Sekolah Kebangsaan Chukai
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Sekolah Kebangsaan Chukai terletak di Chukai, Terengganu.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Sejarah
Kedudukan
SK Chukai mula dibuka pada tahun 1916 di pinggir sungai Kemaman sebelah timur Warf Kastam Kemaman dengan murid berjumlah 9 orang. Setelah beroperasi selama sebulan sekolah ini runtuh ke dalam sungai Kemaman.
Sekolah ini kemudian terpaksa berpindah beberapa kali. Mula-mula ke Jalan Abdul Rahman berhampiran dengan kubur Masjid Jamek Chukai kemudian di tapak Rumah Hakim Kemaman berhampiran dengan Dewan Bandaran Kemaman. Selepas itu tapaknya berubah lagi ke bangunan di Jalan Sulaimani berdekatan dengan stesen minyak Shell.
Pada tahun 1923 sekolah ini berpindah lagi di tapak bangunan rumah guru SJKC Chukai di Jalan Jakar sehingga tahun 1925 dan pada tahun 1926 ke bangunan dalam kawasan Hospital Kemaman.
Bangunan SK Chukai yang ketika itu dikenali sebagai Sekolah Melayu Chukai dibina pada tahun 1937 menggunakan bahan atap nipah berdindingkan pelupuh dan berlantaikan papan berukuran 120’x 26’.
Bangunan tambahan mula dibina mengikut pertambahan murid. Pada tahun 1948 bangunan kedua dibina dengan keluasan 50’x24’ kemudian diikuti dengan bangunan ketiga (1957) dan keempat (1960). Kedua-dua bangunan ini berukuran 60’x22’. Bangunan kelima pula didirikan pada tahun 1969 dengan keluasan 100’x26’.
Bangunan khas untuk murid-murid perempuan yang dibina pada tahun 1948 telah dirasmikan oleh D.Y.M.M. Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 27 Jun 1948. Semenjak itu sekolah berpecah menjadi Sekolah Melayu Laki-laki Chukai dan Sekolah Melayu Perempuan Chukai.
Selepas Perang Dunia Kedua, Sekolah Melayu Laki-laki Chukai telah dipecahkan menjadi Sekolah Kebangsaan Laki-Laki Chukai (menampung Darjah 1 – 5) dan Sekolah Kebangsaan Chukai Bandar (menampung murid Darjah 6 dan Darjah 7). Sekolah Kebangsaan Chukai Bandar beroperasi di bangunan Pejabat Daerah Kemaman lama iaitu tapak Dewan Bandaran Kemaman sekarang. Namun kedua-dua sekolah lelaki ini disatukan semula pada 18 Oktober 1959.
Apabila Sekolah Kebangsaan Pusat dibuka pada tahun 1965, semua murid Darjah 4, 5 dan 6 dari SK Chukai (L) dan SK Chukai (P) dipindahkan manakala pada 1 April 1966 SK Chukai (L) dan SK Chukai (P) dicantumkan dan ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Chukai.
Untuk memberi keselesaan kepada warga sekolah ini, bangunan baru (batu) berharga RM268,000.00 telah dibina pada tahun 1976 dan telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato Seri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu pada 27 April 1979. Pada tahun 1992 sebuah bangunan tiga tingkat dan kantin didirikan dan pada tahun 2003 pula dua buah bangunan empat tingkat telah dibina untuk menyediakan ruang pejabat, bilik guru, bilik mesyuarat, bilik-bilik khas dan bilik-bilik darjah. Semenjak itu SK Chukai dapat beroperasi sebagai sekolah satu sesi dengan jumlah murid kira-kira 1100 orang manakala guru dan kakitangan seramai 68 orang tidak termasuk kakitangan swasta seramai 9 orang.
Pengasas dan Guru Besar
Pengasas sekolah ini ialah Yang Berbahagia Datuk Nara Diraja dengan Guru Besar pertamanya ialah Encik Sidek bin Kassim. Perlantikan rasmi Guru Besar sekolah ini bermula pada tahun 1925 seperti senarai berikut:
Tahun Perkhidmatan | Nama |
---|---|
1925–1937 | En. Muhammad bin Ismail |
1937–1938 | En. C.W. Abu Bakar bin Chik |
1938–1940 | En. Mohd Akil bin Atan |
1940–1945 | En. Muda bin Abdul Rahman |
1945–1946 | En. Muhammad bin Ismail ‘B' |
1946–1952 | En. Wan Abdullah bin Mahmud |
1952–1954 | En. Mohammad bin Hassan |
1954–1958 | En. Abdul Razak bin Akil |
1958–1959 | En. C.W. Hussain bin Nik |
1959–1960 | En. Abdul Razak bin Akil |
1960–1964 | En. C.W. Ibrahim bin Chik |
1965–1969 | En. Johari bin Othman |
1970–1971 | En. Abdul Halim bin Hassan |
1972–1982 | En. Mohd Nor bin Abdul Rahman |
1982–1985 | En. Ahmad bin Khamsah |
1986–1990 | Tuan Haji Khalid bin Taib |
1990–2003 | En. Halimi bin Kasim |
2003–Kini | Tuan Haji Mohd Yusof bin Muda |
[Sunting] Lagu Sekolah
Baktimu tetap dikenang
Kaulah maruah kami
Akan tetap kami pertahankan
Mencapai wawasan anak bangsa
SKC Chukai SKC
Pelajaran suluh hidup
Itulah cogankata kami
Akan kami sanjungi
Terima kasih SKC
Kaulah pelita kami
Kau menjanjikan harapan kami
Kepada nusa bangsa dan negara
Lagu Sekolah Versi Baru - 2006
LAGU SEKOLAH
Sekolahku Tercinta SK Chukai
SK Chukai Sekolahku
Melangkah Maju Terus Maju
Kecemerlangan Warga Dipacu
Matlamat Wawasan Yang Jitu
Teknologi Terkini
Asas Inspirasi
Demi Masa Hadapan
Multimedia, ICT
Bestari
Menuju Wawasan
Akhlak Yang Mulia
Dipelihara
Maruah Bangsa Dijaga
Membina Tekad
Dan Azam Sentiasa
Sekolah Ku Tercinta
SK Chukai Terbilang
[Sunting] Alamat Sekolah
Sekolah Kebangsaan Chukai
Jalan Penghiburan
24000 Kemaman
Terengganu
No Telefon 09-8591529
No Fax 09-8594984