Sekolah Tinggi Melaka
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Melaka atau lebih dikenali sebagai Sekolah Tinggi Melaka (STM) merupakan sekolah kedua tertua di Malaysia setelah Penang Free School. Sekolah yang kini megah berdiri di Jalan Chan Koon Cheng, Melaka ini telah melahirkan ramai anak Malaysia yang kini namanya gah dalam mahupun luar negara menerusi bidang masing-masing. Malah beberapa kejayaan dalam mahupun luar negara telah beberapa kali dikecapi sehingga ke hari ini.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Sejarah
Bermula pada 7 Disember 1826, STM dengan rasminya ditubuhkan. Penubuhan ini adalah tidak lama setelah negeri Melaka menjadi wilayah jajahan Inggeris (17 Mac 1824). Penubuhannya adalah ilham Thomas H. Moor yang telah datang ke Melaka pada 1825 atas undangan Milne untuk menjadi tenaga pengajar di Anglo Chinese College. Dalam suratnya yang bertarikh 4 Januari 1825, beliau Thomas H. Moor telah menyatakan hasratnya kepada Arundel di Kota London untuk membuka sebuah sekolah aliran Inggeris di Melaka. Ilham beliau telah mendapat sokongan dan perhatian daripada beberapa orang yang berpengaruh, termasuklah James Humphrey iaitu seorang “Superintendent” dalam London Society’s Mission. Dengan bantuan mereka semua inilah secara rasmi “Malacca Free School” dibuka. Latar belakang kepada pengasasan sekolah ini berikutan penutupan sebuah sekolah Belanda-Melayu yang ditubuhkan oleh mubaligh Kristian pada 1819. Sekolah Belanda-Melayu itu terpaksa ditutup berikutan pertukaran pemerintahan Belanda kepada Inggeris. Bermula dengan nama “Malacca Free School”, sekolah yang sepatutnya dikemudi oleh mubaligh-mubaligh Kristian terpaksa diambilalih oleh kerajaan British berikutan masalah kewangan dan pentadbiran yang dihadapi oleh mubaligh-mubaligh Kristian ini.
STM bukan sahaja membuka pintunya kepada semua bangsa dan agama, namun ia juga memberikan pelajaran percuma kepada para pelajarnya. Justeru, ia dinamakan “free” (percuma atau bebas). Ini berbeza dengan Penang Free School (1816) dan Singapore Free School (1823) yang sezaman dengan STM, yang mana kedua-dua sekolah ini hanya “free” dari segi pengambilan pelajar sahaja, tetapi mengenakan bayaran (yuran) kepada pelajar-pelajarnya.
- Lokasi STM
Pada awal penubuhannya, STM terletak di bangunan Personage House (sekarang Muzium Belia Melaka). STM dalam sejarahnya telah mengalami dua kali perpindahanm iaitu pada 1884 dan 1931. Perpindahan ini disebabkan oleh kemajuan yang dicapai STM dari segi bilangan penuntutnya yang semakin meningkat walaupun dalam kadar yang minimum.
Pada 1884, STM berpindah ke bangunan baru iaitu Mahkamah Tinggi Melaka yang dahulu. Perpindahan ke bangunan baru ini kerana bangunan lama sudah tidak sesuai lagi. Bangunan ini diilhamkan oleh F.C. Shepberd pada 1882. Bangunan baru ini boleh menampung seramai 200 orang pelajar.
Beberapa tahun selepas itu, cadangan dikeluarkan untuk membina STM di Padang Kubu. Namun hasrat ini terbatal apabila Tuan Haji Bachee bin Ahmad bermurah hati menjualkan tapak sekolah ini kepada kerajaan atas kesedaran betapa mustahaknya tujuan pembinaan sekolah ini demi anak bangsanya.
Pada tahun 1928, bangunan baru di Jalan Chan Koon Cheng mula dibina dengan perbelanjaan sebanyak $170,00 yang tidak termasuk harga pembelian tanah. Bangunan baru ini dilengkapi rumah guru, tandas serta sistem peparitan. Bangunan dua tingkat ini akan kelihatan seakan-akan huruf “E” yang mana pendapat mengatakan ia dicipta sebagai menggambarkan Inggeris (English). Bangunan ini masih boleh kelihatan di ruang udara sehingga kini dan masih utuh walaupun dimamah zaman.
Menjelang 1934, penambahan dilakukan. Perbelanjaan hampir $ 5,000 untuk membina “Quarters for Boarding Master”, tempat parkir dan armuri (tempat penyimpanan bahan api, stor, pancaragam dan bilik kadet).
STM juga pernah menggunakan Bandar Hilir English School (kini, Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir) apabila STM digunakan oleh tentera British.
- Pelajar-pelajar STM
STM memulakan sejarahnya dengan bilangan pelajar seramai 18 orang murid lelaki. Pada tahun 1828, STM membuka pintunya kepada pelajar-pelajar perempuan dan seramai 65 pelajar perempuan mendaftar di STM. Pada tahun 1834, pelajar perempuan tidak lagi dibenarkan bersekolah di STM apabila Miss Wallace menggantikan Maria Neweel yang berpindah dan berkhidmat di Canton, China. Namun, beberapa tahun kemudian STM cuba membuka peluang kepada pelajar perempuan untuk bersama-sama membangunkan pendidikan di STM tetapi disebabkan kekurangan alat-alat pengajaran dan sikap dingin pelajar perempuan, sistem keterbukaan kepada pelajar perempuan dihentikan serta-merta. Para pelajar STM kebanyakannya berasal dari kawasan-kawasan sekitar Melaka seperti Klebang, Limbungan, Bukit Rambai, Ujong Pasir, Masjid Tanah, Alor Gajah dan kawasan-kawasan lain. Bermula dari tahun 1826 sehinggalah perang dunia kedua, bilangan pelajarnya tidak pernah mencapai angka 500 orang melainkan pada tahun 1907 di mana pelajarnya seramai 505 orang. Selepas perang, sekolah ini telah berkembang pesat. Kini, STM berbangga memiliki seramai 2000 orang pelajar untuk setiap tahun.
- Asrama Putera STM
Asrama STM dibina pada 1942 yang mana pengetuanya adalah Mr. C.G. Coleman. Asrama ini boleh menampung seramai 60 orang pelajar sahaja. Pada tahun 1972, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan dasar pemilihan pelajar rancangan khas. Pelajar-pelajar di Melaka yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima akan ditempatkan di STM. Bilangan yang dipilih adalah seramai 80 orang.
1975, bangunan asrama lama telah diruntuhkan untuk pembinaan dewan sekolah (masih berfungsi sebagai dewan shingga kini). Bangunan asrama pula dibina di belakang kawasan sekolah dan dinamakan Asrama Rancangan Khas. Bangunan itu menampung 118 orang ketika itu. Namun, sebuah lagi bangunan asrama dibina pada 1983 untuk menampung seramai 300 orang pelajar. Kemudahan yang disediakan termasuklah dewan makan, surau, bilik rehat, bilik rawatan, perpustakaan yang berhawa dingin, bilik komputer, bilik televisyen serta sebuah kolam ikan serta sebuah air terjun untuk memperindahkan lagi kawasan asrama.
Kini, asrama ini dikenali sebagai Asrama Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman semperna memperingati Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman yang pernah menjadi Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan beliau juga antara putera sulung STM yang menghuni asrama terbabit (1948-1965).
- Dewan STM
Dewan digunakan untuk mendidik, mengekalkan perpaduan, perkembangan rohani dan fizikal, serta menjadi institusi masyarakat setempat. Projek pembinaan atau Rancangan Pembinaan Dewan Sekolah telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1974 dengan peruntukan sebanyak RM150,000 sahaja. Namun, projek ini dibatalkan apabila pihak pentadbir memohon penambahan peruntukan memandangkan STM memerlukan dewan yang besar untuk menampung pelajar yang ramai. Dengan usaha pihak Lembaga Pengelola Sekolah, guru-gura dan Persatuan Ibu, Bapa & Guru (PIBG), mereka telah menganjurkan “Walkaton” yang diadakan pada 25 September 1977. Hasil pungutan ini, STM melancarkan Tabung Pembinaan Dewan Sekolah Tinggi Melaka. Pada 7 Mac 1981, Tun Syed Zahiruddin bin Hassan Al-Haj telah merasmikan dewan STM untuk kegunaan pelajar dan masih gah hingga sekarang.
- Surau STM
Menyedari bilangan para pelajar beragama Islam yang semakin meningkat serta peranan sekolah ini yang sentiasa menjadi tumpuan masyarakat seluruh Malaysia untuk menadakan kegiatan sukan, lawatan, persinggahan dan sebagainya, pada 1982, pengerusi PIBG STM (Datuk Idris Abd Ghani) serta ahli jawatankuasa yang lain, berjaya memungut RM74,000 (serta penambahan RM10,000 dari Tabung Pembangunan Sekolah), pembinaan surau sekolah akhirnya terlaksana. Pada Oktober1984, ia mula digunakan oleh pelajar dan masyarakat beragama Islam.
[Sunting] Lambang
Lambang kini diperkenalkan pada 1931 yang terhasil dari bentuk kota A’Famosa. Pada masa itu juga cogan kata sekolah, Meliora Hic Sequamur diperkenalkan. Lambang ini bermakna sejarah, kekuatan & keteguhan. Warna ungu & hijau menghidupkan lagi lambang sekolah ini. Ungu melambangkan keselesaan & keinginan, manakala hijau melambangkan kebebasan & keamanan. Lambang sekolah pada mulanya hanya disematkan di dada para pengawas sekolah tetapi mulai 1970, semua pelajar STM diwajibkan memakainya.
[Sunting] Cogan Kata STM
- Meliora Hic Sequamur
Cogan kata sekolah ini bermaksud “Di Sini Kita Mempelajari Semua Yang Baik” diperkenalkan oleh pengetua Mr. L.W. Arnold pada tahun 1931 apabila STM berpindah ke bangunan baru yang kekal hingga kini. Cogan kata ini bersesuaian dengan nama sekolah kerana bermula dengan abjad yang sama dengan nama sekolah ( Malacca High School ) pada setiap perkataan. Ia merupakan bahasa Portugis dan masih boleh kelihatan pada lambang sekolah.
- Sini Terdidik Manusia
Sejajar dengan hasrat kerajaan yang ingin mengangkat bahasa Melayu dalam semua urusan kerajaan, cogan kata ini diperkenalkan oleh Tuan Haji Abd Rafie bin Mahat. Ia selaras dengan nama Sekolah Tinggi Melaka (lihat abjad pertama setiap perkataan)
- We Are The Best
Sebagai seorang uang bertanggungjawab dalam membangunkan mutu pendidikan sekolah, Tuan Haji Mohamad bin Ismail memperkenalkan semangat ingin maju dengan cogan kata ini. Ia dicipta pada 1991.
[Sunting] Visi STM
“Ke Arah Pendidikan Cemerlang”
[Sunting] Misi STM
“Mendidik pelajar secara menyeluruh & bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang”
[Sunting] Strategi STM
-
- Melahirkan suatu budaya kondusif dalam proses pembelajaran dan pengajaran
-
- Merancang dan melaksanakan pelbagai program kurikulum dan ko-kurikulum selaras dengan falsafah pendidikan negara
[Sunting] Lagu STM
Sekolah Tingi Melaka ke seluruh negara
Beramai-ramai kita dukung Rukun Negara
Satu padu bertenaga majukan negara
Prinsip hidup progresif amalan sekolah kita
Sejak lapan belas dua enam namamu terbina
Sepanjang masa kemuka, mulia dan bahagia
Sekolah Tinggi, Sekolah Tinggi tempatmu berbakti
Perpaduan bercahaya kekalan abadi.
[Sunting] Senarai Pengetua STM
- 1826 : Mr. T. H. Moore
- 1843 : Mr. John Overee
- 1862 : Mr. T. Smith
- 1878 : Mr. A. Armstrong
- 1893 : Mr. J. Howell
- 1916 : Mr. C.F.C. Ayre
- 1921 : Mr. C. Beamish
- 1924 : Mr. C. G. Coleman
- 1930 : Mr. T. A. O. Sullivan
- 1931 : Mr. L. W. Arnold
- 1934 : Mr. L. A. S. Jermyn
- 1941 : Mr. C. A. Scott
- 1941 : Mr. Lee Chin Lin
- 1945 : Mr. Goh Tiow Chong
- 1946 : Mr. C. Foster
- 1946 : Mr. C. J. Gurney
- 1950 : Mr. G. P. Dartford
- 1952 : Mr. F. T. Laidlaw
- 1952 : Mr. E. H. Bromley
- 1956 : Mr. A. Atkinson
- 1957 : Mr. W. Gibson
- 1958 : Mr. K. Kandiah
- 1958 : Mr. Ee Tiang Hong
- 1960 : Mr. C. T. Wade
- 1960 : Mr. Goh Keat Seng
- 1965 : Mr. Tan Teik Hock
- 1969 : Mr. Lim Leng Lee
- 1970 : Mr. K. Anandarajan
- 1977 : Mr. Chan Ying Tat
- 1985 : Tn. Hj. Abd Rafie bin Hj. Mahat
- 1991 : Tn. Hj. Mohamad b. Hj. Ismail
- 1994 : Tn. Hj Hussin b. Hj. Abu Bakar
- 1996 : En. Md. Zin b. Hj. Abd Hamid
- 1998 : Tn. Hj. Othman b. Ibrahim
- 2000 : Tn. Hj. Noh b. Hj. Ahmad
- 2001 : Tn Hj. Ya’amah b. Mohd Idris
- 2003 : En. Md. Ali b. Said