Iklan
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Templat:Pemasaran
Iklan merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan barangan, perkhidmatan, peluang pekerjaan, inspirasi dan maklumat kepada yang ingin disampaikan.
Walaupun periklanan bukan saluran media massa tetapi sejarah dan perkembanganya berkait rapat dengan sejarah dan perkembangan media massa. Revolusi percetakan dan penciptaan alat cetak oleh Johannes Gutenberg pada 1440 merupakan peristiwa paling penting dalam permulaan kegiatan periklanan di dunia.
Revolusi dan penciptaan ini membolehkan penerbitan iklan massa dalam bentuk poster bercetak, iklan akhbar, helaian dan bil. Iklan poster bercetak yang pertama diterbitkan pada 1472. Sementara iklan akhbar yang pertama muncul di London pada 1625. Akhbar-akhbar harian awal seperti Daily Courant, Revue, Examiner, Tatler dan Spectator di Barat menyiarkan pelbagai iklan barangan termasuk iklan kopi, coklat, teh, ubat-ubatan serta iklan peribadi.
Iklan pertama di Amerika Syarikat muncul pada 1704 dalam Boston Newsletter, manakala agen periklanan yang pertama ditubuhkan oleh Volney Palmer di Massachusetts. Beliau membeli ruang-ruang iklan daripada pemilik-pemilik akhbar pada kadar potongan dan kemudiannya menjual ruang-ruang itu kepada pengiklan dengan harga yang lebih tinggi. Pada waktu itu, para pengiklan biasanya menyediakan iklan mereka sendiri.
Pada 1890, N.W. Ayer & Son di Philadelphia menawarkan perkhidmatannya kepada para pengiklan sepertimana yang dilakukan oleh agensi-agensi periklanan masa kini. Manakala majalah pertama yang menerbitkan iklan ialah Southern Messenger pada Julai 1844. Pada 1848, Cyrus H.K. Curtis mengasaskan majalah Ladies Home Journal yang begitu bergantung kepada iklan untuk membiayai kos penerbitannya.
Pada 1920, iklan radio mula disiarkan di Pittsburgh, Pennsylvania, manakala iklan TV pertama kali disiarkan pada 1941. TV warna mula diperkenalkan pada 1955 dan iklan TV menjadi semakin penting kerana keupayaan televisyen menarik para penonton di rumah.