Silat Seni Gayung Fatani
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Silat Seni Gayung Fatani merupakan sebuah aliran Silat Tradisi Semenanjung yang mengamalkan kurikulum silat tradisi gelanggang bangsal. Kurikulum baru Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia sebenarnya berjaya membina semula versi Seni Silat Tradisi Semenanjung. Versi tersebut telah diangkat menjadi versi hak asli bangsa Melayu.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Asal-usul
Silat Gayung Fatani berasal dari Pattani, Selatan Thailand dan kemudiannya berkembang pula ke negeri Kedah. Ia diasaskan pada tahun 1890 oleh Tuan Syeikh Abd. Rahman Tahir, seorang guru agama yang lebih dikenali dengan panggilan Sheikh Abdul Rahman Rambut Panjang.
Sheikh Abdul Rahman kemudiannya menurunkan ilmu ini kepada anaknya juga seorang guru agama bernama Haji Ramli bin Abdul Rahman yang dikenali sebagai Tok Yah Ramli. Syeikh Abdul Rahman juga mengajar kepada beberapa murid yang lain termasuk Tuan Haji Pak Teh Mohd Ali.
Pak Teh Ali kemudian menurunkan ilmu ini seterusnya kepada Pak Andak Embong. Pak Andak Embong pula kemudian menurunkan ilmu ini kepada Tuan Haji Anuar Abd Wahab pada tahun 1965. Tuan Haji Anuar sekarang ini merupakan Pengasas dan Guru Utama, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia
Manakala salah seorang anak murid Haji Ramli bernama Haji Abdullah Darus telah membuka dan mengembangkan ilmu persilatan ini ke Batu Kurau, Perak dalam tahun 1948 manakala seorang lagi bernama Haji Mat Isa yang juga dikenali dengan gelaran ‘Awang Pendekar’ telah membuka gelanggang di Titi Kasai, Perak.
Diantara anak murid Haji Mat Isa yang telah berjasa mengembangkan Silat Gayung Fatani adalah Mohamad bin Mahat atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Long Aji. Beliau telah berguru dengan Haji Mat Isa pada tahun 1940an dan kemudiannya menambah dan mendalami ilmu persilatan serta ilmu keagamaan dengan Haji Ramli bin Abdul Rahman selama lebih tiga tahun..
[Sunting] Perkembangan
Pada 14hb September 1976, silat ini dan didaftarkan sebagai pertubuhan rasmi dibawah akta pertubuhan hasil usaha Tuan Haji Anuar bin Haji Abdul Wahab AMN yang merupakan Guru Utama. Silat Gayung Fatani merupakan kombinasi antara silat yang turut diiringi muzik tradisional. Gabungan kesenian dengan teknik beladiri menjadikan Silat Gayung Fatani sebagai satu bentuk persilatan melayu lama yang menggabungkan teknik tempur jarak dekat dan bersenjata.
Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia merupakan antara empat badan pendiri Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA). Ia mempunyai gelanggang silat di seluruh 14 buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Di peringkat antarabangsa, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia telah mengembangkan sayapnya di negara-negara luar seperti Austria, Perancis, Switzerland, Norway, German, Romania dan Greece.
[Sunting] Pencapaian
Pertubuhan ini pernah menjadi Juara Keseluruhan Kejuaraan Silat Kebangsaan iaitu pada tahun 1991 (Melaka), 1992 (Kedah), 1994 (Pulau Pinang) dan 1995 (Kuala Terengganu). Pertubuhan ini juga berjaya melahirkan pesilat untuk negara sebagai contoh Kejuaraan Silat Peringkat Antarabangsa seperti di Sukan SEA, Terbuka Antarabangsa dan Silat Dunia.
Selain itu, kurikulum baru Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia telah dijadikan dasar untuk mewujudkan kurikulum silat. Pada April 2002, majlis Kementrian, Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia bersama Kementrian Pendidikan Malaysia telah menjemput Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) untuk mengadakan satu mesyuarat mengenai program ini. Oleh itu, Tuan Haji Anuar telah menerima tugas itu dan dipertanggungjawabkan untuk mengasas, menyusun dan seterusnya mengembangkannya ke seluruh negara. Di dalam mesyuarat tersebut, ahli majlis bersetuju menerima kurikulum baru Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia dijadikan dasar untuk mewujudkan kurikulum silat.
[Sunting] Rujukan
"Kenalkan Seni Gayung Fatani di Khalayak Ramai" oleh Akmal Effendee, VARIASARI (Ogos 2004)
[Sunting] Pautan Luar
- Laman web rasmi Pusat Cemerlang Silat, badan pendiri yang bernaung di bawah PSGFM (Bahasa Melayu)
- Laman web Pusat Cemerlang Silat dalam Bahasa Inggeris (English)
- Laman web Gayung Fatani France sila rujuk: sponsors dan Seni Gayung Fatani
- Laman web Gayung Fatani Austria
- Video Gayung Fatani Malaysia & PCS di YouTube.com
- Video Gayung Fatani Austria di Google Videos