Harimau
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Harimau | |||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
![]() |
|||||||||||||||||
Pengelasan saintifik | |||||||||||||||||
|
Harimau tergolong dalam kerajaan haiwan dalam filum kordata (bersaraf tunjang), sub-filum vertebrata (bertulang belakang), kelas mamalia (berdarah panas, berbulu dengan kelenjar menyusu), susunan maging (Carnivor), keluarga felidae (kucing), genus panthera, spesies tigris (harimau).
Harimau biasanya memburu mangsa yang agak besar seperti rusa sambar, kijang, babi, kijang, kancil, tetapi akan memburu haiwan kecil seperti landak sekiranya ketiadaan mangsa.
[Sunting] Sub-spesies
Terdapat enam sub-spesies harimau dalam Genus Panthera yang masih hidup pada masa sekarang dari jumlah asal sembilan sub-spesies harimau moden. Tiga sub-spesies harimau yang selebihnya telah pun dianggap pupus secara rasmi. Sub-spesies harimau yang diketahui adalah seperti berikut:-
- Harimau Siberia (Panthera tigris altaica) - atau juga dikenali sebagai Amur, Ussuri, Harimau Timur Laut China, atau harimau Manchuria. Harimau Siberia tinggal di kawasan hutan hujan dan padang rumput China, Korea Utara, dan Asia Tengah di Russia. Sub-spesies ini merupakan yang terkuat di antara semua jenis kucing liar di dunia.
- Harimau Cina Selatan (/amoy) (Panthera tigris amoyensis) - yang tinggal di kawasan hutan hujan dan padang rumput tengah dan barat Republik Rakyat China. Harimau ini pernah digelar oleh Mao Zedong sebagai satu ancaman kepada keselamatan orang ramai.
- Harimau Indochina (Panthera tigris corbetti) - yang terdapat di kawasan hutan hujan dan padang rumput Malaysia, Kemboja, Republik Rakyat China, Laos, Myanmar, Thailand, dan Vietnam.
- Harimau Bengal (Panthera tigris tigris) - yang terdapat di kawasan hutan hujan dan padang rumput Bangladesh, Bhutan, Republik Rakyat China, India, dan Nepal.
- Harimau Sumatra (Panthera tigris sumatrae) - yang tinggal hanya di kepulauan Sumatera.
- Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) - yang terdapat di kawasan Semenanjung Malaysia. Sehingga tahun 2004, harimau Malaya tidak diiktiraf sebagai sub-spesies yang berbeza, sebaliknya dianggap sebagai sub-spesies Harimau Indochina.
- Harimau Bali (Panthera tigris balica) - yang telah pupus sekitar 1937. Harimau Bali pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan kepulauan Bali, Indonesia.
- Harimau Jawa (Panthera tigris sondaica) - yang telah pupus sekitar 1972. Harimau Jawa pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan kepulauan Jawa, Indonesia.
- Harimau Caspian (Panthera tigris virgata) - yang telah pupus sekitar 1950an. Harimau Caspian ini pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan dan padang rumput Afghanistan, Iran, Mongolia, Turki, dan kawasan Asia tengah Russia.
[Sunting] Lambang
Harimau merupakan lambang yang penting di negara-negara seperti Malaysia dan India. Pada lambang negara Malaysia (Jata Negara), dua ekor harimau yang berdiri di kedua-dua belah perisai melambangkan kekuatan dan keberanian. Lambang harimau juga digunakan pada logo syarikat Malaysia seperti Maybank dan PROTON.
Harimau diancam kepupusan bukan sahaja akibat pertembungan dengan manusia yang menganggap jenis kucing buas ini sebagai ancaman keselamatan kepada nyawa manusia dan binatang ternakan, malah diburu untuk memperoleh kulit belangnya untuk tujuan perhiasan, serta anggota badannya untuk dijadikan hidangan eksotik dan perubatan tradisi Asia. Kemusnahan habitat juga banyak menyumbang kepada penurunan bilangan harimau di dunia.
Sekarang dianggarkan cuma tinggal 3,000 ekor harimau daripada pelbagai sub-spesies di dunia. Usaha-usaha sedang dijalankan untuk memulihara populasi harimau. Pada tahun 2005, peristiwa Nicky, seekor anak harimau yang diselamatkan daripada menjadi bahan masakan, dan sekarang ditempatkan di Zoo Melaka, telah menyayat hati ramai rakyat Malaysia dan pencinta alam.