Windows Vista
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Windows Vista adalah versi keenam bagi keluarga sistem pengendalian Microsoft Windows. Windows Vista mula dipasarkan kepada pengeluar OEM pada 8 November 2006 dan dilancarkan oleh Microsoft bagi pasaran Malaysia pada 8 Februari 2007. Windows Vista mempunyai antaramuka terkini yang cantik dan lutsinar, dikenali sebagai Aero. Semasa peringkat pembangunannya, Windows Vista dikenali dengan nama kodnya iaitu Longhorn sehinggalah ia memperoleh nama rasminya pada 22 Julai 2005.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Edisi Windows Vista
- Starter Edition - disasarkan kepada komputer berspesifikasi rendah untuk meningkatkan kadar celik IT terutamanya di kawasan pedalaman serta didapati dalam beberapa bahasa tempatan seperti versi Bahasa Melayu (Windows Vista Starter Edition bahasa Melayu masih belum dilancarkan buat masa ini) Versi Starter Edition tidak dilengkapi antaramuka Aero.
- Home Basic - untuk pengguna komputer rumah yang hanya sekadar melepasi keperluan minima Vista Capable dan menggunakan komputer untuk tugasan asas sahaja. Versi Home Basic juga tidak dilengkapi antaramuka Aero.
- Home Premium - untuk sebahagian besar pengguna komputer rumah.
- Enterprise - untuk perniagaan berskala kecil yang menyertai program Microsoft Software Assurance.
- Business - disasarkan untuk semua jenis perniagaan.
- Ultimate - merangkumi kesemua ciri-ciri yang terkandung dalam edisi Home Premium dan Business, disasarkan kepada pengguna komputer yang berkuasa tinggi.
Versi tanpa Windows Media Player bagi edisi-edisi di atas, dikenali sebagai versi N juga didapati di Eropah akibat tindakan undang-undang yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah terhadap Microsoft kerana menyertakan Windows Media Player di dalam Windows.
[Sunting] Ciri-ciri utama Windows Vista
- Pemasangan yang pantas - Windows Vista adalah versi Windows pertama yang menggunakan DVD-ROM, malah tempoh pemasangannya juga lebih singkat daripada versi terdahulu Windows. Antaramuka menu yang digunakan semasa pemasangan Windows juga adalah antaramuka grafik pengguna sepenuhnya, menjadikan pemasangan Windows Vista lebih mudah dan pantas.
- Indeks Pengalaman Windows - Indeks Pengalaman Windows adalah satu skema pemarkahan perkakasan oleh Microsoft bagi menguji keupayaan konfigurasi komputer yang digunakan untuk menjalankan Windows Vista. Markah bagi indeks tersebut diambil berdasarkan markah terendah bagi perkakasan yang digunakan. Indeks tersebut berguna sebagai panduan buat pengguna untuk menilai spesifikasi komputer mereka serta merancang naik taraf yang diperlukan sekiranya markah yang diperolehi adalah rendah.
- Antaramuka Aero - Windows Vista menggunakan antaramuka grafik terbaru yang dikenali sebagai Aero. Antaramuka Aero ini kelihatan cantik dan lutsinar tetapi untuk memperolehi antaramuka ini, sesebuah komputer perlu mempunyai spesifikasi yang mencukupi bagi melepasi keperluan antaramuka Aero iaitu 3 markah dalam Indeks Pengalaman Windows.
- Pengurusan sistem bersepadu - Program utiliti pengurusan fail iaitu Windows Explorer kini disepadukan dengan panel kawalan Control Panel serta beberapa perisian utiliti Windows yang lain untuk kawalan yang lebih berkesan serta memberikan pengalaman baru yang berbeza kepada pengguna Windows.
- Ease of Access - Bahagian Ease of Access menggantikan Accessibility bagi tujuan membantu orang kurang upaya untuk menggunakan komputer. Di dalam Ease of Access ini, sistem pengecaman suara serta bacaan telah disepadukan sepenuhnya bagi membolehkan pengguna kurang upaya menggunakan komputer dengan lebih mudah.
- Enjin pencari yang lebih cekap - Enjin pencari yang digunakan Windows Vista akan terus mencari fail yang diingini sambil pengguna sedang menaip nama fail. Teknik pencarian sebegini dapat menjimatkan masa pengguna.
- Menu Start yang dikemaskini - Menu Start di dalam Windows Vista dikemaskini dengan menu program berstruktur pohon agar lebih tersusun berbanding versi terdahulu Windows. Selain itu, menu Start di dalam Vista turut dilengkapi enjin pencari bagi membolehkan pengguna mencari program.
- User Account Control - Di dalam Windows Vista, sebarang perubahan kepada sistem komputer hanya boleh dilakukan oleh pentadbir sistem iaitu pemilik komputer sendiri untuk mengelakkan sebarang perubahan yang tidak diingini kepada sistem komputer. Bagi mengukuhkan tahap keselamatan, Windows akan menegluarkan tetingkap pertanyaan bagi mengesahkan sebarang perubahan kepada sistem. Namun demikian, pengguna akaun bukan pentadbir boleh melakukan perubahan sistem tetapi dengan meminta nama pentadbir dan kata laluannya, berbeza dengan Windows XP yang langsung tidak membenarkan pengguna akaun bukan pentadbir untuk melakukan perubahan walaupun sekadar membetulkan jam dan tarikh, tetapi dalam masa yang sama pengguna akaun pentadbir dapat mengawal sistem dengan terlalu bebas dan terdedah kepada risiko keselamatan.
- Ibu jari previu (Preview Thumbnail) - Dengan menggerakkan tetikus ke ikon program yang sedang berjalan pada bar tugasan, pengguna dapat melihat sepintas lalu kandungan program yang dibuka.
- Windows Flip 3D - Dengan menekan kombinasi kekunci Windows+Tab, pengguna boleh melihat secara sekali imbas tetingkap program-program yang telah dibuka, berbeza dengan cara lama iaitu kombinasi Alt+Tab yang hanya membolehkan pengguna melihat ikon program yang dibuka.
- Windows Defender - Windows Defender adalah perisian antipengintip percuma yang didatangkan bersama Windows Vista untuk melindungi sistem pengendalian daripada serangan perisian pengintip.
- Internet Explorer 7 - Internet Explorer 7 ialah versi terbaru pelayar Web keluaran Microsoft. Antara ciri-ciri utamanya termasuklah pelayaran bertab, ejen pencari bersepadu serta pengurusan plug-in.
- Windows Media Player 11 - Versi terkini pemain media digital Microsoft ini turut dilengkapi enjin pencari yang mencari fail media sambil pengguna menaip nama fail bagi membolehkan pengguna mencari dan memainkan fail media dengan pantas.
- Windows Update - Pada versi terdahulu Windows, Windows Update memerlukan pengguna memasuki laman web Windows Update melalui pelayar Internet Explorer. Malangnya, sesetengah pengguna yang mempunyai masalah dengan pelayar Internet Explorer mereka tidak dapat mengemaskini sistem pengendalian Windows mereka, tambahan pula Windows Update hanya menyokong pelayar Internet Explorer sahaja. Bagi mengatasi masalah ini, Windows Vista menyepadukan Windows Update di dalam Control Panel, membolehkan pengguna mengemaskini perisian Windows mereka tanpa perlu membuka Internet Explorer.
- Windows Photo Gallery - Windows Photo Gallery adalah perisian pengurusan fail imej bagi menggantikan Windows Image and Fax Viewer dalam Windows XP. Jika dahulunya fungsi Windows Image and Fax Viewer hanya terhad untuk memaparkan imej, Windows Photo Gallery boleh mengimport gambar dari kamera digital serta melakukan sedikit suntingan ringan pada gambar.
- Bar tepi (sidebar) - Bar tepi menempatkan beberapa perisian mini yang dipanggil gajet seperti jam, kalendar, nota kecil serta ramalan cuaca.
- Windows Ultimate Extras - Windows Ultimate Extras adalah sekumpulan perisian tambahan yang boleh dimuat turun secara percuma melalui Windows Update khusus untuk pengguna Windows Vista Ultimate sahaja.
[Sunting] Keperluan sistem
Buat masa kini, keperluan sistem untuk pemasangan Windows Vista boleh dikatakan agak berat. Spesifikasi minimum Windows Vista boleh dibahagikan kepada 2 iaitu Vista Capable dan Vista Premium Ready. Sesebuah komputer yang melepasi keperluan Vista Premium Ready dapat menikmati ciri-ciri hebat Windows Vista dengan lancar tanpa terasa berat serta dapat menikmati antaramuka Windows Aero. Sungguhpun demikian, sesetengah perisian menyebabkan Windows menggunakan antaramuka asas secara sementara walaupun melepasi spesifikasi Vista Premium Ready dan kembali kepada antaramuka Aero setelah perisian tersebut ditutup.
[Sunting] Vista Capable
- Pemproses: 800 MHz
- Ingatan: 512 MB
- Kad grafik: Kad grafik asas serasi DirectX 9
- Ingatan grafik: Tidak dinyatakan
- Kapasiti cakera keras: 20 GB
- Ruang kosong cakera keras: 15 GB
- Pemacu cakera optikal: DVD-ROM
[Sunting] Vista Premium Ready
- Pemproses: 1.0 GHz
- Ingatan: 1 GB
- Kad grafik: Kad grafik serasi DirectX 9 serta berkuasa tinggi
- Ingatan grafik: 128 MB ke atas
- Kapasiti cakera keras: 40 GB
- Ruang kosong cakera keras: 15 GB
- Pemacu cakera optikal: DVD-RW
[Sunting] Lihat juga
- Microsoft Windows
- Microsoft Office 2007