Shah Alam
Dari Wikipedia bahasa Melayu
Bandar raya Shah Alam merupakan ibu negeri Selangor Darul Ehsan. Bandar raya ini terletak di antara Klang dan Petaling Jaya, kira-kira 25 km di barat bandar raya Kuala Lumpur. Jumlah penduduk Shah Alam sehingga Julai 2006 adalah seramai 584 360 orang. Bunga rasminya ialah bunga Anggerik 'Renantanda Shah Alam' dan burung rasminya ialah burung undan. Bandar raya ini juga digelar 'Bandar Raya Anggerik'.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Sejarah
Shah Alam pada suatu ketika dahulu adalah sebuah ladang kelapa sawit dan dikenali sebagai Sungai Renggam. Sungai Renggam mula berkembang apabila British telah membina laluan keretapi dari Port Swettenham (Pelabuhan Klang) ke Bukit Kuda di Klang dan menghubungkannya dengan Kuala Lumpur pada tahun 1886.
Kedudukan Sungai Renggam adalah strategik kerana terletak di antara Port Swettenham, Klang dan Kuala Lumpur dan lokasinya yang berhampiran dengan laluan-laluan utama seperti Lebuhraya Persekutuan dan Jalan Klang Lama. Pembangunannya dilakukan di atas nasihat V. Antolic, Penasihat Perancangan Bandar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Shah Alam dibuka pada tahun 1963 untuk dijadikan pusat pentadbiran Selangor setelah Kuala Lumpur, ibu negeri Selangor pada ketika itu dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Kebanyakan jabatan-jabatan kerajaan negeri Selangor yang berpusat di Kuala Lumpur berpindah ke Shah Alam. Pada 7 Disember 1978, atas perkenan DYMM Sultan Selangor ketika itu iaitu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj. Shah Alam diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor yang baharu. Nama 'Shah Alam' sendiri dipilih di atas perkenan baginda.
Shah Alam diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Shah Alam. Keluasan Shah Alam pada ketika itu adalah 41.69 km persegi. Pada 1 Januari 1997, Shah Alam diperluaskan kepada 290.3 km persegi (Pelan Warta 197).
Ibu negeri Selangor, negeri termaju di Malaysia ini mendapat kenaikan taraf bandar raya pada 10 Oktober 2000. Pengisytiharan ini menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya ke-7 di Malaysia. Majlis Perbandaran Shah Alam telah ditukarkan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam. Datuk Bandar Shah Alam yang pertama ialah Y.Bhg Dato' Haji Abu Sujak Mahmud.
[Sunting] Pengangkutan
Shah Alam mempunyai sistem jalan raya dan pengangkutan yang terancang dan teratur. Shah Alam dihubungkan dengan lebuhraya-lebuhraya utama di Lembah Klang seperti Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya ELITE dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).
Shah Alam dihubungkan dengan sistem rel keterapi melalui sistem KTM Komuter. Terdapat tiga stesen Komuter di Shah Alam, iaitu stesen Batu Tiga, Shah Alam (stesen utama, terletak di Seksyen 19) dan Padang Jawa. Sistem ini menghubungkan Shah Alam dengan hub pengangkutan utama di stesen KL Sentral di Kuala Lumpur.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terletak 40 km di selatan Shah Alam dan boleh dihubungi dengan melalui Lebuhraya ELITE. Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang juga terletak berdekatan dengan Shah Alam. Pelabuhan utama Malaysia, Pelabuhan Klang juga dihubungkan dengan Shah Alam melalui Lebuhraya Persekutuan dan jalan keretapi.
Terdapat banyak perhentian bas dan teksi yang terletak di jalan-jalan utama di bandaraya Shah Alam. Perkhidmatan bas dikendalikan oleh syarikat RapidKL dan beroperasi di kawasan-kawasan di seluruh Lembah Klang. Shah Alam juga mempunyai teksi yang beridentitikan imej bandaraya itu sendiri, iaitu teksi Kenari yang berwarna biru. Perhentian bas yang utama ialah di Kompleks PKNS dan di Seksyen 17.
[Sunting] Seksyen-seksyen di Shah Alam
Setiap seksyen di Shah Alam mempunyai tema dalam penamaan nama bagi jalan-jalan yang terdapat di seksyen tersebut. Berikut adalah senarai seksyen-seksyen dan tema masing-masing.
- Seksyen 1 (Universiti Teknologi Mara) - pendidikan
- Seksyen 2 - jenis bunga
- Seksyen 3 - jenis pokok
- Seksyen 4 - jenis buah-buahan
- Seksyen 5 (Pusat pentadbiran) - pentadbiran
- Seksyen 6 - jenis burung
- Seksyen 7 - jenis permata dan galian
- Seksyen 8 - bentuk muka bumi
- Seksyen 9 - Kesultanan Melayu Selangor
- Seksyen 10 - jenis pakaian
- Seksyen 11 - kebudayaan dan kesenian
- Seksyen 12 - salasiah pentadbiran kerajaan Melayu dahulu
- Seksyen 13 - (Stadium Shah Alam) sukan
- Seksyen 14 (Pusat Bandaraya) bertemakan bidang-bidang korporat
- Seksyen 15 - alatan tangan
- Seksyen 16 - perlombongan bijih timah
- Seksyen 17 - jenis ikan
- Seksyen 18 - tumbuhan di kawasan pantai
- Seksyen 19 - jenis pekerjaan di kawasan pantai
- Seksyen 20 - jenis haiwan
- Seksyen 21 (Tanah Perkuburan) - perkuburan
- Seksyen 23 - perusahaan
- Seksyen 24 - jenis sayur-sayuran
- Seksyen 25 (Taman Sri Muda) - nilai-nilai murni
- Seksyen 26, 27 dan 28 - daerah dan nama tempat di Selangor
- Seksyen 31 (Kota Kemuning) - bunga anggerik sebagai Bunga Rasmi Shah Alam
- Seksyen 32 (Bukit Rimau) - sungai-sungai yang terdapat di Selangor
- Seksyen 33 - jenis alatan muzik
- Seksyen 34 - jenis bahagian dalam kereta
- Seksyen U1 (Glenmarie) -kerjaya
- Seksyen U2 - (Taman TTDI Jaya) kesussasteraan
- Seksyen U5 - dan alam semesta
- Seksyen U8 (Bukit Jelutong) - bahagian-bahagian dalam rumah
- Seksyen U10 - pulau-pulau yang terdapat di negeri Selangor
- Seksyen U11 (Bukit Bandaraya) - gunung-gunung yang terdapat di Selangor
Semua jalan di bandar raya ini mempunyai papan tanda dengan nama jalan terpapar dalam Bahasa Melayu dengan kedua-dua aksara tulisan Rumi dan Jawi.
[Sunting] Ekonomi
Kilang utama Proton, pembuat kereta nasional, terletak di Shah Alam. Banyak syarikat lain, tempatan dan luar negara, yang juga menempatkan kilang utama mereka di kawasan perindustrian Shah Alam. Kewujudan kawasan-kawasan perindustrian di Shah Alam telah memajukan ekonomi bandaraya ini dan menjadikannya sebuah bandaraya perindustrian yang penting di Malaysia.
[Sunting] Lihat juga
[Sunting] Pautan luar
Daerah | Gombak • Hulu Langat • Hulu Selangor • Klang • Kuala Langat • Kuala Selangor • Sabak Bernam • Sepang • Petaling | |
---|---|---|
Bandar Raya | Petaling Jaya • Shah Alam | |
Bandar | Ampang • Bagan Lalang • Bagan Nakhoda Omar • Balakong • Bandar Kinrara • Bandar Baru Selayang • Bandar Botanic • Bandar Bukit Tinggi • Bandar Country Homes • Bandar Sri Damansara • Bandar Sungai Buaya • Bandar Sungai Long • Bandar Sunway • Bandar Utama • Bangi • Banting • Batang Berjuntai • Batang Kali • Batu Arang • Beranang • Bernam Jaya • Broga • Bukit Beruntung • Bukit Jelutong • Bukit Raja • Bukit Rimau • Bukit Rotan • Bukit Subang • Bukit Tagar • Cheras • Cyberjaya • Damansara Jaya • Damansara Perdana • Damansara Utama • Dengkil • Dusun Tua • FELDA Soeharto • Ijok • Jenjarom • Jeram • Jugra • Kajang • Kapar • Kalumpang • Kelana Jaya • Kerling • Klang • Kota Damansara • Kota Kemuning • Kuala Kubu Bharu • Kuala Selangor • Kuang • Lembah Beringin • Morib • Meru • Padang Jawa • Paya Jaras • Port Klang • Puchong • Puncak Alam • Rasa • Rawang • Sabak • Salak Tinggi • Sekinchan • Semenyih • Serendah • Seri Kembangan • Sepang • Setia Alam • Sijangkang • Subang • Subang Jaya • Sungai Buloh • Sungai Besar • Sungai Burong • Sungai Panjang • Sungai Pelek • Tanjung Harapan • Tanjung Karang • Tanjung Sepat • Teluk Datok • Teluk Panglima Garang • UEP Subang Jaya • Ulu Klang • Ulu Yam | |
Pulau | Pulau Carey • Pulau Indah • Pulau Ketam • Pulau Klang |
Alor Star • George Town • Ipoh • Johor Bahru • Kota Kinabalu • Kuala Lumpur • Kuching • Melaka • Miri • Petaling Jaya • Shah Alam