Majlis Perbandaran Alor Gajah
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Alor Gajah yang terkenal dengan pahlawan Naning iaitu Dato' Dol Said yang menentang British di dalam Perang Naning tahun 1832 adalah dari sebuah kawasan hutan yang dipercayai menjadi laluan gajah-gajah liar, kini Alor Gajah menjadi sebuah daerah yang sedang pesat membangun.
Daerah Alor Gajah yang mengandungi tiga (3) buah bandar dan 16 buah pekan-pekan kecil. Keluasan daerah Alor Gajah adalah seluas 66,302 hektar yang merangkumi 31 buah mukim.
Majlis Luar Bandar Alor Gajah telah disusun semula mengikut Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan diberi pengiktirafan sebagai Majlis Daerah Alor Gajah pada 1 Julai 1978.
Kini daerah Alor Gajah mempunyai bilangan penduduk seramai 131,870 orang mengikut banci penduduk bagi tahu 2000. Pekan Alor Gajah terletak 24km dari bandar Melaka dan kini merupakan salah satu pintu masuk utama ke negeri Melaka melalui Lebuhraya Utara-Selatan.
Majlis Perbandaran Alor Gajah merupakan sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berorientasikan perkhidmatan rakyat merupakan penggerak utama di dalam menjadikan Alor Gajah sebagai daerah yang maju dan indah.
Pembangunan kawasan pentadbirannya telah maju serentak dengan pembangunan keseluruhan negeri Melaka dengan penekanan utama dari sektor-sektor perindustrian, pelancongan dan pertanian. Kewujudan insfrastruktur turut mempercepatkan aliran masuk para pelabur tempatan dan para pelabur asing untuk menanam modal dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Adalah menjadi harapan Majlis Perbandaran Alor Gajah untuk memberikan perkhidmatan yang sebaik mungkin kepada masyarakat di bawah kawasan tadbirnya. Justeru itu, Majlis Perbandaran Alor Gajah akan memaksimakan segala usaha-usaha untuk membangunkan daerah bagi mencapai kemajuan dan kemakmuran.