Mokhtaruddin
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Mokhtaruddin | |
---|---|
![]() Mokhtaruddin dalam filem Pasung Puaka |
|
Asal | Perlis |
Negara | Malaysia |
Tahun aktif | 1975–1985 |
Genre muzik | |
Label rekod | |
Ahli semasa | |
Bekas ahli | |
Laman web rasmi |
Mokhtaruddin ( Nama penuh : Mokhtaruddin Haji Mohd Said lahir pada 22 Disember 1954 di Tambun Tulang, Arau, Perlis ) adalah salah seorang pelakon dari Malaysia dari era tahun 1970 an hingga 1980 an. Selepas itu beliau tidak lagi aktif berlakon dan banyak terlibat dalam aktiviti kebajikan, terutamanya di sekitar Perlis.
[Sunting] Ketika zaman kegemilangan
WAJAH Mokhtaruddin, pelakon popular era tahun 1970-an hampir seiras dengan Ed Osmera (Allahyarham) menjadikan kemunculan mereka kadang-kadang agak mengelirukan penonton. Bahkan, kedua-duanya pernah digandingkan dalam filem Raja Laut arahan Z Lokman pada 1976.
Malah, antara Mokhtaruddin, Ed Osmera dan Z Lokman juga mempunyai iras wajah hampir sama menjadikan mereka seolah-olah seperti bersaudara pula!
Mokhtaruddin, adalah antara hero filem Melayu dekad 70-an sehingga 80-an. Kali terakhir beliau diundang muncul di layar perak pada 2002 menerusi filem Mendam Berahi, juga arahan Z Lokman. Beliau diperkenalkan ke layar perak oleh M Shahdan, menerusi sebuah filem yang dikenali dengan judul Kapal Siam pada awal 70-an. Sejak itu, bakatnya semakin terserlah dalam dunia lakonan dan sering diberikan watak utama.
Kemahirannya bersilat menyebabkan tokoh pengarah veteran, Naz Achnas mengambilnya sebagai pelakon filem Loceng Maut pada 1976. Filem itu turut dibintangi Hussein Abu Hassan dan Teh Faridah. Selepas filem itu, beliau diberi kepercayaan memegang watak pembantu dan utama dalam filem produksi tempatan ketika itu, terutama filem bercorak purba dan aksi.
Sebenarnya, sebelum menjadi pelakon, Mokhtaruddin sememangnya terlebih dahulu menjadi jurulatih silat di Studio Merdeka Hulu Klang (sekarang Kompleks Finas), bermula pada tahun 1974.
Antara filem yang pernah dibintanginya sama ada watak pembantu atau utama, ialah Langkah Sumbang, Binjai Masin atau Kapak Siam, Langit Tidak Selalu Cerah, Pertentangan, Ribut Barat, Cahaya Sakti, Pasung Puaka, Cikgu Sayang dan Jauh Di Sudut Hati.
Beliau juga turut berlakon dalam beberapa drama terbitan RTM, antaranya Wira iaitu drama televisyen warna pertama, menjadi pelakon utama berpasangan dengan Aznah Hamid dan Abdullah Zainol.
[Sunting] Aktiviti kemasyarakatan
Selain aktif berlakon, Mokhtaruddin juga aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan menubuhkan Persatuan Seni Silat Pancang 12. Dalam persatuan itu, beliau sebagai guru silat dan mengembangkan seni silat ini ke seluruh negara.
Beliau mula mengajar silat sejak tahun 80-an di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang selepas tidak aktif berlakon. Bahkan, beliau juga pernah menjadi jurulatih seni mempertahankan diri kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1985 hingga 1986.
Pada 1998, Mokhtaruddin bersama isterinya, Sharifah Tahiyah Syed Mahamood mengasaskan Pondok Penyayang Raudah di Gombak, Selangor untuk menjadi pusat pendidikan remaja bermasalah, seperti terlibat dalam gejala dadah, buli, lepak dan sebagainya dengan menganjurkan kegiatan keagamaan dan sosial dalam usaha membantu kerajaan menyelesaikan sebahagian permasalahan masyarakat.
Mokhtaruddin juga menganjurkan ‘summer camp’ setiap minggu sebagai kem motivasi untuk pelajar sekolah dan membantu penghasilan serta penerbitan drama berunsur nasihat dan teladan kepada masyarakat.
Sebagai menghargai sumbangannya dalam dunia perfileman dan kemasyarakatan, beliau diberikan Anugerah Bintang Seniman - Kukum 2006: Tokoh Seni Negeri Perlis di Kangar, pada 6 Mei 2006. Beliau sekarang menetap di Kangar bersama isterinya, Sharifah Tahiyah Syed Mahamood.
[Sunting] Filem
- Pasung Puaka (1979)
- Pertentangan (1976)
- Loceng Maut (1976)
- Raja Laut (1976)
- Ribut Barat (1981)
- Langit Tidak Selalu Cerah (1982)
- Cikgu Sayang (1983)
- Jauh Di Sudut Hati (1984)