Stephen Hawking
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Profesor Stephen William Hawking, CH, CBE, FRS, (lahir: 8 Januari 1942) ialah salah seorang ahli fizik teori yang terkemuka di dunia. Beliau adalah Profesor Lucas untuk matematik di Universiti Cambridge (satu jawatan yang pernah disandang oleh Sir Isaac Newton), serta seorang fellow Kolej Gonville dan Caius, Cambridge. Walaupun mengalami ketakupayaan yang kekal dan kebelakangan ini, kelumpuhan dari leher ke bawah yang diakibatkan oleh penyakit neuron motor, Hawking telah lama mencapai kerjaya yang menakjubkan dan kini merupakan salah seorang ahli akademik yang termasyhur.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Biografi
Stephen Hawking dilahirkan di Oxford, England, pada 8 Januari 1942 (tepat 300 tahun selepas kematian Galileo) kepada pasangan Frank dan Isobel Hawking. Beliau mempunyai dua orang adik perempuan, Philippa dan Mary, dan seorang adik angkat, Edward. Dalam keluarganya, Hawking paling rapat dengan ibunya yang giat dalam politik sayap kiri. Isobel mengatakan bahawa pada sekitar masa kelahiran Stephen, dia membeli sebuah atlas astronomi yang kemudian dikatakan oleh ipar perempuannya sebagai suatu pembelian yang bersifat ramalan.
Hawking menonjolkan bakatnya terhadap matematik dan fizik sejak masa kecil lagi. Ketika beliau berumur sebelas tahun, Hawking menghadiri Sekolah St Albans di Hertfordshire yang berhampiran dengan London. Hawking kemudian menyertai Kolej Universiti, Oxford, dan hendak belajar matematik. Apabila kursus matematik tidak sedia ada, beliau belajar fizik sebagai ganti. Pada awalnya, ayahnya lebih suka Hawking belajar perubatan. Hawking kemudian mengambil ijazah kedoktoran di Dewan Trinity dan kini merupakan fellow kehormatnya.
Hawking dipilih sebagai fellow Persatuan Diraja yang termuda pada tahun 1974, dan dikurniakan gelaran Komander Golongan yang Dianugerahi Darjah Empayar British pada tahun 1982, serta gelaran Teman Mulia pada tahun 1989. Beliau seorang ahli fizik yang amat dihormati, dengan banyak karyanya diiktiraf oleh Persatuan Antarabangsa Fizik Semula Jadi serta juga Persatuan Fizik-Astronomi Amerika Amherst.
[Sunting] Bidang penyelidikan
Hawking mengkhususkan penyelidikannya dalam bidang kosmologi teori, graviti kuantum, dan teori string. Pada tahun 1971, beliau berusaha sama dengan Sir Roger Penrose untuk memberikan sokongan matematik kepada teori Letupan Besar ("Big Bang") mengenai asal alam semesta; jika teori relatif am adalah betul, alam semesta harus mempunyai ketunggalan, iaitu titik permulaan dalam ruang-masa. Hawking juga mencadangkan bahawa, selepas Letupan Besar, lohong-lohong hitam mini yang primordial telah dibentukkan. Beliau menunjukkan bahawa, jika kesan-kesan mekanik kuantum tidak diambil kira, luas permukaan bagi sesuatu lohong hitam boleh berkembang, tetapi tidak boleh berkurang, dan mengatakan bahawa sesuatu lohong hitam yang tunggal tidak boleh dipecahkan menjadi dua buah lohong hitam yang berasingan. Hawking juga memperhitungkan had untuk sinaran yang dipancarkan sewaktu lohong-lohong hitam berlanggar.
Pada tahun 1974, Hawking memperhitungkan bahawa lohong-lohong hitam mencipta dan memancarkan zarah-zarah subatom secara terma sehingga tenaganya dihabiskan dan kemudian meletup. Digelarn sinaran Hawking, teori ini merupakan teori pertama yang memberikan kaitan matematik antara graviti, mekanik kuantum, dan termodinamik. Pada tahun 1981, Hawking mencadangkan bahawa, walaupun alam semesta tidak mempunyai sempadan, ia adalah terhingga dalam ruang-masa. Pada tahun 1983, beliau mengemukakan bukti matematiknya untuk menyokong kenyataan itu.
[Sunting] Penyakit
Walaupun mengalami hilang upaya yang teruk, akibat sklerosis lateral amiotrofik (ALS) yang merupakan sejenis penyakit neuron motor yang biasa dirujuk sebagai "Penyakit Lou Gehrig" di Amerika Syarikat, Hawking masih amat giat dalam bidang fizik, penulisan, dan kehidupan awam. Penyakit Hawking memaksanya membuat perhitungan-perhitungan yang panjang dan rumit dengan hanya menggunakan otaknya.
Ketika Hawking masih muda, beliau merupakan seorang pemuda yang kuat dan tangkas, dan yang suka menunggang kuda serta bermain dengan kanak-kanak yang lain. Di Oxford, beliau mengemudikan pasukan pendayung yang beliau katakan membantu melegakan kebosanannya di universiti. Gejala-gejala gangguan tertimbul buat pertama kali ketika Hawking mendaftarkan diri di Cambridge. Diagnosis penyakit itu muncul apabila Hawking berumur 21 tahun, iaitu tidak lama sebelum perkahwinannya yang pertama. Doktor-doktornya mengatakan bahawa beliau tidak akan hidup melebihi dua atau tiga tahun.
Hawking berjuang dan hidup jauh lebih lama berbanding mana-mana pesakit ALS lain yang diketahui, walaupun diramalkan tidak mungkin. Bagaimanapun, keadaan hilang upayanya semakin bertambah buruk. Beliau menggunakan pensintesis suara untuk berhubung sejak menjalani trakeostomi pada tahun 1985, akibat pneumonia yang teruk. Beliau beransur-ansur hilang keupayaannya untuk menggunakan lengan, kaki, dan suaranya, dan kini hampir benar-benar lumpuh. Sistem komputer yang dipasang pada kerusi rodanya dikendalikan oleh Hawking melalui 'suis kedipan' inframerah yang dipasang pada cermin matanya. Dengan mengerutkan pipi kanannya, beliau dapat bertutur, mengarang ucapan dan kertas kerja penyelidikan, serta melayari Jaringan Sejagat (WWW), dan menggunakan emel. Sistem itu juga menggunakan pemancaran radio untuk mengawal pintu rumah dan pejabatnya.
Walaupun Hawking menghidap penyakit itu, beliau menganggap diri sebagai seorang yang "bernasib baik" — keuzuran kesihatannya yang perlahan bukan sahaja memberinya masa untuk membuat penemuan-penemuan yang berpengaruh tetapi juga, dalam perkataannya sendiri, memberinya masa untuk mempunyai "sebuah keluarga yang amat menarik" [1]. Sewaktu Jane ditanya mengapa dia memutuskan untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang cuma mempunyai jangka hayat tiga tahun, dia berjawab: "Oleh sebab zaman ini merupakan zaman kekelaman dan ajal atom, kita semua mempunyai jangka hayat yang pendek."
Isteri Hawking menjaganya sehingga tahun 1991 apabila mereka berpisah di bawah tekanan kemasyhuran, keadaan hilang upaya yang semakin menjadi buruk, serta keperluan untuk menggaji beberapa orang jururawat sepenuh masa. Beliau kemudian terlibat dengan Elaine Mason, salah seorang jururawatnya, dan kemudian berkahwin pada tahun 1995. Sebuah rencana di dalam majalah Vanity Fair yang ditulis oleh Judy Bachrach pada tahun 2004 mengandungi dakwaan mengenai keganasan antara pasangan ini yang diakibatkan oleh keluarga pertama Hawking. Bagaimanapun, siasatan polis pada tahun yang sama berakhir tanpa sebarang kesimpulan. Pada tahun 1999, Jane Hawking menerbitkan "Muzik untuk Mengharukan Bintang-bintang" ("Music to Move the Stars"), kisah kenangannya yang memerihalkan hubungannya dengan seorang kawan keluarga yang dikahwininya kemudian. Anak perempuan mereka, Lucy Hawking, adalah penulis novel,, manakala Robert Hawking, anak lelaki mereka, berhijrah ke Amerika Syarikat, berkahwin, dan dikurniakan dengan seorang anak, George Edward.
[Sunting] Kecemerlangan
Hawking mengambil alih tanggungjawab Einstein dan menyelesaikan banyak daripada paradoks-paradoks kerelatifan melalui pembinaan teori tentang kewujudan objek-objek yang mempunyai jisim yang terlalu tinggi dan ruang sifar dengan graviti yang terlalu kuat sehingga semua cahaya diserap dan tidak dapat dilihat. Teori itu kini telah diperhalus supaya dapat secocok dengan mekanik kuantum dan perkembangan-perkembangan am dalam bidang fizik.
Selain daripada kerja akademiknya, Hawking mempercayai bahawa setiap orang biasa harus memahami konsep-konsep itu dan beliau menulis sebuah siri buku sains yang popular. Buku pertamanya, "Sejarah Ringkas Masa" ("A Brief History of Time") diterbitkan pada 1 April 1988, dan dipadankan untuk filem dokumentari pada tahun 1991. Filem itu menonjolkan Hawking, keluarganya serta kawan-kawan, termasuk ahli-ahli sains yang utama.[2] Tanpa dijangka, buku itu menjadi buku terlaris, dan kemudian diikuti oleh "Alam Semesta Seringkas-ringkasnya" ("The Universe in a Nutshell") (2001). Kedua-dua buku itu masih amat popular di seluruh dunia. "Lohong-lohong Hitam dan Alam-alam Semesta Bayi" ialah sebuah koleksi karangannya yang juga popular. Beliau kini sedang menulis sebuah buku yang baru, "Sejarah Lebih Ringkas Mengenai Masa" ("A Briefer History of Time") (2005), yang mengemaskinikan karya-karyanya yang awal, serta bertujuan untuk memanfaatkan lebih banyak orang.
Hawking juga dikenali untuk kebolehan berjenaka pintarnya; beliau amat masyhur untuk kenyataan berikut yang kerap dibuatnya: "Sewaktu aku mendengar kucing Schroedinger, aku mencapai senapangku." Kenyataan ini ialah parafrasa sengaja yang penuh ironi untuk frasa: "Sewaktu aku mendengar perkataan kebudayaan... aku melepaskan kunci picu Browningku !", daripada drama Schlageter (Babak 1, Adegan 1) oleh dramatis Jerman dan Penyair Diraja Nazi, Hanns Johst. Kebolehan berjenaka pintarnya telah menghibur orang ramai yang bukan pakar, serta membantu mereka memahami soalan-soalan yang rumit. Sewaktu diminta dalam rancangan temu bual British, Richard dan Judy, pada Oktober 2005 untuk menerangkan kenyataan tegasnya bahawa soalan "Apakah yang terjadi sebelum Letupan Besar?" adalah tidak bermakna, beliau membandingkan soalan itu dengan "Apakah yang terletak di utara Kutub Utara?"
Hawking ialah seorang penyokong aktif bagi pelbagai perjuangan. Beliau menonjolkan diri dalam siaran politik untuk Parti Buruh United Kingdom, dan amat menyokong badan amal kanak-kanak, Desa-desa Kanak-kanak SOS United Kingdom ("SOS Children's Villages UK").
[Sunting] Kekalahan dalam pertaruhan lama
Pada Julai 2004, Hawking telah ditonjolkan dalam media untuk mengemukakan teori barunya tentang lohong hitam yang bertentangan dengan kepercayaannya selama ini terhadap sifat-sifat lohong hitam. Oleh itu, beliau kalah dalam pertaruhannya dengan Kip Thorne dan John Preskill dari Caltech. Secara klasik, kenyataan bahawa maklumat yang melintasi ufuk peristiwa sesuatu lohong hitam akan hilang daripada alam semesta kita dapat ditunjukkan, dan menurut logik kenyataan itu, semua lohong hitam adalah serupa sahaja, selain daripada jisim, cas elektrik dan halaju sudutnya ("teorem tiada rambut") ("no hair theorem"). Masalah terhadap teorem ini adalah bahawa lohong hitam akan memancarkan sinaran yang sama, tanpa mengira apa yang terjadi di dalamnya. Oleh itu, jika suatu keadaan kuantum yang tulen dimasukkan ke dalam lohong hitam, suatu keadaan campuran yang "biasa" akan dihasilkan. Dapatan ini adalah bertentangan dengan peraturan-peraturan mekanik kuantum dan dikenali sebagai paradoks maklumat lohong hitam. Untuk perincian, sila lihat: Pertaruhan Thorne Hawking Preskill
Satu lagi pertaruhan yang berkenaan dengan kewujudan lohong hitam diperihalkan oleh Hawking sebagai sejenis polisi insurans. Petikan daripada bukunya, "Sejarah Ringkas Masa", berkata: "Ini merupakan sejenis "polisi insurans untukku. Aku telah membuat banyak kerja tentang lohong hitam, dan kesemua ini akan membazir jika lohong hitam ternyata tidak berwujud. Tetapi dalam kes itu, aku dapat menyenangkan hati kerana memenangi pertaruhan yang akan memberikanku empat tahun majalah Private Eye percuma. Jika lohong hitam tidak wujud, Kip (Kip Thorne) akan memenangi setahun Penthouse. Sewaktu kami membuat pertaruhan itu pada tahun 1975, kami sudah pasti sebanyak 80 peratus bahawa Cygnus ialah lohong hitam. Kini, aku boleh mengatakan bahawa kami pasti hampir 95 peratus, tetapi pertaruhan itu masih belum diselesaikan." (1988)
Hawking telah awal-awal mengagak bahawa ketunggalan di pusat lohong hitam boleh membentuk jambatan ke "alam semesta bayi" dan maklumat-maklumat terhilang boleh ditujukan ke sana; teori-teori sebegini amat popular dalam fiksyen sains. Tetapi menurut idea baru Hawking yang dipersembahkan dalam "Persidangan Antarabangsa Ke-17 untuk Kerelatifan Am dan Kegravitian" pada 21 Julai 2004 di Dublin, Ireland, lohong-lohong hitam pada akhirnya akan memindahkan maklumat yang diterima dalam bentuk biji butir yang tidak tentu:
Kamiran laluan Euclid yang meliputi semua metrik topologi yang remeh boleh dibuat melalui penghirisan masa ("time slicing") dan oleh itu, kamiran laluan itu adalah unitari jika diteruskan secara analisis sehingga taburan kebarangkalian Lorentz. Dari segi yang lain, kamiran laluan yang meliputi semua metrik topologi yang bukan remeh adalah bergantung secara asimptot kepada keadaan asalnya. Oleh itu, kamiran laluan keseluruhan adalah unitari dan maklumat tidak akan terhilang dalam pembentukan dan penyejatan lohong-lohong hitam. Cara maklumat dikeluarkan kelihatan seolah-olah ufuk peristiwa yang benar tidak pernah dibentukkan, cuma ufuk yang ketara. — Ringkasan ucapan Hawking dalam GR Laman web Persidangan
Selepas membuat kesimpulan bahawa maklumat diabadikan, Hawking mengaku kalah terhadap pertaruhannya dengan Preskill, dan kemudian menghadiahkan Preskill dengan "Besbol Lengkap, Ensiklopedia Besbol yang Muktamad" ("Total Baseball, The Ultimate Baseball Encyclopedia"), sebuah ensiklopedia yang memudahkan pencarian maklumat. Bagaimanapun, Thorne masih tidak yakin dengan bukti Hawking dan tidak hendak menyumbang untuk hadiah itu.
[Sunting] Hadiah
- 1975 Pingat Eddington
- 1976 Pingat Hughes oleh Royal Society
- 1979 Pingat Albert Einstein
- 1985 Pingat Emas Persatuan Diraja Astronomi
- 1986 Ahli Akademi Paus untuk Sains-sains
- 1988 Hadiah Wolf dalam Fizik
- 1989 Anugerah-anugerah Raja Asturias di Concord
- 1999 Hadiah Julius Edgar Lilienfeld oleh Persatuan Fizikal Amerika
- 2003 Anugerah Michelson Morley oleh Universiti Case Western Reserve
[Sunting] Penerbitan
[Sunting] Teknikal
- Struktur Skala Besar untuk Ruangmasa (bersama-sama dengan George Ellis)
- Yang Besar, Yang Kecil, dan Akal Manusia (bersama-sama dengan Abner Shimony, Nancy Cartwright, dan Roger Penrose), Percetakan Universiti Cambridge, 1997, ISBN 0-521-56330-5 (buku berkulit keras), ISBN 0-521-65538-2 (buku berkulit lembut), edisi Canto: ISBN 0-521-78572-3
[Sunting] Popular
- Sejarah Lebih Ringkas Mengenai Masa, Buku-buku Bantam 2005
- Sejarah Ringkas Masa, Percetakan Bantam 1988
- Lohong-lohong Hitam dan Alam-alam Semesta Bayi dan Esei-esei Lain, Buku-buku Bantam 1993
- Alam Semesta Seringkas-ringkasnya, Bantam Press 2001
- Di Atas Bahu Raksasa-raksasa. Mahakarya-mahakarya Fizik dan Astronomi, Percetakan Running 2002
Nota: Dalam lama web Hawking, beliau mengutuk penerbitan buku "Teori untuk Semua Perkara" (The Theory of Everything), tanpa kebenaran dan meminta pengguna-pengguna memulaukan buku itu.
Senarai lengkap untuk terbitan-terbitan Hawking boleh didapati dari laman web Hawking.
[Sunting] Petikan
- Walaupun hanya terdapat satu teori gabungan yang mungkin, teori itu cuma merupakan satu set peraturan dan persamaan. Apakah yang menghidupkan persamaan-persamaan itu dan menciptakan sebuah alam semesta untuk memerikannya?
- Aku berpendapat bahawa virus-virus komputer harus dianggap sebagai sejenis hidupan. Aku berpendapat bahawa virus itu membayangkan sesuatu tentang sifat manusia, iaitu bentuk kehidupan tunggal yang kita pernah mencipta setakat ini ialah pemusnahan semata-mata. Kita telah menciptakan hidupan mengikut sifat kita.
- Tidaklah jelas adakah kecergasan mempunyai sebarang nilai kemandirian jangka panjang.
- Matlamatku mudah sahaja. Ia merupakan pemahaman menyeluruh tentang alam semesta, mengapa alam semesta adalah dalam keadaan ini, dan mengapa alam semesta harus dilahirkan.
- Bukan sahaja Tuhan bermain dadu... Dia kekadang membuang dadu di tempat yang tidak dapat dilihat.
- Ada orang yang memberitahu aku bahawa setiap persamaan yang aku masukkan ke dalam buku akan mengurangkan jualan buku itu menjadi separuh.
- Pendekatan sains yang biasa untuk membina sebuah model matematik tidak dapat menjawab soalan-soalan tentang mengapa alam semesta harus berwujud untuk model itu diperihalkan. Mengapakah alam semesta harus bersusah-susah wujud?
- Seluruh sejarah sains merupakan penyedaran beransur-ansur bahawa peristiwa-peristiwa tidak berlaku dalam cara sembarangan, tetapi didasari oleh sesuatu susunan tertentu yang mungkin, ataupun tidak mungkin, diilhami oleh Tuhan.
- Terdapatnya alasan-alasan untuk bersikap optimistik yang berhati-hati bahawa kita mungkin hampir dekat keakhiran pencarian hukum-hukum alam yang muktamad.
- Membatasi perhatian kita kepada perkara-perkara bumi akan mengehadkan semangat manusia.
- Kita cuma merupakan baka monyet-monyet yang lebih maju dalam planet yang kecil untuk bintang yang amat sederhana. Tetapi kita boleh memahami Alam Semesta. Inilah yang menjadikan kita sesuatu yang amat istimewa.
[Sunting] Lihat juga
- Roger Penrose
- Kip S. Thorne
- Ketunggalan graviti
[Sunting] Rujukan
- Boslough, John (1985). Stephen Hawking's Universe, New York: Avon Books. ISBN 0-380-70763-2. Panduan Stephen Hawking untuk orang biasa.
- Ferguson, Kitty (1991). Stephen Hawking: Usaha Mencari Teori untuk Semua Perkara. Franklin Watts. ISBN 0553-29895-X.
- Morris, Errol (Director). (1991). "Sejarah Ringkas Masa [Documentary]." :Triton Pictures.
- Hawking, S. W. & Ellis, G. F. R. (1973). The Large Scale Structure of Space-time, Cambridge: Cambridge University Press. ISBN 0-521-09906-4.. Sebuah monograf yang berpengaruh dalam bidang ini.
- Hawking, S. W. & Israel, W. (1979). General relativity: an Einstein centenary survey, New York: Cambridge University Press. ISBN 0-521-22285-0.. Kajian ulang tahun keseratus yang amat disebut.
- Misner, Charles; Thorne, Kip S. & Wheeler, John Archibald (1973). Gravitation, San Francisco: W. H. Freeman. ISBN 0-7167-0344-0.; sila lihat Kotak 34.3 untuk biografi ringkas. (Buku yang masyhur ini merupakan buku teks moden yang pertama untuk kerelatifan am, dan menunjukkan bahawa pada awal 70-an lagi, Hawking telah dianggap sebagai seorang tokoh yang menarik minat oleh rakan-rakan sekerjanya.)
- "Stephen Hawking", Encarta® © 1997 –2005, Perbadanan Microsoft, sebuah ensiklopedia Microsoft® dalam talian. Hak Cipta Terpelihara.
[Sunting] Pautan luar
- Laman web Stephen Hawking
- Stephen Hawking di Pangkalan Data Nama-nama Terkenal
- Hawking merayakan sejarah singkat diri, 7 Januari 2002, BBC
- Lohong-lohong hitam "diterbalikkan", 22 Julai 2004, BBC
- Koloni-koloni di angkasa lepas mungkin merupakan harapan yang tunggal, Hawking berkata, 16 Oktober 2001, Daily Telegraph
- Temu bual audio dengan Stephen Hawking (format MP3) dari Hour 25.
- Bapa-bapa Pengasas Kerelatifan
- Kepulangan Tuan Masa, temu bual mengenai "Sejarah Ringkas Masa" ("A Brief History of Time"), 27 September 2005, Guardian.
- "Melompat Abis", temu bual dalam Reason oleh Gregory Benford