Radio Televisyen Malaysia
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Sejarah RTM
[Sunting] Penubuhan di awal 1920-an
Sejarah penyiaran radio di Malaya bermula pada tahun 1921 apabila seorang jurutera elektrik kerajaan Johor, A.L. Birch membawa masuk set radio yang pertama ke negara ini. Beliau kemudiannya menubuhkan Persatuan Wireless Johor dan memulakan penyiaran melalui gelombang 300 meter. Ini diikuti dengan penubuhan persatuan yang sama di Pulau Pinang dan Persatuan Wireless Tanah Melayu di Kuala Lumpur.
Pada tahun 1930, Sir Earl dari Lembaga Pelabuhan Singapura memulakan siaran gelombang pendek dua kali seminggu iaitu pada hari Ahad dan Rabu. Usaha yang sama turut dilakukan oleh Persatuan Wireless Tanah Melayu dengan memulakan siaran tiga kali seminggu dari Bukit Petaling, Kuala Lumpur, melalui gelombang 325 meter.Pada tahun 1934 pula, Stesen ZHJ Persatuan Wireless Pulau Pinang memulakan siarannya dalam bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris melalui gelombang 49.3 meter. Ini diikuti pula dengan usaha yang dilakukan oleh Sir Shenton Thomas yang membuka studio Perbadanan Penyiaran British Malaya serta pemancarnya di Bukit Caldecott, Singapura pada 11 Mac 1937. Pada tahun 1940, Perbadanan Penyiaran British Malaya diambil alih oleh kerajaan Negeri-negeri Selat dan menjadikannya sebahagian daripada Kementerian Penerangan British yang dikenali sebagai Perbadanan Penyiaran Malaysia.
Berikutan serangan Jepun dan British menyerah kalah di Singapura pada tahun 1942, mereka turut mengambilalih dan menggunakan saluran radio yang sedia ada di Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur, Seremban dan Singapura. Bagaimanapun pada tahun 1945, British yang kembali berkuasa turut mengambil balik stesen-stesen berkenaan.
1 April 1946, Jabatan Siaran Radio ditubuhkan di Singapura diikuti dengan penubuhan Jabatan Penyiaran. Tercetusnya darurat oleh komunis pada tahun 1948, membawa kepada perlunya perkhidmatan radio diperluaskan dan diperkembangkan.
[Sunting] Awal 1950-an
Pada awal tahun 50-an, aktiviti penyiaran di Malaya beroperasi dari studio sementaranya di Jalan Young (kini Jalan Cenderasari) di Kuala Lumpur dan kemudiannya pada tahun 1956 berpindah ke Bangunan Persekutuan (Federal House), Kuala Lumpur. Bermula disinilah bidang penyiaran negara terus berkembang diikuti dengan penubuhan pula beberapa stesen kawasan disamping yang sedia ada di Sarawak dan Sabah. Siaran iklan perniagaan di radio juga bermula pada tahun 1960 yang menjadi salah satu sumber hasil baru bagi kerajaan. Sesuatu yang menarik untuk diketahui ialah pengenalan "INILAH RADIO MALAYSIA" mula diungkapkan oleh juruhebah serentak dengan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
[Sunting] Pasca pembentukan Malaysia
Bidang penyiaran kemudiannya mengorak setapak lagi apabila perkhidmatan televisyen diperkenalkan pada 28 Disember 1963 dari studionya di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang. Operasi siaran kemudiannya berpindah ke Kompleks Angkasapuri dan memulakan siaran pada 6 Oktober 1969. Enam hari selepas itu, iaitu pada 11 Oktober 1969, radio dan televisyen bergabung dan diletakkan di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia. Perkhidmatan TV mengorak selangkah lagi apabila rangkaian kedua dilancarkan pada 17 November 1969.
Di Kompleks Angkasapuri, bidang penyiaran negara terus berkembang pesat. Radio dan televisyen berjalan seiring.Perkhidmatan radio Rangkaian Nasional memulakan perkhidmatan 24 jam pada 19 April 1971. Penambahan waktu siaran ini bertujuan memenuhi keperluan pendengar yang sedang menjalankan tugas selepas waktu tengah malam seperti anggota keselamatan, petugas di hospital, pemandu kenderaan awam dan pengangkutan serta pelajar.
Menjelang dengan pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974 pula, perkhidmatan siaran Radio Ibukota dimulakan pada 5 November 1973. Siaran ini bertujuan memenuhi keperluan penduduk metropolitan yang semakin sibuk yang memerlukan banyak informasi terkini di samping hiburan. Bagi memenuhi hasrat para peminat muzik yang sentiasa memerlukan persembahan berkualiti pula, perkhidmatan siaran radio FM Stereo diperkenalkan pada 20 Jun 1975.
Di samping perkembangan pesat di peringkat ibu pejabat, stesen-stesen di peringkat daerah juga turut ditambah. Begitu juga diperingkat ibu pejabat, perubahan sentiasa dialakukan dari masa ke semasa termasuk memperkenalkan rancangan dan format baru seperti 'phone-in-programme'. Mengubahsuai waktu siaran dan memberikan nama baru kepada rangkaian radio seperti Radio 1 (Nasional.FM), Radio 2 (FM Stereo sekarang dikenali sebagai Muzik.FM), Radio 3 (stesen tempatan), Radio 4 (Inggeris ,sekarang Traxx.FM), Radio 5 (Mandarin , sekarang Ai.FM) dan Radio 6 (Tamil ,sekarang Minnal.FM) di samping perkhidmatan Siaran Orang Asli dan Suara Malaysia yang sedia ada. Pada keseluruhannya, semua negeri sekarang sudah mempunyai stesen radio tiganya sendiri.
Begitu juga dengan televisyen. 28 Disember 1978 merupakan satu lagi detik penting dalam sejarah penyiaran negara, iaitu pelancaran TV Warna oleh Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn, diikuti dengan siaran warna pada rangkaian kedua pada 7 Mei 1979. Pengenalan perkhidmatan warna bukan sahaja dapat memenuhi citarasa penonton yang kian bertambah tetapi juga dapat meningkatkan kualiti penerbitan rancangan. Disamping membeli rancangan-rancangan dari luar negeri, penerbitan di peringkat dalaman terus diperbanyakkan termasuk memperkenalkan pelbagai jenis pertandingan berbentuk muzik, bakat dan kuiz yang melibatkan penyertaan penonton dengan hadiah-hadiah yang menarik.Nama-nama rancangan seperti Juara Kugiran, Bakat TV, Bintang RTM, Tekaria dan sebagainya bukan sahaja popular kepada penonton tetapi berjaya mencungkil bakat dan melahirkan ramai artis terkenal.
Setelah lebih 20 tahun beroperasi, TV Malaysia kini boleh terus berbangga kerana menggunakan pelbagai peralatan canggih setanding dengan negara-negara maju yang lain. Ini termasuklah penggunaan komputer sepenuhnya dalam operasi siaran yang dikendalikan dari Pusat Operasi Siaran (TOC) dan penggunaan satelit penerimaan siaran (KOMSAR).
Lebih membanggakan lagi , jumlah pendengar dan penonton serta perolehan daripada siaran iklan telah semakin bertambah dan RTM turut mengorak langkah setapak lagi apabila RTM Net diperkenalkan pada akhir tahun 1995. Perkhidmatan ini yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 27 Disember 1995, membolehkan semua rangkaian radio di negara ini diikuti melalui rangakaian Internet.
[Sunting] Rangkaian Televisyen RTM
[Sunting] Rangkaian Radio RTM
- Negeri
- Perlis FM
- Kedah FM
- Mutiara FM
- Perak FM
- Selangor FM
- Negeri FM
- Melaka FM
- Johor FM
- Pahang fm
- Terengganu FM
- Kelantan FM
- Sarawak FM
- Sarawak Saluran Etnik - WAI FM
- Sarawak Rangkaian Merah - Red FM
- Sabah FM
- Sabah Siaran Pelbagai Bahasa - Sabah V FM
- Daerah
- Kedah - Langkawi FM
- Sarawak - Sibu FM
- Sarawak - Limbang FM
- Sarawak - Miri
- Sarawak,Sri Aman - RaSA FM
- Sabah - Sandakan FM
- Sabah - Tawau FM
- Johor Bahru-FM Stereo Johor Bahru