Courts, London, beliau kembali ke Malaysia dengan ijazah barrister-at-law dan menyertai Perkhidmatan Kehakiman sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Sabah dan juga Kuala Lumpur.
Syed Ahmad telah menyumbang kepada perkembangan, pertumbuhan, dan peningkatan profesion pengurusan melalui jawatan-jawatan berikut:
- Pengarah Bahagian Undang-Undang, Public Bank Berhad
- Presiden Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIPM)
- Felo Institut Bank-Bank Malaysia
- Ahli Persatuan Majistret dan Hakim Komanwel
- Ahli Persatuan Peguam-peguam Komanwel
- Ahli Persatuan Badan Peguam Antarabangsa.
Kini, Syed Ahmad Idid memainkan peranan yang utama dalam pengasasan sistem dan kemampuan penimbangtaraan kelautan di Malaysia. Oleh itu, Institut Kelautan Malaysia dan ahli-ahlinya telah mendapat faedah daripada keikatan dan dedikasi beliau terhadap perkembangan proses pengikhtisasan dan penciptaan peluang-peluang perniagaan.
Disebabkan pencapaian Syed Ahmad dalam bidang pengurusan, Institut Pengurusan Asia (AIM) dan Persekutuan Persatuan-persatuan Alumni AIM menganugerahkan beliau dengan "Anugerah Percapaian Alumni" (bahasa Inggeris: Alumni Achievement Award) atau "Anugerah A Ganda Tiga" (singkatan daripada perkataan bahasa Inggeris) pada tahun 2006. Anugerah diberikan kepada tiga tokoh setiap tahun untuk usaha profesional, keusahawanan dan perkembangan.
[Sunting] Peristiwa surat kepada Ketua Hakim
Syed Ahmad telah dituduh kerana menulis surat layang dakwa rasuah yang membabitkan dua belas orang hakim Malaysia. Menurut Syed Ahmad, beliau cuma mengemukakan butir-butir tentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam badan kehakiman kepada Ketua Hakim, Tun Mohd Eusoff Chin, untuk penyiasatan dan jika terdapat bukti, untuk mendakwa mereka yang terlibat. Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah, Peguam Negara ketika itu mengatakan bahawa keduabelas-duabelas hakim telah disoal oleh pihak berkuasa dan penyiasatan menunjukkan bahawa dakwaan Syed Ahmad "langsung tidak benar dan tidak berasas". Bagaimanapun, Tan Sri Abu Talib Othman, bekas Peguam Negara, mengatakan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 4 Jun 2006 bahawa tiada penyiasatan dilaksanakan tetapi sebaliknya, yang disiasat ialah Syed Ahmad sendiri.
Disebabkan peristiwa itu, Syed Ahmad mengalami banyak kerugian. Selain daripada jawatannya, beliau juga hilang pencen serta banyak tahun dalam hayatnya. Seperti yang sering berlaku dengan orang yang menghadapi keadaan yang buruk, sesetengah kawan dan kenalan beliau menganggapnya sebagai diperbuat daripada kaca lut sinar. Dalam waktu yang singkat, Syed Ahmad menjadi "Orang Halimunan" (bahasa Inggeris: The Invisible Man).
Pada tahun 2000 ketika menghadiri upacara pengebumian Tun Mohamed Suffian Hashim, Syed Ahmad bertemu dengan Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah yang merupakan orang yang memaksa beliau meletakkan jawatan. Tan Sri Mohtar Abdullah mengaku bahawa dia dipaksa berbuat demikian disebabkan "selaras meriam" pada lehernya. Ketika itu, terdapat juga unsur-unsur yang mendesak untuk Syed Ahmad ditahan di bawah Akta Keselamatan Negara tetapi pihak polis negara enggan berbuat demikian.
Dalam Persidangan Undang-undang Malaysia Ke-12 pada Disember 2003, Syed Ahmad mencadangkan sebuah Suruhanjaya Kehakiman untuk melihat pelantikan, pertukaran, kenaikan pangkat, gaji dan ganjaran, latihan, dan pendidikan lanjutan untuk hakim-hakim supaya mutu hakim dapat diperbaiki. Beliau mengemukakan cadangan itu disebabkan oleh apa yang telah terjadi kepada beliau. Kini, Badan Peguam Malaysia telah menuntut untuk suruhanjaya tersebut ditubuhkan. Sebenarnya, idea ini bukannya sesuatu idea yang baru kerana suruhanjaya seperti ini telah ditubuhkan di Sri Lanka, Thailand, Indonesia, dan Hong Kong.
Selepas kes Perbadanan Enron, kerajaan Amerika Syarikat telah melindungi penggerak etika (whistleblower) melalui Akta Sarbanes-Oxley, 2002. United Kingdom melindungi penggerak etika mereka lebih awal lagi melalui Akta Pendedahan Kepentingan Awam pada tahun 1998. Kini di Malaysia, Datuk Shaikh Daud, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, telah menyarankan sebuah akta yang serupa untuk melindungi penggerak etika.
[Sunting] Rujukan
- New Sunday Times, Malaysia. 11 Jun 2006.
- Institut Pengurusan Asia (AIM)