Ikatan kimia
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Ikatan kimia merupakan daya tarikan yang menyatukan dua atau lebih atom. Ikatan kimia antara atom akan membentuk sama ada molekul atau ion, dan seterusnya sebatian kimia. Jenis ikatan kimia yang dibentuk bergantung kepada perbezaan keelektronegatifan (ΔE) antara atom-atom yang membentuk ikatan kimia itu. Secara amnya, seandainya perbezaan keelektronegatifan adalah sangat besar, ikatan kimia yang terbentuk dinamakan ikatan ion. Jika perbezaan keelektronegatifan adalah sangat kecil, dua kemungkinan ikatan kimia yang akan terbentuk; iaitu ikatan logam atau ikatan kovalen. Sekiranya perbezaan keelektronegatifan adalah sederhana, maka ciri-ciri ikatan ion, ikatan logam dan ikatan kovalen akan ditunjukkan.
Ikatan-ikatan ini berbeza dari segi kekuatan. Interaksi lemah antara atom dan molekul boleh terhasil dari kekutuban teraruh (seperti daya London) antara awan-awan elektron. Biasanya ikatan kovalen dan ion dianggap kuat, manakala ikatan hidrogen dan van der Waals dianggap lebih lemah.
[Sunting] Ikatan ion
Ikatan ion terbentuk antara dua atom yang mana perbezaan keelektronegatifan adalah sangat besar. Misalnya, garam NaCl (Na=1.0,Cl=3.0; ΔE=2.0).
Sebatian yang terbentuk hasil daripada ikatan ion dinamakan sebatian ion. Sebatian ion, secara amnya, mempunyai ciri-ciri fizik seperti larut dalam pelarut berkutub tetapi tidak larut dalam pelarut organik, takat lebur dan takat didih yang tinggi, membentuk kristal, dan mengonduksikan elektrik dalam keadaan leburan atau larutan akueus.
[Sunting] Ikatan logam
Ikatan logam terbentuk antara dua atom yang mempunyai keelektronegatifan yang kecil dan perbezaan keelektronegatifan yang sangat kecil. Misalnya logam Na (Na=1.0; ΔE=0).
Sebatian yang terbentuk hasil daripada ikatan logam dinamakan logam (sekiranya semua atom adalah sama) atau aloi (sekiranya terdapat atom-atom asing). Logam atau aloi, secara amnya, mempunyai ciri-ciri fizik seperti tidak larut dalam sebarang pelarut (kecuali logam atau aloi itu bertindak balas dengan pelarut itu sendiri), takat lebur dan takat didih yang tinggi, membentuk kristal (logam sahaja), dan mengonduksikan elektrik dalam keadaan pepejal.
[Sunting] Ikatan kovalen
Ikatan kovalen terbentuk antara dua atom yang mempunyai keelektronegatifan yang besar dan perbezaan keelektronegatifan yang sangat kecil. Misalnya gas Cl2 (Cl=3.0; ΔE=0).
Sebatian kovalen terbentuk hasil daripada ikatan kovalen. Sebatian kovalen, secara amnya, mempunyai ciri-ciri fizik seperti larut dalam pelarut organik tetapi tidak larut dalam pelarut berkutub, takat lebur dan takat didih yang rendah, tidak membentuk kristal, dan tidak mengonduksikan elektrik sama ada dalam keadaan pepejal, cecair, ataupun larutan akueus.
PERHATIAN!: Sifat-sifat fizik yang diberi diatas adalah bersifat AM sahaja. Terdapat banyak kes yang mana sebatian kovalen tidak memenuhi ciri-ciri di atas. Contohnya: alkohol sangat larut dalam pelarut berkutub, berlian mempunyai takat lebur dan takat didih yang sangat tinggi (lebih tinggi daripada beberapa logam dan sebatian ion), silika membentuk pelbagai kristal, dan grafit mengonduksikan elektrik dalam keadaan pepejal.
Pembentukan ikatan kovalen adalah sangat kompleks dan memerlukan pengetahuan mekanik kuantum.