Sekolah Kebangsaan Dato' Panglima Kinta
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Sekolah Kebangsaan Dato' Panglima Kinta pada asalnya ialah Birch English Primary School yang menggunakan bangunan berhampiran pintu masuk yang pernah digunakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kinta dan sekarang ini pula bertempatnya PKG Dato' Panglima Kinta dan PKG Sungai Pari. Sebelum perang dunia kedua dahulu, bangunan ini adalah sebuah Kelab Rekreasi bagi kakitangan kerajaan British.
Pada 1 Januari 1951 Sekolah Melayu Birch pula ditubuhkan dengan mempunyai seramai 120 orang murid dan 4 orang guru yang belajar di sesi pagi. Birch English Primary School belajar sessi petang. Guru Besar pertama Sekolah Melayu Birch ialah En Hussein bin Daan. Pada tanggal 1 Jun 1957 sebagaimana lain-lain sekolah di Persekutuan Tanah Melayu, Sekolah Melayu Birch bertukar nama kepada Sekolah Umum Jalan Connolly, Ipoh, Perak.
Pada awal tahun 1959 sekali lagi sekolah bertukar nama dan kali ini nama barunya ialah Sekolah Kebangsaan Jalan Connolly, Ipoh . Pada 14 Mei 1978 selepas mendapat bangunan baru dan dengan persetujuan Lembaga Pengurus PIBG, Jabatan Pendidikan Perak dan Kementerian Pendidikan dalam satu upacara perasmian yang dilakukan oleh Yang Berbahagia Orang Kaya Kaya Orang Besar Jajahan Kinta, telah diberi nama baru iaitu Sekolah Kebangsaan Dato' Panglima Kinta, Ipoh.