Tun Syed Ahmad Shahabudin Al-Haj
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabuddin (lahir 4 Mei 1925) merupakan Menteri Besar Kedah dari tahun 1967 hingga 1978 dan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka pada tahun 1984.
Di lahirkan di Kulim, Kedah Syed Ahmad adalah anak ketiga daripada lima adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kulim dari tahun 1932 hingga tahun 1935. Syed Ahmad kemudian melanjutkan pelajarannya di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star sehingga beliau lulus peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1947.
Syed Ahmad mendapat pengalaman yang luas dan sentiasa aktif dalam politik. Beliau merupakan Penolong Setiausaha UMNO Kedah (1951-1954), Setiausaha UMNO Kedah (1954-1967), Pengerusi Jawatankuasa Perunding UMNO Negeri dan Barisan Nasional Kedah (1967-1978), Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1968-1978) dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perunding UMNO Negeri dan Barisan Nasional Kedah (1978-1984).
Syed Ahmad telah dilantik menjadi Menteri Besar Kedah dari tahun 1967 hingga 1978, dan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 1978 hingga 1982, serta Duta Malaysia ke Singapura dari 1982 hingga 1984. Pada tahun 1984, Syed Ahmad telah dilantik menjadi Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka.
Syed Ahmad berkahwin dengan Toh Puan Sharifah Haniffah binti Syed Alwi pada tahun 1950 dan telah dikurniakan enam orang anak. Toh Puan meninggal dunia pada 5 Julai 1993 di Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, Syed Ahmad berkahwin dengan Toh Puan Datuk Seri Datin Seri Utama Marfuza bte Sheikh Mohd Osman dan mereka dikurniakan dengan empat orang anak.