Mao Zedong
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Mao Zedong | ||
Sistem | Nama yang diberikan | Nama kehormat |
---|---|---|
Tradisional | 毛澤東 | 潤芝¹ |
Mudah | 毛泽东 | 润芝 |
Pinyin | Máo Zédōng | Rùnzhī |
WG | Mao Tse-tung | Jun-chih |
IPA | /mau̯ː˧˥ tsɤ˧˥.tʊŋ˥/ | /ʐuənː˥˩ tʂI˥/ |
Nama keluarga: Mao | ||
¹Nama asal: 詠芝 (咏芝) |
Mao Zedong (26 Disember 1893 – 9 September 1976) (juga dieja sebagai Mao Tse-Tung dalam transliterasi Wade-Giles) ialah seorang ahli teori Marxisme, askar, dan negarawan Cina, yang mengetuai revolusi komunis China selepas pendudukan asing dan perang saudara selama berdekad-dekad pada abad ke-20. Selepas kemenangan tentera Parti Komunis China terhadap Kuomintang nasionalis dalam Perang Saudara Cina, Mao mengumumkan pengasasan Republik Rakyat China pada 1 Oktober 1949 di Dataran Tiananmen, Beijing.
Mao mengejar cita-cita untuk menjadikan China sebagai sebuah negara yang kukuh dan makmur, dan berusaha untuk membina sebuah negara perindustrian yang moden serta untuk mengurangkan kemiskinan petani-petani yang merupakan sebahagian besar bilangan penduduk China. Bagaimanapun, keputusan rancangan-rancangan sosio-politik Mao yang utama membawa kecelakaan yang melumpuhkan perkembangan China dan menyebabkan kesusahan ekonomi, kerusuhan sosial dan kebuluran yang meluas. Antara rancangan-rancangan tersebut termasuk Kempen Anti Puak Kanan, Lompatan Agung ke Depan, dan Revolusi Kebudayaan.
Sehingga kematiannya, Mao mengekalkan kawalan Politburo Parti Komunis China serta Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China melalui kepintaran dalam politik dan pujaan tokoh yang memberikan beliau nama gelaran sebagai Jurumudi Agung dan Penyelamat China.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Kehidupan awal
Dilahirkan di sebuah desa yang dikenali sebagai Shaoshan di Kaunti Xiangtan, Hunan, Mao adalah anak sulung kepada sebuah keluarga petani yang agak kaya. Oleh itu, beliau bertutur dalam bahasa Xiang dan bukannya bahasa Mandarin sebagai bahasa pertamanya. Nenek moyangnya berhijrah dari provinsi Jiangxi semasa Dinasti Ming, berkahwin dengan wanita-wanita orang asli, dan menetap di sana sebagai petani. Semasa Revolusi 1911, Mao berkhidmat dengan rejimen tempatan di Hunan. Bagaimanapun, beliau tidak suka akan perkhidmatan tentera dan kembali ke sekolah di Changsha.
Selepas memperoleh ijazahnya daripada Sekolah Biasa Provinsi Pertama Hunan pada tahun 1918, Mao membuat perjalanan dengan Profesor Yang Changji, guru sekolah tinggi serta bakal bapa mertuanya, ke Beijing semasa Gerakan 4 Mei pada tahun 1919. Profesor Yang memegang jawatan fakulti di Universiti Beijing dan disebabkan perakuannya, Mao bertugas sebagai penolong pustakawan di universiti tersebut di bawah kurator Li Dazhao. Mao kemudian mendaftarkan diri sebagai pelajar sambilan di Universiti Beijing dan menyertai banyak syarahan dan seminar oleh cendekiawan-cendekiawan, termasuk Chen Duxiu, Hu Shi, dan Qian Xuantong. Semasa berada di Beijing, beliau membaca sebanyak yang dapat dan ini memperkenalkannya kepada teori-teori komunisme. Mao berkahwin dengan Yang Kaihui, anak perempuan Profesor Yang serta rakan sekolahnya, walaupun terdapat perkahwinan yang telah diatur oleh ayahnya. Bagaimanapun, Mao tidak pernah mengakui perkahwinan ini.
Mao melepaskan peluang untuk belajar di Perancis, akibat kemiskinan. Beliau kemudian mendakwa bahawa keputusan ini adalah kerana masalah-masalah China hanya boleh dikaji dan diselesaikan di dalam China. Berbeza dengan pemimpin-pemimpin sezaman, Mao menuju ke arah yang bertentangan dan mengkaji petani-petani yang merupakan majoriti penduduk China. Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang ahli revolusi profesional.
Pada 23 Julai 1921, Mao yang ketika itu berumur 27 tahun, menghadiri sidang pertama Kongres Parti Komunis China di Shanghai. Dua tahun kemudian, beliau dipilih sebagai salah satu daripada lima komisar Jawatankuasa Pusat semasa sidang Kongres ketiga.
Buat satu tempoh yang singkat, Mao duduk di Shanghai, sebuah bandar raya penting yang ditegaskan oleh Parti Komunis China (CCP) untuk Revolusi. Akan tetapi selepas Parti itu menjadi miskin dan menghadapi kesukaran-kesukaran yang utama dalam pembentukan gerakan-gerakan kesatuan sekerja serta dalam hubungannya dengan Kuomintang, sekutu nasionalisnya, Mao berasa kecewa dengan revolusi itu dan beredar ke Shaoshan. Semasa duduk di rumah, Mao mengobar-ngobarkan semula semangat revolusinya selepas diberitahu tentang pemberontakan 1925 di Shanghai dan Guangzhou. Sebagai pengembalian cita-cita politiknya, beliau kemudian pergi ke Guangdong, pangkalan Kuomintang, dan mengambil bahagian dalam persediaan sidang kedua Kongres Kebangsaan Kuomintang.
Pada awal tahun 1927, Mao kembali ke Hunan dan dalam sebuah mesyuarat segera yang diadakan oleh Parti Komunis, membuat laporan berdasarkan penyelidikannya terhadap pemberontakan-pemberontakan petani di tengah-tengah Ekspedisi Utara. Ini dianggap merupakan langkah permulaan dan langkah muktamad terhadap penggunaan teori-teori revolusi Mao yang berjaya.
[Sunting] Idea-idea politik
- Rencana utama: Maoisme
Mao telah diperkenalkan kepada Marxisme di Beijing sebelum perkahwinannnya dengan Yang Kaihui. "Adanya tiga buah buku yang meninggalkan tanggapan yang besar dalam akal saya", Mao mengingat kembali, "Buku-buku itu membantu saya membina kepercayaan yang kukuh terhadap Marxisme". Antara ketiga-tiga buku yang penting itu ialah Manisfesto Komunis.
Proses Mao menjadi seorang penyokong Marxisme adalah beransur-ansur. Dalam tahun 1920 di Hunan, beliau menyumbang sebilangan esei kepada akhbar-akhbar yang menyokong autonomi provinsi Hunan. Beliau mempercayai dengan muktamad bahawa autonomi provinsi adalah prasyarat kepada kemakmuran tempatan dan kemakmuran tempatan akan menyebabkan sebuah China yang lebih kuat dan makmur.
Pada tahun 1920, Mao juga mengembangkan teorinya terhadap revolusi ganas. Teorinya diilhami oleh revolusi Rusia dan mungkin juga dipengaruhi oleh karya-karya kesusasteraan Cina: Penjahat-penjahat Paya dan Kisah Tiga Kemaharajaan. Mao mencuba mensubversikan perikatan imperialisme dan feudalisme di China. Beliau menganggap bahawa penyokong-penyokong Nasionalis adalah mudah terjejas dari segi ekonomi serta politik dan oleh itu, revolusi tidak boleh dipimpin oleh mereka. Mao menyimpul bahawa revolusi ganas harus dijalankan oleh golongan proletariat di bawah kepimpinan parti Komunis.
Pada sepanjang dekad 1920-an, Mao mengetuai beberapa perjuangan buruh, berdasarkan kajian-kajiannya terhadap penyebaran dan pengendalian pergerakan-pergerakan buruh sezaman. Bagaimanapun, perjuangan-perjuangan itu dihancurkan dengan berjaya oleh kerajaan, dan Mao melarikan diri dari Changsha selepas dilabelkan sebagai seorang aktivis radikal. Beliau berfikir-fikir tentang kegagalan-kegagalan ini dan akhirnya sedar bahawa: 1) pekerja-pekerja tidak berupaya mengetuai revolusi kerana mereka merupakan sebahagian kecil jumlah penduduk China, dan 2) perjuangan-perjuangan buruh tanpa bersenjata tidak dapat mengatasi masalah-masalah penindasan imperialisme dan feudalisme.
Mao mula bergantung kepada petani-petani Cina yang kemudian menjadi penyokong-penyokong kuat teori revolusi ganasnya. Kebergantungan kepada golongan proletariat luar bandar berbanding dengan golongan proletariat bandar untuk memulakan revolusi ganas membezakan Mao daripada pendahulu-pendahulunya dan pemimpin-pemimpin sezaman. Mao pada dirinya berasal daripada keluarga petani dan oleh itu, beliau memupuk reputasinya antara para pekebun dan petani, dan memperkenalkan mereka kepada Marxisme.
[Sunting] Perang dan Revolusi
Pada tahun 1927, Mao memulakan Pemberontakan Penuaian Musim Luruh yang masyhur di Changsha, Hunan, sebagai Panglima Agungnya. Angkatan tentera yang diketuai oleh Mao yang dinamakan Tentera Pekerja dan Petani Revolusi ditewaskan dan diselerak selepas beberapa pertempuran yang garang. Selepas itu, askar-askar yang keletihan itu terpaksa meninggalkan Hunan untuk ke Sanwan, Jiangxi dan di sana, Mao membentuk semula angkatan tentera yang terselerak dan menyusun semula divisyen tenteranya menjadi sebuah rejimen yang lebih kecil. Dan Mao memerintah bahawa setiap kompeni harus mempunyai sebuah pejabat cawangan parti dengan seorang komisar sebagai ketuanya yang memberi arahan politik berdasarkan mandat-mandat orang atasan. Penyusunan semula ketenteraan di Sanwan, Jiangxi, memulakan penguasaan mutlak CCP terhadap angkatan tenteranya dan telah dianggap sebagai mempunyai kesan yang paling asas dan mendalam kepada revolusi Cina. Mereka kemudian bergerak ke Gunung-ganang Jinggang, Jiangxi.
Di gunung-ganang Jinggang, Mao memujuk dua orang ketua pemberontak tempatan berikrar untuk taat setia kepadanya. Di sana, Mao menggabungkan semula angkatan tenteranya dengan angkatan tentera Zhu De untuk membentuk Barisan Keempat Tentera Merah Pekerja dan Petani China, atau secara singkat, Tentera Merah.
Dari tahun 1931 hingga 1934, Mao membantu mengasaskan Republik China Soviet dan dipilih sebagai Pengerusi republik kecil di tengah-tengah kawasan bergunung-ganang di Jiangxi. Di sini, beliau berkahwin dengan He Zizhen. Isterinya Yang Kaihui telah dikorbankan dalam revolusi selepas ditangkap dan dihukum mati pada tahun 1930, hanya tiga tahun selepas pemergian mereka.
Di Jiangxi, kuasa Mao, khususnya penguasaan angkatan tenteranya, dicabar oleh cawangan CCP di Jiangxi serta pegawai-pegawai tenteranya. Para penentang menentang reformasi tanah Mao serta cadangan-cadangannya untuk membuat reformasi terhadap cawangan parti dan pimpinan tentera tempatan. Antara penentang-penentang yang termasyhur adalah Li Wenlin, pengasas cawangan CCP dan Tentera Merah di Jiangxi. Mao bergerak balas dengan mula-mulanya menuduh penentang-penentang itu kerana oportunisme dan kulakisme, dan kemudian memulakan satu siri penumpasan yang sistematik terhadap mereka. Penumpasan-penumpasan itu kemudian menjadi penghapusan fizikal yang berdarah. Bilangan mangsa dianggarkan sebanyak beribu-ribu. Melalui apa yang dipanggil terorisme revolusi atau terorisme merah, kuasa dan penguasaan Mao di Jiangxi dikekalkan dan terjamin. Bagaimanapun, kejadian ini meninggalkan parut-parut yang tidak dapat dilupakan oleh Mao.
Dengan bantuan Zhu De, Mao membina seangkatan tentera yang sederhana tetapi berkesan, dan menjalankan ujikaji-ujikaji reformasi dan kerajaan luar bandar. Beliau membekalkan perlindungan kepada orang-orang Komunis yang melarikan diri daripada penyingkiran-penyingkiran berhaluan kanan di bandaraya-bandaraya. Kaedahnya biasanya dirujuk sebagai perang gerila; tetapi Mao sendiri membezakan antara Perang Gerila (youji zhan) dengan Perang Bergerak (yundong zhan).
Perang Gerila serta Perang Bergerak Mao berdasarkan kenyataan bahawa persenjataan dan latihan ketenteraan Tentera Merah adalah lemah. Tenteranya terdiri terutamanya daripada petani-petani yang miskin yang didorong oleh keghairahan revolusi serta hasrat untuk mencipta sebuah utopia komunis.
Pada sekitar tahun 1930, terdapat melebihi sepuluh kawasan yang biasanya dipanggil "kawasan soviet" di bawah penguasaan CCP, dengan bilangan askar Tentera Merah melebihi seratus ribu orang. Kemakmuran "kawasan-kawasan soviet" memeranjatkan dan membimbangkan Chiang Kai-shek, pengerusi kerajaan Kuomintang (KMT), yang melancarkan lima gelombang kempen pengepungan terhadap "kawasan soviet pusat". Melebihi sejuta askar Kuomintang terlibat dalam kelima-lima kempen ini, dengan empatnya ditewaskan oleh tentera merah yang diketuai oleh Mao.
Di bawah tekanan-tekanan yang semakin meningkat daripada kempen-kempen pengepungan KMT, terwujudnya perebutan kuasa dalam pimpinan Komunis. Mao disingkirkan daripada semua jawatan penting dan digantikan dengan individu-individu (termasuk Zhou Enlai) yang taat setia kepada sikap ortodoks yang didukung oleh Moscow dan yang diwakili dalam CCP oleh sekumpulan yang dikenali sebagai 28 Bolshevik.
Chiang Kai-shek, yang lebih awal mengambil alih penguasaan China pada nama sahaja disebabkan sebahagian oleh Ekspedisi Utara, berazam untuk menghapuskan pihak Komunis. Menjelang Oktober 1934, beliau berjaya mengepung mereka dan menyebabkan "Perjalanan Jauh", suatu pengunduran dari Jiangxi di tenggara ke Shaanxi di barat laut China. Adalah semasa perjalanan 9,600 kilometer (5,965 batu) yang menelan masa setahun bahawa Mao muncul sebagai ketua Komunis, dibantu oleh Persidangan Zunyi serta pembelotan Zhou Enlai kepada pihaknya. Di Persidangan ini, Mao memasuki Jawatankuasa Tetap Politburo Parti Komunis China.
Dari pangkalannya di Yan'an, Mao mengetuai tentangan Komunis terhadap pihak Jepun dalam Perang China-Jepun Kedua (1937-1945). Mao mengukuhkan lagi kuasanya dalam Parti Komunis pada tahun 1942 dengan melancarkan kempen Cheng Feng, atau "Pembetulan" terhadap pesaing-pesaingnya dalam CCP seperti Wang Ming, Wang Shiwei, dan Ding Ling. Juga semasa di Yan'an, Mao bercerai dengan He Zizhen dan berkahwin dengan seniwati Lan Ping yang kemudian dikenali sebagai Jiang Qing.
Semasa perang China-Jepun, strategi-strategi Mao ditentang oleh kedua-dua Chiang Kai-shek dan Amerika Syarikat. Amerika Syarikat menganggap Chiang sebagai seorang sekutu yang penting kerana berupaya membantu memendekkan perang melalui pertempuran dengan pihak Jepun di China. Chiang, sebaliknya, mencuba membina seangkatan tentera ROC untuk pertempuran yang pasti berlaku dengan angkatan-angkatan tentera komunis Mao selepas keakhiran Perang Dunia II. Fakta ini tidak difahami oleh Amerika Syarikat, dan peruntukan senjata pinjam-sewa yang berharga kepada Kuomintang diteruskan. Sebagai balasan, Mao menghabiskan sebahagian masa dalam perang itu (adakah bahagian ini besar atau kecil dipertikaikan) untuk bertempur dengan Kuomintang bagi tujuan menguasai beberapa bahagian yang tertentu di China. Kedua-dua pihak Komunis dan Nasionalis telah dikritik kerana bertempur dengan diri sendiri, dan bukannya bersekutu untuk bertempur dengan Tentera Empayar Jepun.
Pada tahun 1944, Amerika Syarikat menghantar utusan khas yang dipanggil Misi Dixie untuk bertemu dengan Parti Komunis China. Menurut Edwin Moise dalam karyanya, China Moden: Sejarah Edisi Ke-2:
- Kebanyakan orang Amerika berasa tertarik. CCP kelihatan kurang korup, lebih bersatu, dan lebih bersemangat menentang Jepun berbanding dengan Kuomintang. Selebaran-selebaran yang diturunkan di seluruh China Utara... mengesahkan kepada orang-orang atasan bahawa CCP adalah kuat dan popular di kawasan yang luas. Pada akhirnya, hubungan-hubungan yang dikembangkan oleh Amerika Syarikat dengan CCP tidak menyebabkan sebarang hasil.
Walaupun demikian, pengulas-pengulas moden menyangkal tuntutan-tuntutan ini. Antaranya, Willy Lam menyatakan bahawa semasa perang dengan Jepun:
- Kebanyakan korban perang askar China terdiri daripada anggota-anggota KMT, dan bukannya divisyen-divisyen Komunis. Mao dan banyak pemimpin gerila yang lain memutuskan pada masa itu untuk mengekalkan kekuatan mereka bagi "perjuangan yang lebih besar" untuk mengambil alih seluruh China sebaik sahaja Tentera Empayar Jepun dihapuskan oleh Angkatan Bersekutu yang diketuai oleh Amerika Syarikat. [1]
Selepas akhir Perang Dunia II, Amerika Syarikat meneruskan sokongannya kepada Chiang Kai-shek, yang kini menentang Tentera Merah (yang diketuai oleh Mao Zedong) secara terbuka dalam perang saudara untuk menguasai China. Sokongan Amerika Syarikat adalah selaras dengan tujuannya untuk mengawal dan menewaskan "komunisme dunia". Serupa juga, Kesatuan Soviet memberi sokongan kuasi-terselindung kepada Mao (Rusia lebih bertindak sebagai suatu jiran yang bimbang, berbanding dengan menganggap China sebagai sekutu ketenteraannya, bagi mengelakkan sebarang pertikaian terbuka dengan Amerika Syarikat) dan memberi banyak bekalan senjata kepada Parti Komunis China, walaupun rekod-rekod China yang lebih baru menunjukkan bahawa "bekalan" Soviet tidak sebesar dengan apa yang dahulu dipercayai, dan selalu tidak mencapai jumlah bantuan yang dijanjikan.
Pada 21 Januari 1949, angkatan tentera Kuomintang mengalami kekalahan yang amat besar terhadap Tentera Merah Mao. Pada awal pagi 10 Disember 1949, askar-askar Tentera Merah mengepung Chengdu, bandar raya terakhir yang diduduki oleh KMT di tanah besar China, dan Chiang Kai-shek memindahkan kerajaannya dari tanah besar ke Taiwan (Formosa) pada hari yang sama.
[Sunting] Kematian
Mao Zedong meninggal dunia ketika berumur 82 tahun pada pukul 12.10 pagi, 9 September 1976 di Beijing. Beliau maut, akibat sklerosis lateral amiotrofik yang lebih dikenali sebagai Penyakit Lou Gehrig. Mao telah tidak sihat selama beberapa tahun, dan kesihatannya merosot dengan ketara beberapa bulan sebelum kematiannya. Mayatnya terletak di Dewan Besar Rakyat. Upacara memperingatinya diadakan di Dataran Tiananmen pada 18 September 1976. Suatu tafakur selama tiga minit diadakan sebagai pennghormatan semasa upacara tersebut. Mayatnya kemudian diletakkan dalam Bangunan Makam Mao Zedong, walaupun Mao ingin mayatnya dibakar dan merupakan salah satu daripada pegawai-pegawai berpangkat tinggi yang pertama untuk menandatangani "Cadangan bahawa Semua Mayat Pemimpin-pemimpin Pusat Dibakar Selepas Kematian" pada November 1956.
Seperti yang dijangka selepas kematian Mao, perebutan kuasa tercetus untuk menguasai China. Pada satu pihak ialah sayap kiri yang diketuai oleh Geng Empat yang hendak meneruskan dasar pengerahan revolusi secara besar-besaran. Pada pihak yang lain ialah sayap kanan yang terdiri daripada dua kumpulan. Salah satunya ialah para penyokong pengembalian yang diketuai oleh Hua Guofeng yang menyokong pengembalian perancangan pusat berdasarkan model Soviet. Kumpulan yang lain itu adalah para reformis yang diketuai oleh Deng Xiaoping yang hendak membaik pulih ekonomi Cina berasaskan dasar-dasar berorientasi pasaran dan yang tidak hendak lagi menumpukan perhatian kepada ideologi Maoisme untuk menentukan dasar ekonomi dan politik.
Akhirnya, golongan sederhana memenangi penguasaan kerajaan. Deng Xiaoping yang jelas lebih tua berbanding dengan Hua Guofeng, menewaskan Hua dalam perebutan kuasa tanpa berdarah tidak lama kemudian.
[Sunting] Pautan luar
Wikimedia Commons mempunyai media mengenai:
|
||
|
- Biografi Mao Zedong daripada Pendidikan Spartacus
- Arkib Rujukan Mao Zedong di marxists.org
- Ensiklopedia Marxisme memberikan sudut pandangan Trotsky terhadap kehidupan Mao. Beberapa bahagian dalam rencana ini berdasarkan makalah itu.
- Ensiklopedia Marxisme memberikan sudut pandangan Trotsky mengenai Pemikiran Mao Zedong.
- Karya-karya terkumpul Mao Zedong di Gerakan Tokoh Antarabangsa Mao
- Portal Mao Zedong daripada Harian PLA; termasuk sebilangan gambar foto dan puisi
- Mao Zedong dalam poster-poster propaganda — Salah satu set lukisan propaganda yang membayangkan Mao Zedong sebagai pemimpin terutama China.
- MIM — Gerakan Tokoh Antarabangsa Mao, salah satu puak Maoisme (teori-teori mereka TIDAK sama dengan kebanyakan pengikut Mao)
- Pemimpin Cina yang lain
- Profil CNN
- Perkahwinan-perkahwinan Mao Tse-tung
[Sunting] Audio dan video
- Temu Bual Bahagian 1 (RealPlayer)
- Temu Bual Bahagian 2 (RealPlayer)
- Mao mengisytiharkan pengasasan PRC — fail ASF 852 Kb (dalam bahasa Cina dengan sari kata bahasa Cina)