Paskal
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Pasukan Khas Laut atau nama singkatannya PASKAL merupakan pasukan komando dari Tentera Laut Diraja Malaysia. Unit ini beroperasi dikawasan perairan Malaysia dan menjalankan 3 cabang operasi meliputi darat, laut dan udara.
[Sunting] Sejarah
Pada tahun 1975, TLDM memerlukan sebuah pasukan khusus untuk menguatkuasakan perairan Malaysia dari diceroboh oleh sebarang keganasan di laut, misalnya lanun. Pasukan ini dikehendaki untuk menjalani latihan peperangan moden dilaut. Atas keperluan inilah, TLDM telah menghantar 30 orang pegawai dan anggota di Pusat Latihan Peperangan Khas, Kem Sungai Udang, Melaka dan seterusnya dihantar ke Surabaya, Indonesia untuk mendapat latihan khas dari pasukan elit KOPASKA (Komando Pasukan Katak) Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Laut dan bermulanya detik penubuhan pasukan elit TLDM. Selepas menjalani latihan dari KOPASKA, pasukan ini kemudiannya dihantar ke London untuk dilatih oleh Komando Marin Diraja Britain (Bahasa Inggeris: United Kingdom Royal Marine Commando) dan seterusnya ke Amerika Syarikat bagi mendalami latihan komando oleh US Navy SEAL.
Sepertimana anggota SEAL yang lain, pasukan PASKAL yang dilatih oleh SEAL ini mengikuti latihan asas di Coronado, California dan Norfolk, Virginia terutamanya latihan yang melibatkan operasi dibawah permukaan air serta latihan-latihan yang cukup mencabar yang tidak dapat dilakukan oleh pasukan tentera yang biasa. Setelah menamatkan latihan daripada ketiga-tiga pasukan elit ini, PASKAL memulakan pengoperasiannya di Malaysia pada tahun 1 Oktober, 1980 mempertahankan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu nautika dari perairan Malaysia.