Falsafah
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Falsafah ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Arab فلسفة yang juga berasal daripada perkataan yunani Φιλοσοφία philosophia, yang bermaksud "cinta kepada hikmah".Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
- Merupakan satu usaha pemikiran yang tuntas
- Tujuannya adalah untuk mendapatkan kebenaran
Sehingga hari ini, ahli-ahli falsafah masih belum mencapai kata sepakat mengenai definisi falsafah. Malah ada yang mengatakan bahawa falsafah merupakan sesuatu yang tidak dapat didefinisikan. Ini adalah kerana kita dapat berfalsafah tentang pengertian falsafah1. Maka dengan itulah kita akan menemui pendapat yang berbeza-beza mengenai definisi falsafah di antara ahli-ahli falsafah itu sendiri. Bagi rujukan umum, di sini kita hanya mengambil satu contoh definisi falsafah daripada Drs. Sidi Gazalba:
- Berfalsafah ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan, dengan berfikir secara radikal, sistematik dan universil. Apabila seseorang berfikir demikian dalam menghadapi masalah dalam hubungannya dengan kebenaran, adalah orang itu telah memasuki falsafah. Penuturan dan uraian yang tersusun oleh pemikirannya itu adalah falsafah2.
Daripada pendapat Drs. Sidi Gazalba, kita boleh buat satu rumusan bahawa falsafah seharusnya ditandai dengan caranya iaitu berfalsafah, dan juga masalahnya iaitu persoalan falsafah. Maka hasilnya adalah karya falsafah.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Berfalsafah
Berfalsafah secara mudahnya dapat dimaksudkan sebagai memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam. Tetapi dalam konteks rencana ini berfalsafah di sini bermaksud berfikir secara falsafah. Berfalsafah merupakan satu tanda yang penting bagi bidang falsafah. Ia boleh diibaratkan sebagai inti dalam falsafah. Berfikir secara falsafah ini harus mengandungi tiga ciri, iaitu:
- Radikal
Ini bermaksud bahawa berfalsafah merupakan corak pemikiran yang ketuntasan, yakni berfikir dengan sedalam-dalamnya sehingga kepada akar bagi sesuatu masalah. - Sistematis
Berfikir sistematis ialah berfikir logis, yang bergerak selangkah demi selangkah dengan penuh kesedaran dengan urutan yang tersusun. - Universil
Universil bermaksud umum.Dalam corak pemikiran ini, pemikiran tidak terbatas pada bahagian-bahagian tertentu, tetapi mencakup keseluruhan bagi sesuatu persoalan.
Ketika berfalsafah, seseorang itu tidak digalakkan untuk merujuk kepada sumber kewibawaan dalam menyelesaikan sesuatu persoalan. Sebaliknya, ia digalakkan untuk menjawabnya dengan hanya menggunakan akal sendiri. Contohnya, dalam menjawab soalan Apakah YYY?, seseorang itu tidak harus menjawab YYY itu HHH kerana profesor T pernah mengatakannya, tetapi sebaliknya ia harus menjawab soalan ini dengan jiwanya yang merdeka secara "berfalsafah".
[Sunting] Persoalan Falsafah
Persoalan falsafah ataupun masalah falsafah ialah topik yang dibincangkan dalam bidang falsafah. Ia boleh diibaratkan sebagai isi dalam falsafah. Persoalan falsafah sentiasanya disifatkan sebagai soalan yang sangat rumit, dan ia memerlukan pemikiran yang bersungguh-sungguh. Sesuatu soalan itu akan menjadi persoalan falsafah apabila soalan itu tidak dapat diselasaikan melalui kaedah pengamatan ataupun kaedah sains. Biasanya, persoalan falsafah akan melibatkan persoalan tentang konsep, idealogi, dan juga pekara-pekara lain yang abstrak. Contoh-contoh persoalan falsafah adalah seperti di bawah:
- Apakah kebenaran?
- Apakah Pemikiran?
- Apakah ilmu pengetahuan?
- Apakah cantik?
- Apakah Kehidupan?
Bidang falsafah memberikan nilai yang tinggi kepada soalan yang baik, yakni soalan yang mempunyai nilai kefalsafahan. Ini adalah kerana soalan yang baik menjanjikan jawaban yang baik. Contohnya, soalan epistemologi yang ditanyakan pada zaman dulu-dulu seperti apakah kebenaran?, apakah ilmu pengetahuan? sebenarnya telah memajukan sains dan teknologi manusia.
[Sunting] Kategori Falsafah
Falsafah dapat dikategorikan 5 bidang berdasarkan persoalannya, iaitu:
- Metafizik
Bidang falsafah ini memikirkan tentang kewujudan.Contoh soalannya: Jenis benda yang wujud? Apakan sifat "semulajadi - nature" benda tersebut? Adakah sesuatu wujud tanpa pergantungan kepada deria manusia? Apakah sifat ruang dan masa? Apakah sifat akal dan berfikir? Apakah yang dikatakan manusia? Apakah yang dikatakan sedar? Adakah Tuhan wujud? - Epistemologi
Bidang falsafah ini memikirkan tentang ilmu pengetahuan. Contoh soalannya adalah seperti: Adakah ada pengetahuan? Bagaimana kita tahu apa yang kita tahu? Bagaimana kita tahu terdapat minda yang lain? - Etika
Bidang falsafah ini memikirkan tentang kemoralan manusia. Contoh soalannya:Adakah terdapat perbezaan antara tindakan bermoral dan tindakan yang salah ? Jika ada, apakah perbezaannya? Tindakan yang mana betul dan tindakan yang mana salah? Adakah nilai mutlak, atau perbandingan?Bagaimana seseorang itu harus hidup? - Logik
Logik adalah satu bidang falsafah yang mengkaji penaakulan manusia. - Estetika
Bidang falsafah memikirkan tentang keindahan. Contoh soalannya: Apakah itu indah?
[Sunting] Tradisi Falsafah
Falsafah merupakan sesuatu yang diusahakan oleh setiap bangsa. Ini adalah kerana manusia secara semula jadinya mempunyai fitrah ingin tahu dan cenderong kepada kebenaran. Daripada itu tradisi falsafah terbina oleh kelompok manusia yang mengadakan pendekatan yang berbeza terhadap falsafah. Dalam sesuatu tradisi falsafah, anggotanya akan memupunyai minat yang sama dalam sesuatu persoalan falsafah dan juga mempunyai pengaruh yang sama daripada seseorang tokoh falsafah.
Perkataan "Falsafah" dalam konteks akademia Anglo-Amerika mungkin adalah sesuatu yang mengelirukan. Ia biasanya merujuk kepada tradisi falsafah daripada tamadun barat dengan mengetepikan tradisi falsafah daripada tempat lain. Masalah ini memnjadi lebih rumit lagi apabila didapati tiada perkataan "falsafah" yang wujud dalam tamadun China, Korea, dan Jepun sehingga abab ke-19. Daripada itu, pernah juga sarjana barat yang menyangka bahawa falsafah itu tidak pernah wujud dalam tamadun ini.
Secara kasarnya, falsafah boleh dibahagikan kepada dua tradisi, yakni falsafah barat dan juga falsafah timur. Bagi tradisi falsafah di Afrika, ia masih dianggap terlalu kabur dan asing bagi kebanyakan orang.
Falsafah barat merupakan satu tradisi falsafah yang laku untuk kawasan Eropah, Amerika termasuk latin Amerika, dan juga di Timur Tengah. Falsafah Islam biasanya termasuk juga ke dalam tradisi ini. Manakala bagi falsafah timur pula ia merujuk kepada tradisi falsafah daripada Benua India dan juga daripada timur jauh seperti China, Korea, dan Jepun.
[Sunting] Tradisi Falsafah Timur
- Rencana utama: Falsafah Timur
- Falsafah Budhisme
- Falsafah Hindu
- Falsafah India
- Falsafah Indonesia
- Falsafah Jepun
- Falsafah Konfusisme
- Falsafah Taoisme
[Sunting] Tradisi Falsafah Barat
- Rencana Utama:Falsafah Barat
- Falsafah Yunani Kuno
- Falsafah Kontinental
- Falsafah Anglo-Amerika
- Falsafah Zaman Penengahan
- Falsafah Marxisme
- Falsafah Pascamoden
[Sunting] Senarai Rujukan
- Drs. Sidi Gazalba.1974. Sistematika Filsafat: Pengantar Kepada Dunia Filsfat, Teori Pengetahuan, Metafika, Teori Nilai. Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu Berhad.
[Sunting] Pautan Luar
Rencana ini memerlukan kemaskini dalam Bahasa Melayu. Anda boleh membantu mengemaskinikannya. |