Songkhla
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Songkhla (Thai: สงขลา) (dahulunya dikenali sebagai Singgora) adalah sebuah bandar di Thailand berhampiran dengan sempadan Semenanjung Malaysia. Bandar ini terletak di kedudukan geografi 7°12′ N 100°35′ E. Dalam tahun 2006, bandar Songkhla mempunyai 75,048 orang penduduk. Songkhla juga dikenali sebagai "Singgora" ataupun “Kota Singa” khususnya di kalangan negara-negara barat sebelum Perang Dunia II.
Walaupun Songkhla lebih kecil berbanding dengan bandar Hatyai, Songkhla adalah bandar wilayah untuk Wilayah Songkhla dan juga Wilayah Perbandaran Songkhla (Amphoe Mueang Songkhla).
Songkhla terletak di muara tasik Songkhla yang menghubungkan tasik itu dengan Teluk Siam. Bandar Songkhla adalah pelabuhan dan pusat perikanan yang penting di Thailand, dan membekalkan banyak tangkapannya kepada pembeli di Semenanjung Malaysia dan Singapura.
[Sunting] Sejarah
Pada 8 Disember 1941, Ketumbukan Ke-25 Tentera Imperial di bawah pimpinan Tomoyuki Yamashita membuat pendaratan di Songkhla dan Pattani dan menggunakan bandar-bandar ini sebagai landasan Tentera Jepun untuk penaklukan Tanah Melayu.
Tentera British mempunyai rancangan Operasi Matador melibatkan penempatan pasukan Tentera British di wilayah Thai untuk mengawal kawasan dipanggil “The Ledge” di pertengahan jalan antara Songkhla dan Sadao untuk menyekat kemaraan askar Jepun. Malangnya, rancangan ini tidak dilancarkan kerana Panglima Tertinggi Timur Jauh British tidak berani memberikan arahan melancarkan operasi ini kerana takut akan menimbulkan insiden diplomatik.