Sukan Komanwel 1998
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Sukan Komanwel 1998 atau SUKOM '98 merupakan Sukan Komanwel yang pertama kalinya diadakan di negara Asia. Ia telah diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia dari 11 hingga 21 September 1998. Tempat lain adalah di Pulau Langkawi dan Melaka.
Temasya sukan ini telah dimulakan oleh Britain pada tahun 1930. Nama asalnya, yakni "Sukan Empayar Britain", ditukar kepada "Sukan Komanwel" pada tahun 1978.
SUKOM '98 mencatat sejarah kerana kesemua negara anggota Persekutuan Komanwel telah mengambil bahagian. Lebih daripada 6,000 atlet dan pegawai luar negara telah menyertai temasya ini. Jumlah ini mengatasi bilangan peserta di Victoria, Kanada pada tahun 1994.
SUKOM '98 dibuka rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Jaafar, dan ditutup rasmi oleh Ratu Elizabeth II.
|
[Sunting] Logo dan maskot
Logo Sukan Komanwel 16 ini diinspirasikan daripada bunga kebangsaan Malaysia, bunga raya. Ini adalah pertama kali warna kuning digunakan dalam lambang logo. Sebelum ini hanya warna biru dan merah digunakan sebagai lambang bendera Union Jack.
Maskot rasmi bagi Sukan Komanwel di Kuala Lumpur ialah Wira, seekor Orang Utan. Maskot ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohammad pada 13 April 1994.
[Sunting] Urutan peristiwa
- Disember 1989, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memilih untuk membida Sukan Komanwel dan bukan Sukan Asia ke-13. Sukan Komanwel dipilih kerana sukan ini belum pernah diadakan di Asia. Lagipun beberapa bandar raya seperti Bangkok, Jakarta, dan Taipei berminat menjadi tuan rumah Sukan Asia. Tambahan pula Malaysia banyak memenangi acara sukan tahun 1989. Persidangan Ketua Negara Komanwel (CHOGM) yang diadakan di Kuala Lumpur sangat berjaya.
- Januari 1991, MOM menyampaikan usul hendak menjadi tuan rumah. Pesaing lain ialah Adelaide, Australia. Australia telah tiga kali menjadi tuan rumah.
- 22 Julai 1992 di Barcelona, Sepanyol, dalam Perhimpunan Agung Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) telah memilih Kuala Lumpur (40 undi). Sedangkan Adelaide hanya 25 undi. Turut hadir ketika itu ialah Tan Sri Hamzah Abu Samah, Datuk Anuar Musa, dan Tan Sri Elyas Omar.
- Sebelum ini, acara Sukan Komanwel hanya diadakan di negara besar Komanwel iaitu di Great Britain, Kanada, Australia dan New Zealand sahaja. Hanya Jamaica di Kepulauan Caribbean sebuah negara sedang membangun pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel.
[Sunting] Lobi Malaysia
MOM bersama kerajaan Malaysia menawarkan:
- Kemudahan sukan bertaraf antarabangsa.
- Kemahiran dalam menganjurkan acara utama di Kuala Lumpur. SUKOM Ninety Eight Berhad menjadi bandar penganjur menguruskan operasi lokasi, kemudahan, pengurusan kampung sukan, rangkaian telekomunikasi, sistem keputusan, publisiti, dan pemasaran. Peruntukan RM310 daripada sumbangan wang tunai, barangan penaja, penjualan hak televisyen, dan tiket. Lebih 500 juta penonton seluruh dunia akan menonton.
- Lapangan mega yang baru hanya 45 minit daripada kampung sukan. KLIA mampu mengendalikan 25 juta penumpang dan satu juta tan kargo setiap tahun.
- Sistem transit massa.
- Penginapan hotel berkelas tinggi.
- Subsidi perjalanan.
- Insentif kerana menghantar kontinjen atlet dan pegawai yang ramai.
- Penginapan dan makanan percuma bagi peserta.
[Sunting] Acara sukan
SUMOM '98 mempertandingkan 15 acara sukan, iaitu:
- Akuatik
- Angkat berat
- Badminton
- Bola jaring
- Boling padang
- Boling sepuluh pin
- Gimnastik
- Hoki
- Kriket
- Lumba basikal
- Olahraga
- Menembak
- Ragbi
- Skuasy
- Tinju
Antara istimewa KL98 ialah:
- Sukan Komanwel 1998, KL98 memasukkan empat acara berpasukan supaya lebih banyak anggota dapat menyertainya iaitu:
- Lebih 6000 atlet hadir dari 70 negara dalam 15 acara yang berlangsung selama 10 hari.
[Sunting] Sumber kewangan
- SUKOM Ninety Eight Sdn Bhd dipertanggungjawabkan mencari sumber kewangan dan penaja. Jeneral (B) Tan Sri Hashim Mohd Ali dilantik sebagai pengerusi eksekutif SUKOM. Encik Rosly Selamat sebagai pengarah pemasaran. Ahli perniagaan terkemuka dilantik sebagai jawatankuasa pemasaran. Antaranya ialah Tunku Imran ibni Tuanku Jaafar, Datuk Vinod B Sekhar, Vijay Kishu Tirathrai, Dr Paul Temporai, dan Khoo Boo Boon.
- API Sponsorship sebuah syarikat pemasaran sukan terkemuka dunia dilantik bagi membantu rancangan pemasaran dan hal penyiaran.
- Syarikat Contech Technologies Sdn Bhd ditugaskan mengatasi masalah teknologi seni bina sukan. RM 310 juta ringgit berjaya diraih melalui rakan niaga pemasaran.
- Hak penyiaran diberikan kepada Nine Network Australia, Television New Zealand, Perbadanan Penyiaran Afrika Selatan, STAR TV dan stesen Astro. Selain itu, Television Twelwe Singapore, Perbadanan Penyiaran Kanada, Sri Langka Rupavahine, dan lain-lain turut membayar untuk mendapatkan hak penyiaran. Hak penyiaran ini merupakan 25 % daripada keseluruhan pendapatan SUKOM.
- Antara syarikat tempatan yang menjadi penaja ialah Telekom Malaysia, Syarikat Penerbangan Malaysia, Petronas, dan Bank Bumiputera. Seterusnya Canon, Pepsi, Nestle, Pro-Specs, Mastercard, Kodak, Pensonic, [Mayban Insurance]], DRB Hicom Berhad dan Cycle & Carriage. Syarikat Siemen turut membekalkan komputer. Swatch membekalkan peralatan waktu. Syarikat-syarikat ini menyumbang 45 % kepada pendapatan SUKOM.
- Rakan kongsi turut ditubuhkan dengan melibatkan Resort World, Tenaga Nasional Bhd, Sime Darby dan BP Malaysia.
- Penjualan nombor plat kenderaan dan penjualan wang kertas terhad menghasilkan 26 % pendapatan SUKOM.
- Jualan kemeja-T, topi, kasut, logo, lencana, dan patung maskot 'Wira' menjana pendapatan RM5 juta.
- Jualan tiket diuruskan oleh Ticket Express.
- Tempahan hotel sebanyak RM 10 juta. Urusan penginapan antarabangsa dikendalikan oleh Byrom Consultants Ltd.
[Sunting] Kemudahan gelanggang
Sejumlah RM 561 juta dibelanjakan untuk membina infrastruktur bagi menjayakan acara sukan termasuk pembinaan Kompleks Sukan Bukit Jalil, 21 gelanggang sukan, dan Pusat Penyiaran Antarabangsa (International Broadcasting Centre).
Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan stadium utama yang dijadikan tempat berlangsungnya acara pembukaan dan penutupan rasmi. Stadium ini boleh menempatkan sehingga 100 000 penonton dan juga mempunyai trek balapan.
Perkampungan sukan pula merangkumi pembinaan 30 buah blok pangsapuri yang boleh menempatkan lebih kurang 6000 atlet dan pegawai sukan. Perkampungan sukan ini hanya terletak 500 meter dari stadium utama dengan dilengkapi sistem pengangkutan awam iaitu LRT.
[Sunting] Teknologi tinggi
- Telekom Malaysia Berhad, kini TM menyediakan kemudahan penyiaran televisyen dan radio tranmisi kabel gentian optik, satelit dan gelombang mikro, komunikasi suara , telefon bergerak (telefon selular, pager, telefon, fax) dan data kemunikasi (rangkaian komputer, INFO 98, sistem keputusan, dan lain-lain).
- Rangkaian multimedia dengan 2.5 gigabit sesaat .
- sistem pengurusan sukan ditubuhkan oleh Kumpulan SEMA.
- sistem pengurusan keputusan ditaja oleh syarikat Swatch.
- Radio Televisyen Malaysia membina Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) dengan keluasan 10,000 meter persegi.
- Bernama, agensi Berita Nasional bertanggungjawab mengurus pusat akhbar utama yang terletak di Hotel Mint.
[Sunting] Majlis Pembukaan
- Nyanyian medley lagu-lagu pelbagai kaum daripada penyanyi terkenal Malaysia seperti Ella, Anuar Zain, Ziana Zain, Sheila Majid, Amy Mastura, Ning Baizura, Siti Nurhaliza dan lain-lain.
- 'Gimsemua' dipersembahkan oleh kanak-kanak seramai 250 orang untuk akrobatik .
- Tarian moden dan tradisonal daripada pelajar Sekolah Menengah Convent (1) Bukit Nenas, Sekolah Menengah Sentul, dan Sekolah Rendah Convent Bukit Nenas. Tarian menggunakan selendang, kipas, gelung rotan, pom-pom, dan lain-lain.
- 33 penerjun dari paras 4000 kaki membawa bendera Malaysia, Kanada, England, Persekutuan Sukan Komanwel, Kuala Lumpur, dan bendera Kuala Lumpur 98. Ahli payung terjun ini terdiri daripada kalangan tentera dan orang awam.
- Ketibaan DYMM Yang di-Pertuan Agong Tuanku Jaafar dan merasmikan Kuala Lumpur 98. Gong gergasi telah dipalu.
- Ratu Elizabeth II menyerahkan baton pada 9 Mac 1998 bersempena dengan Hari Komanwel di Istana Buckingham, London. Baton tersebut dibawa merentasi negara-negara Komanwel dalam enam benua dan tiba di Malaysia pada 7 Julai 1998 di Tawau, Sabah. Baton peringkat Malaysia berbentuk 'gobek' iaitu sejenis alat untuk menumbuk buah pinang yang banyak terdapat di rumah kampung tradisonal Melayu. Bunga raya menghiasi baton ini.
- Seramai 5,040 ahli Persatuan Buddhist Soka Gakkai membuat persembahan kad flip. Sebanyak 258 rekabentuk yang menarik ditonjolkan.
[Sunting] Duta Sukan Komanwel
Setelah dipersetujui oleh beberapa pihak untuk mengadakan majlis besar Sukan Komanwel 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil, mereka akhirnya berminat dan bersetuju untuk memilih Artis Rock Nombor Satu Negara iaitu Ella sebagai artis tema Sukan Komanwel. Ia sekaligus menjadikan Ella sebagai satu-satunya artis Malaysia yang menjadi penyanyi lagu tema tersebut. Paling membanggakan, Ella bukan sahaja menjadi penyanyi tema Sukan Komanwel Malaysia, beliau juga merupakan artis pertama Asia yang menjadi Duta Sukan Komanwel Asia.
[Sunting] Prestasi Malaysia
Dalam temasya ini, Malaysia juga mencatat kejayaan yang cemerlang dan bersejarah. Malaysia telah mencapai tempat keempat daripada 70 buah negara peserta dengan pemungutan 10 pingat emas, 14 pingat perak, dan 12 pingat gangsa. Muhammad Hidayat Hamidon Arbi memecahkan rekod Sukan Komanwel dalam acara angkat berat kategori sentap luak terus 167 kg, manakala Nurul Huda Baharin pula memecahkan rekod dalam acara menembak rifel angin. Acara lain yang turut menyumbang pingat emas ialah badminton, boling, gimnastik, tinju dan olahraga.
Kejayaan Malaysia menduduki tempat keempat di temasya Kuala Lumpur '98- Sukan Komanwel XVI (KL '98) adalah sesuatu yang sungguh membanggakan, malah memeranjatkan pengkritik.
- Pencapaian 10 emas, 14 perak, 12 gangsa di belakang juara keseluruhan Australia (80 emas, 61 perak, 58 gangsa), England (36 emas 47 perak 53 gangsa), dan Kanada (30 emas, 31 perak, 38 gangsa). Pencapaian ini dianggap prestasi terbaik dalam sejarah penyertaan Malaysia sejak julung kali menyertai persada sukan ini pada 1950. Pada Sukan Komanwel di Sukan Komanwel 1994 di Victoria, Kanada, kita hanya menduduki tempat ke-13 dengan dua emas, satu perak dan dua gangsa. Pencapaian itu melepasi ramalan yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
- Sejumlah RM 2.2 juta dihadiahkan kepada atlet yang berjaya. Pemenang pingat emas mendapat RM 80,000, pemenang pingat perak mendapat RM 40,000, dan pemenang pingat gangsa mendapat RM 20,000.
- Kenny Ang yang memenangi acara boling tenpin perseorangan dan beregu mendapat habuan RM 120,000. Sementara Hamidon Hidayat yang memenangi emas dan perak acara angkat berat mendapat RM 120,000 juga.
- Pemenang pingat emas yang lain ialah :
- Wong Choon Hann - badminton
- Choong Tan Fook / Lee Wan Wah- bandminton
- Nurul Huda Baharin - menembak
- G Saravanan - jalan kaki
- pasukan gimrama
- Sapok Biki- tinju lightweight
[Sunting] Lihat juga
[Sunting] Rujukan
- Buku 'Sukan Komanwel - dari Hamilton ke Kuala Lumpur ( 1930- 1998)' , Arkib Negara, 1998
- Laman web Sukarelawan Sukan Komanwel 1998